Bufet Ramadan: Hotel JB, KL giat buru pelanggan Spura

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bufet Ramadan: Hotel JB, KL giat buru pelanggan Spura

Pengunjung S’pura bentuk hingga 30% pelanggan semasa Ramadan, dijangka terus meningkat, menurut beberapa hotel, persatuan
Feb 8, 2026 | 5:30 AM

Bufet Ramadan: Hotel JB, KL giat buru pelanggan Spura

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Menu dan harga bukan lagi tumpuan warga Singapura, tetapi pengalaman menyeluruh yang dirasai sepanjang lawatan.
Menu dan harga bukan lagi tumpuan warga Singapura, tetapi pengalaman menyeluruh yang dirasai sepanjang lawatan. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

Hotel di Malaysia, khususnya di Johor dan Kuala Lumpur, sedang mempergiat usaha memikat lebih ramai pengunjung dari Singapura menjamu selera di sana sempena Ramadan ini, selaras minat bertambah dari warga Singapura untuk menikmati suasana Ramadan di seberang Tambak.

Beberapa hotel dan persatuan pelancongan memberitahu Berita Minggu (BM), warga Singapura dianggarkan menyumbang hingga 30 peratus daripada keseluruhan pelanggan hotel sepanjang Ramadan, dengan jangkaan jumlah itu terus meningkat pada 2026, terutama pada hujung minggu dan musim cuti.

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Johor, Encik Ivan Teo, berkata pendekatan pihak hotel pada 2026 lebih tersusun dan berskala besar, selari dengan perubahan selera pelanggan yang mahukan pengalaman berbuka puasa lebih bermakna.

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Johor, Encik Ivan Teo.
Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Johor, Encik Ivan Teo. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

“Hotel di Johor kini memberi penekanan kepada skala, konsistensi dan pengalaman tetamu. Kita melihat gabungan lebih kukuh antara kempen dalam talian dan lapangan, selain penganjuran acara pratonton yang melibatkan rakan korporat, agensi pemerintah serta tokoh berpengaruh sejak awal,” katanya ketika ditemui BM.

Encik Teo berkata hampir separuh pelanggan bufet Ramadan di banyak hotel Johor terdiri daripada warga Singapura.

“Pasaran Singapura kekal sangat signifikan. Di banyak hotel, hampir separuh pelanggan bufet Ramadan datang dari Singapura, dan peratusan ini kekal stabil malah meningkat dalam tempoh dua tahun lalu apabila perjalanan rentas sempadan semakin kukuh,” katanya.

Presiden MAH, Datin Christina Toh, berkata pelancong Singapura lazimnya juga berkunjung ke Kuala Lumpur bagi menikmati kepelbagaian makanan menerusi bufet Ramadan yang ditawarkan hotel serta untuk membeli-belah bagi persiapan Hari Raya. 

Presiden Persatuan Hotel Malaysia, Datin Christina Toh.
Presiden Persatuan Hotel Malaysia, Datin Christina Toh. - Foto PERSATUAN HOTEL MALAYSIA

“Hotel di kawasan seperti Bukit Bintang, sekitar KLCC serta berhampiran The Exchange TRX antara pilihan utama pelancong Singapura. 

“Namun, pemilihan hotel masih bergantung kepada bajet masing-masing, khususnya bagi pelancong yang datang ke Kuala Lumpur untuk membeli-belah persiapan Hari Raya, di samping menikmati suasana Ramadan di ibu kota,” katanya.

Menurut Datin Toh, kebanyakan hotel bertaraf antara tiga hingga lima bintang mempunyai pendekatan tersendiri untuk menarik tetamu, termasuk menawarkan konsep dan kelainan iftar bufet Ramadan, bagi menggalak pengunjung meneroka pengalaman gastronomi (seni masakan atau memasak) yang berbeza.

Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra) buat julung kalinya memperkenalkan pakej My Ramadan Experience 2026 bagi menarik pelancong Singapura, Brunei dan negara serantau.

Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra), Dr Wan Muhamad Adam Wan Norudin.
Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra), Dr Wan Muhamad Adam Wan Norudin. - Foto BUMITRA

Presidennya, Dr Wan Muhamad Adam Wan Norudin, berkata inisiatif itu bertujuan memperkukuh ekosistem pelancongan patuh syariah serta memberi pengalaman Ramadan yang menyeluruh dan autentik.

Menurutnya, pakej itu merangkumi aktiviti berbuka puasa, bersahur, kunjungan ke bazar Ramadan ikonik serta ibadah tarawih di masjid utama, dengan sasaran awal sekitar 500 pelancong setiap minggu.

“Inisiatif berkenaan selari dengan usaha menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim yang unggul di peringkat antarabangsa,” katanya.

Secara keseluruhan, Ramadan di Kuala Lumpur dan Johor kini menjadi medan persaingan kreatif industri perhotelan, dengan pasaran Singapura terus menjadi tulang belakang kepada prestasi bufet Ramadan, sekali gus mengukuhkan kedudukan Johor sebagai destinasi sajian Ramadan utama di rantau ini.

Dalam pada itu, Pengarah Operasi CrescentRating dan HalalTrip, Cik Raudha Zaini, berkata perjalanan warga Islam Singapura ke Johor sepanjang Ramadan adalah sebahagian tradisi bermusim.

Pengarah Operasi CrescentRating dan HalalTrip, Cik Raudha Zaini.
Pengarah Operasi CrescentRating dan HalalTrip, Cik Raudha Zaini. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

“Berbuka puasa hanyalah satu komponen. Ramai datang untuk membeli-belah persiapan Hari Raya, mengunjungi bazar dan meluangkan masa bersama keluarga. Johor menawarkan skala dan kepelbagaian yang sukar ditandingi.

“Generasi muda Muslim mencari nilai melalui kepelbagaian, suasana dan penceritaan. Hotel yang menyediakan kemudahan ibadah, sajian sahur terancang dan komunikasi telus lebih mudah dipilih,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg