JOHOR BAHRU: Parti Islam SeMalaysia (PAS) Johor menggesa pembaharuan menyeluruh dalam pengurusan warden asrama dengan melantik tenaga profesional sepenuh masa bagi menangani masalah buli yang kian membimbangkan di institusi pendidikan berasrama.
Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Johor, Encik Abu Irfan Muhammad Al-Urduni, berkata kejadian buli di sekolah berasrama penuh, kolej, institusi Mara, universiti dan pusat tahfiz bukan lagi kes terpencil, malah ada yang mengakibatkan kecederaan parah dan kehilangan nyawa, termasuk kejadian membabitkan Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Menurutnya, kebanyakan warden asrama kini terdiri daripada tenaga pengajar seperti guru, pensyarah atau guru tahfiz yang terpaksa memikul tanggungjawab tambahan di luar waktu mengajar.
“Beban kerja yang berlebihan menyebabkan mereka keletihan, tertekan dan tidak mampu menangani masalah disiplin secara berkesan,” katanya dalam satu kenyataan pada 12 Ogos.
Beliau menegaskan bahawa elaun warden yang kecil tidak sepadan dengan tanggungjawab dan risiko yang dipikul.
“Keletihan berpanjangan bukan sahaja menjejas mutu pengajaran, malah mengurangkan keberkesanan kawalan terhadap pelajar.
“Justeru, PAS Johor menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan pengurusan institusi tahfiz untuk segera melantik warden sepenuh masa daripada kalangan kakitangan bukan tenaga pengajar atau pihak luar yang dilatih khusus,” jelasnya.
Selain itu, warden yang dilantik perlu diberi latihan dalam pengurusan pelajar, pencegahan buli dan kemahiran kaunseling asas.
“Kadar elaun juga perlu dinaikkan agar setimpal dengan tanggungjawab, di samping pemantauan prestasi secara berkala bagi memastikan keberkesanan tugas.
“Semua calon warden wajar disaring dengan pemeriksaan latar belakang bagi memastikan mereka bebas daripada rekod jenayah dan mempunyai akhlak yang baik,” tambahnya.
Menurutnya lagi, PAS Johor turut menggesa pelaksanaan audit keselamatan secara menyeluruh di semua institusi pendidikan berasrama termasuk Sekolah Berasrama Penuh, politeknik, kolej komuniti, universiti awam, universiti teknikal, institusi Mara, asrama harian dan pusat tahfiz, bagi mengenal pasti kelemahan prosedur keselamatan dan memperkukuh langkah pencegahan buli.
Encik Abu Irfan turut menegaskan bahawa tugas utama tenaga pengajar adalah mendidik dan membimbing pelajar, bukannya bekerja tanpa henti siang dan malam.
Beliau percaya bahawa dengan adanya warden luar yang berkemahiran dan disaring rapi, disokong audit keselamatan yang menyeluruh, beban tenaga pengajar dapat dikurangkan, kes buli dapat diminimumkan dan keselamatan pelajar dapat dijamin.
Menurutnya lagi, jika mahu membendung budaya buli yang semakin bertambah, sistem pendidikan berasrama perlu diperbaharui dari segi pengurusan asrama dan kawalan keselamatan demi menjaga kebajikan tenaga pengajar dan keselamatan pelajar.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg