Umno usul kolaborasi agung gabung semua parti politik Melayu/Islam

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Umno usul kolaborasi agung gabung semua parti politik Melayu/Islam

Sebagai langkah penyatuan parti politik, tidak gugat kedudukan Kerajaan Perpaduan sedia ada
Jan 17, 2026 | 8:24 PM

Umno usul kolaborasi agung gabung semua parti politik Melayu/Islam

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
umno, Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025, parti politik Melayu/Islam
Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (dua dari kiri) bersama timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan (kiri) dan Setiausaha Agung, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, ketika ucapan penggulungan pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, pada 17 Januari. - Foto BERNAMA

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menutup pentas Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 dengan mengumumkan cadangan pembentukan satu kolaborasi agung yang menghimpunkan parti politik berteraskan Melayu dan Islam di Malaysia di bawah satu kerangka kerjasama lebih luas.

Usul itu dikemukakan Datuk Ahmad Zahid ketika ucapan penggulungan pada hari terakhir PAU 2025 pada 17 Januari, dengan memperjelaskan usaha tersebut sebagai langkah penyatuan parti politik yang tidak akan menggugat kedudukan Kerajaan Perpaduan sedia ada atau sebarang perubahan struktur kerajaan.

Beliau berkata Umno secara rasmi menerima sebarang usaha ‘risikan dan pinangan’ yang telah dibuat ke arah pembentukan kerjasama berkenaan sebelum ini, dengan syarat jelas bahawa ia tidak akan menjejaskan kestabilan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kolaborasi ini tidak bertujuan menggugat kerajaan yang ada, sebaliknya untuk menyatukan roh dan perjuangan parti-parti Melayu dan Islam dalam kerangka yang lebih besar,” katanya di pentas PAU 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Datuk Ahmad Zahid menjelaskan, kolaborasi agung yang dicadangkan itu tidak melibatkan pembubaran mana-mana parti, sebaliknya membayangkan satu bentuk kerjasama awal secara tidak rasmi sebagai langkah permulaan ke arah penyelarasan politik Melayu/Islam yang lebih tersusun.

Cadangan tersebut dizahirkan selepas Umno pada 16 Januari mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa dan penganjuran Musyawarah Nasional, yang bertujuan menarik sokongan atau keanggotaan semula mantan ahli dan mana-mana pihak secara individu atau en bloc yang mahu bersama Umno.

Datuk Ahmad Zahid ketika itu berkata penubuhan jawatankuasa berkenaan adalah sebahagian usaha penjenamaan semula parti itu menjadi ‘rumah besar Orang Melayu’ menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Datuk Ahmad Zahid juga memaklumkan penubuhan Majlis Perundingan Ummah, yang telah diluluskan oleh Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Menurut Datuk Ahmad Zahid, semua platform itu bertujuan menyediakan ruang dialog dan rundingan antara parti serta pertubuhan Melayu/Islam, dan kolaborasi agung yang dicadangkan dilihat sebagai fasa seterusnya untuk menterjemahkan perbincangan tersebut ke dalam kerjasama politik yang lebih konkrit.

“Daripada penubuhan jawatankuasa, kepada Musyawarah Nasional dan Majlis Perundingan Ummah, matlamatnya adalah untuk mengetepikan perbezaan dan warna politik demi kepentingan lebih besar, khususnya agenda Melayu dan Islam,” katanya.

Datuk Ahmad Zahid turut memberi jaminan bahawa langkah itu bukan agenda politik terselindung atau cubaan Umno mencetuskan ketidakstabilan politik.

“Kepada Perdana Menteri, jangan bimbang. Ini bukan agenda ‘tebuk atap’ atau usaha untuk menggugat Kerajaan Perpaduan, tetapi satu usaha untuk menzahirkan keikhlasan Umno dalam menyatukan parti-parti Melayu dan Islam,” katanya.

Umno merupakan antara parti utama dalam kerajaan gabungan bersama Pakatan Harapan (PH) yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 pada November 2022.

Sebarang usaha penyusunan semula landskap politik Melayu/Islam selepas itu sering dilihat sebagai sensitif kerana implikasinya terhadap kestabilan politik negara.

Dalam ucapannya, Datuk Ahmad Zahid sekali lagi mempertahankan kerjasama dijalin bersama PH dalam Kerajaan Perpaduan, dengan memperjelaskan beberapa keputusan dan cadangan Umno yang dipersetujui Kabinet dan Datuk Anwar.

Menurutnya, Datuk Anwar memberikan kepercayaan kepada Umno dengan memperuntukkan lapan jawatan dalam Kabinet, satu keputusan yang dianggap sebagai tanda kasih Perdana Menteri terhadap Umno.

“Datuk Anwar merupakan pemimpin yang lahir daripada DNA Umno, justeru memahami sejarah, peranan serta kedudukan parti itu dalam landskap politik negara. Beliau sayangkan Umno,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Ahmad Zahid turut mengesahkan pemilihan parti itu yang sepatutnya dijadual diadakan pada Mac 2025, ditangguhkan sehingga selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

PRU dijangka diadakan pada 2027.

Menurut beliau penangguhan itu mematuhi Perlembagaan Umno yang baru dipinda, langkah yang dilihat sebagai usaha Umno untuk mengelakkan perpecahan dalam parti yang boleh menjejaskan kestabilan Umno menjelang PRU akan datang.

“Perlembagaan Umno telah dipinda iaitu selepas 18 bulan daripada tarikh akhir tahun pemilihan atau selepas PRU, mana-mana yang dulu,” kata Datuk Ahmad Zahid.

Setiausaha Agung, Datuk Dr Asyraf Wajid Dusuki, kemudian menegaskan keputusan penangguhan pemilihan sebagai satu langkah bijak untuk Umno menguatkan kesepaduan dan ‘memulihkan’ parti terlebih dulu, terutama menjelang PRU.

Sementara itu Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Akmal Saleh, dalam ucapan penggulungannya memohon supaya Umno mempertimbangkan semua usul dibawa sayap Umno dalam Konvensyen Khas Pemuda Umno, baru-baru ini, yang disifatkan manifestasi suara akar umbi.

Ia termasuk gesaan supaya Umno meninggalkan Kerajaan Perpaduan, selain menuntut Muafakat Nasional (MN) – gagasan yang dibina bersama Parti Islam SeMalaysia (PAS) sebelum ini dihidupkan kembali.

Datuk Dr Akmal meletak jawatan Exco kerajaan Melaka pada 15 Januari lalu di pentas PAU 2025, selepas menerima desakan daripada pemimpin parti komponen PH daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP), menyusuli kelantangannya mahu Umno meninggalkan Kerajaan Madani. 

Datuk Ahmad Zahid ketika menyentuh gesaan Pemuda Umno itu menegaskan Umno akan kekal bersama Kerajaan Perpaduan yang dibentuk bersama Pakatan Harapan termasuk DAP, sehingga tamat penggal.

Dalam pada itu, PAU 2025 turut dihadiri pemimpin parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) iaitu Persatuan Cina Malysia (MCA) dan Parti Kongres India (MIC), sekali gus melonggarkan spekulasi bahawa parti itu akan meninggalkan BN, menyusuli kerjasama Umno bersama DAP dalam Kerajaan Perpaduan.

PAU 2025 yang bermula 14 Januari dan berakhir pada 17 Januari dilihat pentas paling kritikal untuk Umno memetakan hala tuju sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dihadiri oleh lebih 6,400 perwakilan Umno daripada 191 bahagian serata Malaysia.

PAU 2025 sepatutnya diadakan pada November 2025 lalu, bagaimanapun ditangguhkan ke Januari 2026 bagi membolehkan Umno memberi tumpuan untuk Pilihan Raya Negeri Sabah, pada akhir November 2025.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg