KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 6 Januari lapan individu, termasuk enam pegawai pemeriksa kenderaan yang disyaki terbabit sindiket meluluskan pemeriksaan kenderaan berat di sebuah pusat pemeriksaan kenderaan di sekitar ibu kota.
Sumber berkata semua suspek lelaki berusia 30-an hingga 50-an tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada 12 tengah hari hingga 11 malam.
“Penahanan semua suspek itu adalah hasil soal siasat dijalankan oleh SPRM ke atas seorang ejen yang diserahkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum ini.
“Bagaimanapun, keenam-enam pegawai pemeriksa kenderaan terbabit sudah dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan mereka diambil,” kata sumber pada 7 Januari, lapor Berita Harian Malaysia.
Sementara itu, dua lagi individu ditahan reman lima hari sehingga 11 Januari.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pada pagi 7 Januari.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16 (b) (A) Akta SPRM 2009.
“Setakat ini SPRM sudah menahan sembilan individu dan tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan susulan akan dibuat bagi membantu siasatan,” katanya.
Sebelum ini, seorang individu disyaki terbabit rasuah dalam proses pemeriksaan kenderaan berat di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) di Kuala Lumpur, ditahan pada 3 Januari.
SPRM memaklumkan suspek ditahan selepas diserahkan oleh pihak JPJ.
“Individu terbabit ditahan selepas dirakam keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
“Siasatan awal mendapati, suspek membuat bayaran rasuah berjumlah ratusan ringgit bagi setiap kenderaan yang diperiksa sebagai balasan untuk meluluskan pemeriksaan kenderaan berat di Puspakom,” katanya.
Menteri Pengangkutan, Encik Anthony Loke, sebelum ini dilaporkan berkata JPJ sudah mengadakan perbincangan dengan SPRM untuk mengenal pasti tahap integriti membabitkan kakitangan Puspakom.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg