Topik diikuti
Pergi ke BHkuSuntikan tenaga muda, berpengalaman jadi taruhan parti politik PRN N. Sembilan
Suntikan tenaga muda, berpengalaman jadi taruhan parti politik PRN N. Sembilan
Meski kurang pengalaman dalam arena politik, calon muda ada iltizam untuk bawa pembaharuan
Suntikan tenaga muda, berpengalaman jadi taruhan parti politik PRN N. Sembilan
Gabungan calon berpengalaman dan muka baharu, termasuk yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya, menjadi taruhan parti politik yang bersaing dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Dengan hari pengundian yang semakin hampir pada 1 Ogos, calon muda dan muka baharu, meskipun masih kurang pengalaman dalam arena politik, turut tampil dengan iltizam yang tinggi serta visi untuk membawa pembaharuan di Negeri Sembilan.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia, seramai 103 calon layak bertanding merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan dalam PRN Negeri Sembilan kali ini.
Daripada jumlah itu, calon daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Encik M Leevineshwaraan, 23 tahun, muncul sebagai calon termuda, manakala calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Abd Latif A Tambi, 70 tahun, pula sebagai calon tertua pada PRN Negeri Sembilan itu.
Kededua calon menyifatkan usia bukan penghalang untuk mereka memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat, sekiranya memenangi PRN itu.
Encik Leevineshwaraan yang mempertaruhkan nasib di DUN Sri Tanjung di bawah Parlimen Port Dickson, akan berdepan saingan lima penjuru termasuk penyandang kerusi berkenaan, Datuk Dr G Rajasekaran daripada PH, selain calon daripada Barisan Nasional (BN) dan dua calon bebas.
Bagi Encik Leevineshwaraan, latar belakangnya yang aktif dalam kerja kebajikan membantu bapanya dalam sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebelum ini mencetus minat dan mendorongnya menyahut cabaran parti untuk bertanding dalam PRN kali ini.
“Sejak dua tahun lalu saya aktif membantu bapa melakukan kerja amal dengan memberi pelbagai sumbangan terutama barangan runcit kepada golongan memerlukan.
“Namun, saya melihat usaha ini dapat diperluaskan sekiranya kita mempunyai ada kuasa politik.
“Justeru saya memutuskan bertanding di DUN Sri Tanjung dalam PRN kali ini dengan matlamat memberi lebih banyak sumbangan kepada masyarakat dan memperjuangkan keperluan mereka,” katanya.
Antara calon muda lain yang turut diketengahkan ialah mantan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Encik Ahmad Shahir Mohd Shah, 41 tahun, yang bertanding di kerusi DUN Paroi mewakili PH, selain anak kepada tokoh politik terkenal Malaysia, Tan Sri Rais Yatim, Encik Danni Rais, 39 tahun, yang bertanding bagi DUN Klawang atas tiket Perikatan Nasional (PN).
Encik Ahmad Shahir yang aktif berpolitik sejak berusia 21 tahun dan pernah berkhidmat dengan beberapa pemimpin politik di Negeri Sembilan, optimis pengundi akan memberi peluang kepadanya yang pertama kali menyertai PRN dengan bertanding di DUN Paroi.
Beliau yang turut pernah berkhidmat dengan mantan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub serta mantan Exco Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani, akan berdepan persaingan tiga penjuru dengan calon penyandang dari PN dan Bersatu.
“Saya melihat pengundi di DUN Paroi lebih terbuka menerima calon yang bertanding.
“Sepanjang berkhidmat dengan mantan pemimpin PH, terutama Datuk Mohamad Taufek, saya adalah antara penggerak banyak program dan kegiatan pembangunan belia di Negeri Sembilan.
“Justeru jika diberi peluang menjadi wakil rakyat DUN Paroi, saya ingin menjadikan Paroi sebagai hab sukan dengan menaik taraf kemudahan sedia ada, selain melengkapkan 46 taman perumahan di DUN Paroi dengan kelengkapan sukan.
“Selain itu saya juga beriltizam meneruskan usaha membangunkan ekonomi dan membasmi kemiskinan kerana DUN Paroi antara kawasan yang memiliki ramai penduduk kurang berkemampuan di Negeri Sembilan, selaras manifesto PH di peringkat negeri,” kata Setiausaha Pemuda Amanah Nasional itu kepada Berita Harian.
Dalam pada itu, Encik Danni bakal bersaing dalam pertandingan tiga penjuru termasuk berdepan sepupunya yang juga penyandang kerusi DUN Klawang sebelum ini, Datuk Bakri Sawir daripada PH, selain calon daripada Bersatu.
Encik Danni yang kali kedua menyertai pilihan raya selepas pengalaman pertamanya pada PRN 2023 tekad menebus kekalahan sebelum ini di tangan sepupunya itu, dengan memperbaiki pengalaman ketika berkempen sebelum ini.
“Antara yang ingin saya beri perhatian sekiranya menang PRN ini ialah untuk memajukan Klawang sebagai salah satu tarikan pelancongan terkenal di Malaysia kerana banyak aset adat dan budaya di sini yang menarik, belum diketahui pelancong,” katanya yang mewakili Parti Wawasan Negara.
Sementara itu, bagi calon tertua, Datuk Abd Latif yang juga Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Sembilan pula, usia hanyalah sekadar nombor dan beliau percaya pengalamannya, termasuk dalam bidang politik dapat membantunya berbakti kepada rakyat dengan berkesan.
Mantan Penyelaras DUN Gemencheh itu kekal dengan stamina setiap kali turun padang sepanjang tempoh kempen, malah berazam untuk menjadikan DUN Gemencheh sebagai hab sukan andai memenangi PRN nanti.
“Alhamdulillah, selain ada pengalaman, saya juga ada hubungan baik dengan kepimpinan PH di peringkat negeri mahupun nasional.
“Ia akan melancarkan gerak kerja memajukan DUN Gemencheh sekiranya saya menang pada PRN kali ini,” katanya yang berdepan pertandingan satu lawan satu dengan calon BN yang juga penyandang kerusi itu.
PRN Negeri Sembilan menyaksikan seramai 889,490 pengundi layak memilih, dengan hari pengundian ditetapkan pada 1 Ogos, manakala pengundian awal untuk anggota polis dan tentera pada 28 Julai.