PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memberi tumpuan kepada usaha membanteras rasuah dalam aspek perolehan, penguatkuasaan dan rasuah besar pada 2025.
Langkah itu bertujuan membantu pertumbuhan ekonomi negara, mengurangkan ketirisan, serta mengembalikan aset dan wang negara yang telah diselewengkan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata suruhanjaya itu akan melaksanakan perubahan struktur melalui penambahbaikan pendekatan kerja, selain memperkukuhkan fungsi dan peranan setiap bahagian agar lebih berkesan dalam melaksanakan tugas.
“Sebagai Ketua Pesuruhjaya, saya akan melakukan pembaharuan terhadap pendekatan yang digunakan di SPRM, termasuk cara bekerja, berfikir, dan pola pemikiran. Langkah ini penting agar SPRM tidak terperangkap dalam zon selesa.
“Kita perlu menjalani transformasi untuk meningkatkan keberkesanan dan kepakaran, sekali gus memastikan pegawai lebih profesional dalam melaksanakan tugas dengan berkesan,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau berkata penekanan khusus akan diberikan terhadap penyiasatan tatakelola dengan penjenamaan semula Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan (Perun) kepada Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT).
“Ia sekali gus memberikan taring kepada SPRM untuk memastikan hasil penyiasatan tatakelola dilaksanakan oleh jabatan terlibat.
“Penting bagi menutup ruang dan peluang rasuah, selaras dengan usaha memperkasakan pentadbiran dan amalan tatakelola,” katanya.
Mengulas mengenai peningkatan peruntukan kepada SPRM dalam Belanjawan 2025, Tan Sri Azam merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas kelulusan peruntukan tambahan bagi suruhanjaya itu.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas kelulusan tambahan 200 pegawai. Kami kini sedang bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam bagi melaksanakan proses pengambilan ini.
“Penambahan pegawai ini bertujuan memperkukuh bahagian operasi SPRM, terutamanya dalam bidang berkaitan pengubahan wang haram dan kes berprofil tinggi.
“Ini adalah selaras dengan strategi yang telah ditetapkan bagi 2025 dan tahun-tahun seterusnya,” ujarnya.
Tan Sri Azam berkata, tambahan peruntukan kepada SPRM juga akan dimanfaatkan untuk mempromosikan tadbir urus baik khususnya dalam sektor awam, memperkukuhkan kerjasama antarabangsa dengan pelbagai negara serta menyokong program pencegahan dan pendidikan yang lebih berkesan.
Selain itu, SPRM akan menyemak semula semua prosedur operasi standard (SOP) yang berkaitan dengan Perintah Tetap Ketua Pesuruhjaya bagi menangani cabaran semasa, memandangkan kes-kes rasuah kini semakin rumit dan kompleks.
“Berdasarkan kekuatan kakitangan semasa, adalah penting untuk mengamalkan pendekatan yang tepat dengan menilai semula strategi yang digunakan di semua sektor SPRM,” katanya.
Sebelum ini, Datuk Anwar, yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2025, mengumumkan peruntukan SPRM ditingkatkan kepada RM360 juta ($109 juta) pada 2025 berbanding RM338 juta yang diterima 2024.
Beliau berkata kerajaan memberi kebebasan sepenuhnya kepada SPRM untuk menyiasat dan mengambil tindakan tegas, bagi memastikan pesalah rasuah diheret ke muka pengadilan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg