Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Budaya ‘takut, pekak dan bisu’ jadi hambatan perangi rasuah di perkhidmatan awam M’sia

Jan 19, 2025 | 5:30 AM
Foto hiasan
Foto hiasan - Foto hiasan

Rasuah ialah barah yang menjejas pembangunan negara, keadilan sosial dan keyakinan masyarakat terhadap sistem pentadbiran.

Di Malaysia, usaha membanteras rasuah tidak hanya memerlukan undang-undang tegas tetapi juga menuntut keberanian, integriti dan kerjasama daripada semua pihak, khususnya penjawat awam.

Walaupun pelbagai inisiatif memerangi rasuah diperkenalkan, perangkaan menunjukkan hanya 0.01 peratus penjawat awam berani melaporkan rasuah, mencerminkan betapa seriusnya cabaran dihadapi dalam membudayakan integriti dan amanah.

Ini disebabkan wujudnya budaya ‘takut, pekak dan bisu’ menghantui perkhidmatan awam.

Sikap takut melaporkan salah laku disebabkan tekanan sosial, ugutan dan ketidakpercayaan terhadap sistem perlindungan pelapor menjadi punca utama ramai memilih mendiamkan diri.

Penjawat awam sering berdepan dengan dilema moral apabila tindakan melaporkan rasuah berpotensi membawa akibat buruk seperti kehilangan pekerjaan, pengasingan sosial atau ancaman terhadap keselamatan diri serta keluarga.

Di samping itu, persepsi melaporkan rasuah tidak membawa manfaat peribadi tetapi hanya menimbulkan masalah seperti terpaksa menjadi saksi di mahkamah atau menghadapi tuduhan subahat turut menghalang keberanian mereka.

Keadaan ini diburukkan lagi dengan kepercayaan aduan mereka mungkin tidak diambil serius pihak berkuasa kerana hubungan erat antara pesalah dengan pengurusan atasan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai peranan penting memerangi rasuah, tetapi terdapat kekurangan ketara dalam pendekatan mereka terhadap pengumpulan maklumat awal dan perlindungan pelapor.

Pada masa ini, SPRM lebih bergantung kepada aduan langsung daripada individu atau organisasi berbanding menjalankan operasi sulit melalui ejen rahsia yang tidak dikenali.

Ejen rahsia yang dilatih dengan baik boleh memainkan peranan besar mendapatkan maklumat awal tanpa mendedahkan identiti mereka.

Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan risiko kepada pelapor tetapi membolehkan SPRM mengambil tindakan pantas sebelum sesuatu kes menjadi lebih serius.

Selain itu, undang-undang seperti Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 perlu diperluas dan dikuatkuasakan dengan lebih berkesan bagi melindungi pelapor daripada sebarang bentuk pembalasan.

Berhubung masalah ini, masalah nepotisme, kronisme dan kebergantungan kepada budaya ‘bodek’ dalam kalangan penjawat awam memburukkan lagi keadaan.

Apabila sesebuah organisasi dikuasai individu yang mempunyai hubungan kekeluargaan atau kepentingan peribadi, amalan salah laku seringkali tidak dilaporkan kerana wujudnya elemen perlindungan dalaman.

Tambahan, sikap tidak peduli terhadap salah laku, kebencian terhadap mereka yang cuba menegakkan kebenaran dan wujudnya jurang komunikasi antara gred jawatan dalam perkhidmatan awam menghalang usaha membudayakan integriti.

Sikap was-was terhadap kejujuran pegawai penguat kuasa turut menyukarkan penjawat awam untuk mempercayai aduan mereka akan ditangani secara adil.

Atas faktor ini, keberanian moral amat dituntut dalam kalangan penjawat awam. Ia adalah tunjang dalam melaporkan kes rasuah.

Namun, keberanian ini hanya boleh dipupuk jika wujud persekitaran menyokong dan melindungi pelapor.

Dalam konteks ini, ‘niat’ memainkan peranan penting.

Seseorang mempunyai niat murni untuk menegakkan keadilan perlu dididik supaya tidak terpengaruh persekitaran negatif.

Undang-undang bertindak sebagai pagar untuk membendung salah laku tetapi mendidik manusia supaya menjadi individu bermoral tinggi memerlukan usaha berterusan.

Pendidikan, latihan dan penghayatan nilai murni harus menjadi sebahagian daripada pembangunan modal insan dalam perkhidmatan awam.

Menangani pelbagai kebimbangan dan kegusaran penjawat awam melaporkan elemen rasuah dalam perkhidmatan, perlu ada langkah penyelesaian dan langkah berkesan wajar difikirkan. Antaranya adalah:

• Meningkatkan perlindungan pelapor

SPRM dan kerajaan perlu menambah baik mekanisme perlindungan pelapor dengan memastikan identiti mereka dirahsiakan sepenuhnya. Prosedur jelas dan telus harus diwujudkan untuk memudahkan pelapor melaporkan kes tanpa rasa takut.

• Membangunkan rangkaian ejen rahsia
SPRM perlu memperluaskan penggunaan ejen rahsia dilatih khas untuk mendapatkan maklumat awal secara sulit. Pendekatan ini akan mengurangkan kebergantungan kepada aduan terbuka dan mempercepatkan tindakan terhadap kes rasuah.

• Melantik pegawai berintegriti dalam jawatan strategik
Pegawai memegang jawatan penting dalam pelantikan kakitangan perlu melalui saringan ketat dan pemantauan berkala. Peranan mereka yang strategik dalam menentukan pelantikan kakitangan harus dilaksanakan dengan penuh amanah dan keadilan.

• Pendidikan dan latihan integriti
Program pendidikan dan latihan mengenai integriti perlu dijadikan agenda utama dalam perkhidmatan awam. Ini termasuk latihan berasaskan simulasi untuk meningkatkan keberanian moral dan kesedaran risiko rasuah.

• Menggalak budaya amanah dan ketelusan
Pertubuhan perlu memupuk budaya amanah dan ketelusan di semua peringkat. Ini boleh dilakukan melalui audit berkala, pengiktirafan kepada individu berintegriti tinggi dan penyebaran maklumat kejayaan usaha memerangi rasuah.

• Melibatkan masyarakat
Kempen kesedaran melibatkan masyarakat boleh membantu memecahkan stigma negatif terhadap pelapor. Apabila masyarakat memahami pentingnya melaporkan rasuah, sokongan kepada pelapor akan meningkat.

Kesimpulannya, rasuah adalah cabaran kompleks memerlukan pendekatan pelbagai aspek untuk ditangani secara efektif.

Di tengah-tengah semua usaha ini, keberanian moral dan integriti menjadi kunci utama. Melalui pendidikan, latihan dan sokongan berterusan, budaya rasuah dapat dihapuskan sedikit demi sedikit.

Kejayaan memerangi rasuah tidak hanya bergantung kepada tindakan pihak berkuasa, tetapi memerlukan sokongan semua lapisan masyarakat, khususnya penjawat awam.

Dengan memperkasakan perlindungan pelapor, membangunkan rangkaian ejen rahsia dan memupuk nilai murni, Malaysia dapat melangkah ke arah sebuah negara yang bebas daripada rasuah.

Penulis ialah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW). Rencana ini kali pertama disiarkan di Berita Harian Malaysia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg