KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman telah menghantar satu pasukan siasatan khas ke Kontinjen Sabah bagi mengambil alih siasatan kes kematian tragik pelajar berusia 13 tahun di Sabah, Alllahyarhamha Zara Qairina Mahathir.
Pejabat Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) dalam satu kenyataan berkata sembilan pegawai dan anggota JSJ sudah dihantar ke Sabah.
“Penghantaran pasukan petugas khas ini adalah sebahagian daripada komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memastikan siasatan dilaksanakan secara telus dan menyeluruh.
“PDRM memandang serius setiap kes yang membabitkan kehilangan nyawa.
“Sehubungan itu, PDRM menyeru agar semua pihak memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dengan profesional, serta mengelakkan daripada membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan,” katanya dalam satu kenyataan pada 11 Ogos, lapor Berita Harian Malaysia.
Sebelum ini, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi jaminan siasatan terhadap kes Zara Qairina akan dijalankan secara telus tanpa ada tolak ansur dan mengarahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M Kumar, memantau sendiri kes berkenaan.
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, turut mengarahkan pihak berkuasa berkaitan untuk menjalankan siasatan menyeluruh serta telus berhubung kes kematian Zara Qairina.
Istana Seri Kinabalu dalam satu kenyataan pada 11 Ogos meminta semua pihak memberi ruang kepada proses undang-undang untuk berjalan dengan adil, serta berdiri seiring keluarga Zara Qairina dalam mencari jawapan dan penyelesaian kes itu.
Pada 9 Ogos, pusara Allahyarhamha Zara Qairina telah digali semula bagi membolehkan proses bedah siasat ke atas jenazah mangsa dijalankan di Hospital Queen Elizabeth 1, Kota Kinabalu, Sabah, sebelum dikebumikan semula pada 1.15 pagi, 11 Ogos.
Sementara itu di Lahad Datu, Sabah, keluarga seorang pelajar yang gambarnya tular dalam laman sosial kerana dikaitkan dengan kes kematian Zara Qairina, menafikan pembabitan remaja perempuan itu dalam kes berkenaan.
Menurut kenyataan dipercayai dibuat oleh bapa pelajar itu menerusi Facebook, anaknya dikatakan sudah berhenti dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Limauan di Papar, awal 2025.
Sebelum ini, media melaporkan Zara Qairina ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dekat longkang berhampiran asrama sekolah agama tempatnya belajar pada pagi 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital keesokan harinya.
Kematian pelajar Tingkatan Satu itu mendapat tumpuan meluas susulan dakwaan berlaku insiden buli membabitkan pelajar senior di sekolah berkenaan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg