Peningkatan kuota teksi rentas sempadan S’pura-M’sia langkah penting kekang ‘kereta sapu’ haram

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peningkatan kuota teksi rentas sempadan S’pura-M’sia langkah penting kekang ‘kereta sapu’ haram

Usaha tambah kuota dari 200 kepada 500 unit secara berperingkat perkemas perjalanan sah di sempadan
Jan 26, 2026 | 5:30 AM

Peningkatan kuota teksi rentas sempadan S’pura-M’sia langkah penting kekang ‘kereta sapu’ haram

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
perkhidmatan teksi rentas sempadan, M’sia, S’pura,
Selain penambahan kuota, keputusan membenarkan teksi rentas sempadan menurunkan penumpang di mana-mana lokasi di negara destinasi turut dianggap sebagai pembaharuan besar yang memudahkan perjalanan pengguna. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Peningkatan kuota teksi rentas sempadan Johor-Singapura kepada 500 unit secara berperingkat dilihat sebagai langkah penting bukan sahaja untuk melancarkan pergerakan rentas sempadan, malah bagi mengekang aktiviti ‘kereta sapu’ atau kenderaan mambawa penumpang secara haram yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.

Ketika ini, hanya 200 permit teksi rentas sempadan diluluskan bagi laluan Johor-Singapura, melibatkan tiga persatuan teksi berdaftar.

Namun, hasil perbincangan dua hala antara Malaysia dan Singapura, kedua-dua negara bersetuju menambah kuota sebanyak 100 permit sebagai peringkat awal, sebelum mencapai sasaran 500 permit dalam tempoh tertentu, bergantung kepada keperluan dan permintaan semasa.

Pengerusi gabungan tiga persatuan teksi rentas sempadan Johor Bahru-Singapura, Encik Mohd Suhaimi Saidi, 65 tahun, berkata peluasan kuota itu amat diperlukan bagi mengembalikan keyakinan pengguna terhadap perkhidmatan teksi berlesen yang sah, selamat dan terjamin.

Pengerusi gabungan tiga persatuan teksi rentas sempadan Johor Bahru-Singapura, Encik Mohd Suhaimi Saidi, 65 tahun.
Pengerusi gabungan tiga persatuan teksi rentas sempadan Johor Bahru-Singapura, Encik Mohd Suhaimi Saidi, 65 tahun. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Menurut beliau, penambahan permit akan memberi keutamaan kepada kenderaan bersaiz besar dan premium seperti Toyota Alphard, yang lebih sesuai untuk keluarga, kumpulan kecil serta penumpang perniagaan.

Pada masa sama, langkah ini membuka ruang kepada pemandu yang sebelum ini beroperasi secara haram untuk menyertai persatuan dan beralih kepada perkhidmatan sah mengikut peraturan yang ditetapkan.

“Kuota ini tidak diberi sekali gus, ia akan ditambah secara berperingkat, dengan agihan kepada persatuan dibuat berdasarkan keperluan.

“Fokus utama adalah untuk mengurangkan kenderaan yang membawa penumpang secara haram dan memastikan kebajikan pemandu teksi berlesen terus terpelihara,” katanya ketika ditemui Berita Harian (BH).

Selain penambahan kuota, keputusan membenarkan teksi rentas sempadan menurunkan penumpang di mana-mana lokasi di negara destinasi turut dianggap sebagai pembaharuan besar yang memudahkan perjalanan pengguna.

Sebelum ini, lokasi pengambilan dan penurunan penumpang dihadkan kepada terminal tertentu, sekali gus menimbulkan kekangan kepada penumpang dan pemandu.

Bagaimanapun, Encik Suhaimi berharap beberapa isu pelaksanaan dapat diteliti semula, termasuk caj kemasukan ke Singapura bagi teksi yang memasuki republik itu tanpa penumpang. Menurut beliau, caj tersebut menambah kos operasi, terutama apabila terpaksa memasuki Singapura untuk mengambil tempahan atau berdepan kesesakan di sempadan.

Bagi warga Singapura, kehadiran teksi rentas sempadan dilihat sebagai satu keperluan, khususnya bagi mereka yang membawa keluarga, warga emas atau kanak-kanak kecil.

Seorang kakitangan swasta, Encik Johari Aziz, 41 tahun, dari Yishun, berkata teksi jauh lebih praktikal berbanding bas awam, terutama ketika membawa anak kecil dengan kereta sorong.

Encik Johari Aziz, 41 tahun.
Encik Johari Aziz, 41 tahun. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

“Saya kunjungi Johor setiap musim cuti persekolahan bersama keluarga... pada saya, lebih mudah menaiki teksi daripada terpaksa naik turun tangga di Tambak Johor untuk urusan cop pasport,” katanya.

Seorang lagi pengguna, yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Rizwan, berkata perkhidmatan teksi memudahkan urusan membeli-belah dan aktiviti keluarga di Johor tanpa perlu bergantung kepada kenderaan persendirian.

“Biasanya keluarga saya akan berbelanja setiap hujung minggu di Pasar Larkin, Johor Bahru City Square dan pusat beli-belah di Angsana sebelum pulang,” katanya.

Dengan sasaran kuota 500 permit, peluasan perkhidmatan teksi rentas sempadan ini bukan sekadar isu pengangkutan, tetapi sebahagian usaha lebih besar untuk memperkemas mobiliti Johor-Singapura, menyokong pelancongan, merancakkan ekonomi setempat dan memastikan pergerakan rentas sempadan yang lebih selamat serta berperaturan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg