PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan mendapati enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bersalah membunuh Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain pada 2017 dan memerintahkan mereka dihukum gantung sampai mati.
Keputusan itu dibuat pada 23 Julai oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, dipengerusikan Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail, yang bersidang bersama Hakim Mohamed Zaini Mazlan dan Hakim Datuk Azmi Ariffin, selepas membenarkan rayuan silang pendakwaan untuk menghidupkan semula tuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Enam bekas penuntut itu ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.
Allahyarham meninggal dunia pada 1 Jun 2017 di Hospital Serdang akibat kecederaan daripada 90 kejadian dikenakan seterika wap, yang menyebabkan 80 peratus badannya melecur.
Pegawai kadet berusia 21 tahun itu juga mengalami beberapa serangan lain kerana enggan mengaku mencuri komputer riba salah seorang daripada enam bekas pelajar tersebut, di asrama universiti awam di Kuala Lumpur itu.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini mendapati semua tertuduh bersalah dengan niat menyebabkan kecederaan ke atas Allahyarham Zulfarhan tanpa niat membunuh, mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan, dan mengenakan hukuman 18 tahun penjara.
Pendakwaan membuat rayuan terhadap hukuman tersaebut dan dalam keputusannya, Mahkamah Rayuan menyifatkan pembunuhan Allahyarham sebagai satu jenayah kekejaman paling jarang berlaku.
Datuk Hadhariah berkata kejadian itu berpunca daripada perbuatan tertuduh pertama hingga keenam, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau berkata mahkamah bersetuju dengan pendakwaan bahawa cara jenayah bunuh itu dilakukan bukan mengejutkan hati nurani kehakiman sahaja, malah hati nurani masyarakat.
Membacakan alasan penghakiman bertulis setebal 93 muka surat itu lebih tiga jam, Datuk Hadhariah berkata: “Kes ini adalah yang paling jarang berlaku dalam jenayah kejam. Kezaliman seperti itu mesti dihentikan.”
“Ibu bapa mana tidak berasa kecewa, marah, sedih dan menangisi pemergian anak kesayangan mereka apabila mayat si mati dikembalikan ke pangkuan untuk dikebumikan dalam keadaan yang cukup memilukan dan menyayat hati.
“Benar kata pepatah “berat mata memandang, berat lagi bahu memikul”.
“Hanya Allah sahaja yang tahu betapa hancurnya dan luluhnya hati dan perasaan mereka apabila melihat keadaan anak mereka diperlakukan sebegini rupa oleh keenam-enam tertuduh ini seolah-olah tubuh badan si mati ini tidak sedikit pun mempunyai nilai pada kaca mata mereka hingga mereka tergamak menyeksa dan berbuat kezaliman seperti ini.
“Mahkamah tidak akan bertolak ansur dalam kejadian sebegini,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg