Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 yang melabuhkan tirainya pada 17 Januari meninggalkan strategi penting buat parti Melayu itu berdepan landskap politik Malaysia yang semakin berpecah, ketika Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kian menghampiri.
Di pentas PAU 2025, Umno dilihat berusaha menjenamakan semula parti dan mencari hala tuju baru sebagai medan penyatuan Melayu, antaranya dengan menubuhkan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa, ketika sokongan terhadap parti itu terus merosot.
Penubuhan jawatankuasa itu diumumkan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika menyampaikan ucapan dasar di pentas PAU 2025, pada 16 Januari.
Kebimbangan terhadap sokongan pengundi kepada Umno telah diterjemahkan dalam beberapa siri pilihan raya sebelum ini, termasuk yang terkini menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada November 2025.
PRN itu menyaksikan Umno hanya memenangi lima daripada 14 kerusi yang ditandingi.
Berdasarkan data yang dikongsi Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, pada PAU 2025, PRN Sabah menjadi satu isyarat menyentak yang menyedarkan atau ‘wake up call’ terbesar buat Umno, apabila hanya 144,584 undi diterima parti itu berbanding 622,637 ahli berdaftar.
“Pengajarannya, ahli bukan semestinya pengundi dan pengundi tidak semestinya kekal bersama kita,” ujarnya ketika membentangkan Ucapan Pelaporan Setiausaha Agung di PAU 2025, sekali gus menuntut Umno melaksanakan perubahan dan hijrah politik segera demi kelangsungan parti itu.
Kenyataan itu memang pahit buat Umno yang pernah menganggap Sabah sebagai simpanan tetap parti berkenaan.
Malah, trend penurunan sokongan terhadap Umno bukan terhad kepada PRN Sabah saja, malah, sudah berulang dalam tiga PRU yang lalu iaitu PRU13, PRU14 dan PRU15.
Umno turut merekodkan pertambahan 46,655 ahli pada 2025, menjadikan jumlah keseluruhannya 3.525 juta.
Bagaimanapun, ia tidak diterjemahkan dalam bentuk sokongan pengundi.
Pada usia hampir lapan dekad, Umno tidak lagi berada pada kedudukan dominan seperti suatu ketika dulu termasuk tempoh 60 tahun pemerintahan.
Sebaliknya parti itu terus berdepan cabaran untuk mengekalkan kelangsungannya sebagai parti Melayu terbesar di Malaysia, dalam suasana persaingan politik yang kian sengit.
Dalam konteks itu, PAU 2025 dilihat bukan sekadar acara tahunan, bahkan medan penting bagi Umno mempamerkan usaha penjenamaan semula serta merangka strategi kelangsungan politiknya.
Ia termasuk melalui agenda penyatuan Melayu dan pembukaan semula pintu kepada bekas ahli serta seteru politik.
Namun persoalannya, sejauh manakah langkah yang diumumkan termasuk Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa untuk menarik semula sokongan dan penyertaan mana-mana pihak termasuk mantan ahli ke dalam Umno, mampu mengukuhkan kedudukan parti itu menjelang PRU16 yang perlu diadakan sebelum Februari 2028?
Adakah ia mencerminkan perubahan sebenar atau sekadar penyesuaian sementara?
Penganalisis politik daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UiAM), Profesor Dr Zaid Ahmad, berkata penubuhan jawatankuasa itu berpotensi membawa kejayaan kepada Umno sekiranya ia dapat disampaikan dengan berkesan serta disokong oleh model politik yang jelas dan meyakinkan.
“Konflik dalaman dan antara parti yang berlarutan dalam Umno sejak beberapa tahun lalu, akhirnya meletakkan parti itu dalam fasa political accommodation atau penyesuaian politik yang memerlukan agenda baru seperti penubuhan jawatankuasa itu dilakukan,” katanya kepada Berita Harian (BH).
Beliau menambah, dalam teori politik, apabila sesuatu parti terlalu lama berada dalam konflik, keletihan politik akan berlaku dalam kalangan kepimpinan dan akar umbi, sehingga mendorong semua pihak mencari jalan untuk meredakan ketegangan dan menstabilkan keadaan.
“Apabila keadaan ini berlarutan, ahli parti akan berada dalam situasi ‘lelah politik’ di mana hampir semua perkara dilihat tidak betul.
“Maka parti akan cenderung memilih laluan yang boleh mengendurkan konflik seperti penubuhan jawatankuasa ini,” katanya.
Menurut beliau, usaha ke arah penyatuan Melayu bukanlah perkara baru dalam politik, dengan percubaan sebelum ini termasuk Muafakat Nasional (MN) serta gagasan payung besar Melayu yang diilhamkan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dikenali sebagai Jawatankuasa Sekretariat Orang Melayu.
Namun menurut beliau, kesannya dilihat terhad.
“Pada ketika ini, setiap parti seolah-olah ‘menjual produk’ masing-masing, dan persoalannya ialah model atau tawaran politik apa yang mahu diketengahkan Umno, serta sejauh mana ia akan berjaya menjadi pemulih Umno dalam menarik pengundi pada PRU16 nanti,” katanya.
Pemerhati politik yang juga Zamil Kanan dan Geostrategis, Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan, pula berpandangan usaha penyatuan orang Melayu oleh Umno melalui konsep Rumah Bangsa dilihat sebagai langkah strategik Umno untuk merampas semula naratif penyatuan Melayu yang sebelum ini banyak dikaitkan dengan MN.
Menurut beliau, MN ketika ini sering dilihat sinonim dengan Parti Islam SeMalaysia (PAS), malah parti itu dikatakan mempunyai kelebihan dan kawalan yang lebih dominan dalam kerangka kerjasama berkenaan.
“Dengan pengenalan konsep Rumah Bangsa, Umno berusaha membina semula naratif bahawa parti itu masih mempunyai keupayaan untuk menyatukan orang Melayu,” katanya kepada BH.
Menurutnya, pendekatan tersebut bukan saja bertujuan memperkukuh keyakinan akar umbi Umno, malah menyampaikan mesej parti itu mahu kembali dilihat sebagai wadah utama penyatuan orang Melayu dan Bumiputera, termasuk di Sabah dan Sarawak.
“Ini memberi satu bentuk keyakinan dan suntikan semangat kepada penyokong Umno bahawa parti itu masih relevan dan mampu memainkan peranan sebagai penyatu bangsa,” katanya.
Walaupun langkah baru Umno menerusi Rumah Bangsa itu dilihat sesetengah pihak sebagai ancaman kepada Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Profesor Dr Zaid, berpandangan sebaliknya.
“Bagi saya tidak (mengancam) sebaliknya langkah ini sebenarnya menjadi nilai tambah kepada kerajaan. Datuk Anwar sebagai Perdana Menteri tidak mengambil pendekatan menghakimi pihak yang tidak menyokongnya.
“Tujuannya adalah untuk mewujudkan kestabilan politik dan menarik lebih ramai pihak ke dalam arus perdana.
“Dalam konteks ini, bagi saya PH tidak akan tercabar, malah usaha tersebut memberi nilai tambah kepada kelangsungan kerajaan.
“Bagaimanapun, sudah tentu, pihak pembangkang memerhati dengan teliti sebarang langkah diambil Umno, kerana ia boleh menjejaskan persaingan mereka mendapatkan sokongan pengundi,” ujarnya.
Penubuhan jawatankuasa itu adalah sebahagian penjenamaan semula Umno menjelang PRU16.
Pada PAU 2025 Umno, Datuk Ahmad Zahid turut menjelaskan Umno mesti bersedia menghadapi landskap politik di luar kebiasaan, termasuk gandingan berbeza di peringkat Persekutuan dan negeri menjelang PRU16.
Umno turut menggariskan tiga realiti politik yang perlu ditangani parti itu ketika ini termasuk cabaran politik rentas gabungan kepartian, realiti dinamik politik Melayu dan cabaran identiti serta krisis keyakinan, yang mesti diurus.
Berdasarkan perkembangan itu, Profesor Dr Azmi mengaitkan penjenamaan semula Umno dengan menekankan strategi untuk menangkis kritikan daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP), walaupun kededuanya kini berada dalam Kerajaan Perpaduan.
“Bagi saya, konsep penjenamaan semula ini menekankan keupayaan Umno untuk mempertahankan kepentingan Melayu dan Islam, sambil menunjukkan bahawa parti itu tetap tegas dalam isu sensitif walaupun beroperasi dalam gabungan kerajaan yang pelbagai,” katanya.
Dalam usaha keras Umno untuk kekal relevan sebagai parti politik Melayu yang diyakini, kededua pengamat menyifatkan sama ada Umno mampu mengembalikan pengaruhnya, bergantung kepada strategi yang dijalankan.
Lebih 6,400 perwakilan Umno daripada 191 bahagian seluruh Malaysia berhimpun di WTC, sehingga 17 Januari untuk PAU2025.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg