Topik diikuti
Pergi ke BHkuPRN Johor: Belia bukan hanya mahu kerja, gaji juga perlu cukup
PRN Johor: Belia bukan hanya mahu kerja, gaji juga perlu cukup
Pengamat: Isu kos sara hidup golongan belia dijangka pengaruhi cara mereka undi
PRN Johor: Belia bukan hanya mahu kerja, gaji juga perlu cukup
Berdiri di balik kaunter bayaran, Encik Muhammad Daniel Ibrahim, menyambut kedatangan pelanggan dengan senyuman mesra di kafe D’Side Kitchen setiap hari.
Sejak dua tahun lalu, beliau bekerja di kafe milik abangnya itu yang terletak di Stulang Bahru, dekat Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru, iaitu juga kawasan perkampungan tempat beliau membesar.
Namun, rutin Encik Daniel tidak berakhir di situ.
Jika sebelah siang beliau sibuk di kafe, sebelah petang pula, pemuda berusia 24 tahun itu bekerja di kedai gunting rambut demi menambah mata pencarian.
Bagi Encik Daniel yang memilih jalan ke kolej vokasional untuk mendalami bidang kemahiran, beliau menyedari bahawa realiti pasaran kerja hari ini amat menuntut pengalaman berbanding teori semata-mata.
“Orang nak ambil pekerja dengan pengalaman. Dengan pengalaman dah boleh bekerja, dan kemudian banyakkan kemahiran.
“Saya pun sendiri masuk kolej vokasional untuk belajar kemahiran,” kata beliau ketika ditemui Berita Harian (BH).
Malangnya, bagi sebahagian rakan Encik Daniel yang tercicir dalam pelajaran dan tidak mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) – setara peperiksaan nasional Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘O’ di Singapura – lebih sukar bagi mereka mendapat pekerjaan.
“Kita pun rasa macam kasihan sebab tak dapat kerja. Dia pun tak ada kemahiran, nak masuk kolej kemahiran pun tak boleh masuk sebab SPM tak ada,” tambahnya.
Bagi belia Johor, isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan harian mereka, seperti kos sara hidup, pekerjaan dan gaji yang setimpal, kini menjadi polemik utama dalam kalangan golongan itu, terutama dalam menghadapi keadaan ekonomi yang tidak menentu.
Bahkan, para penganalisis berpandangan bahawa isu sedemikian yang dihadapi golongan belia itu dijangka mempengaruhi cara mereka mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026 pada 11 Julai ini.
Bagi Encik Muhd Afiq Abu Hasan, 22 tahun, usaha untuk mencukupkan mata pencarian bererti beliau perlu ‘hustle’ gigih melakukan dua pekerjaan – sebagai pemandu Grab sepenuh masa dan penjual keropok lekor secara sambilan.
Lulusan diploma pendidikan Islam daripada Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim itu, yang tinggal di Segamat, telah memohon pekerjaan dalam sektor awam, namun rezekinya masih belum kunjung tiba.
Beliau berharap agar peluang dalam sektor awam dapat diperluas, khususnya dengan melonggarkan syarat akademik bagi memberi peluang kepada golongan berprestasi sederhana.
“Mungkin boleh perluaskan lagi ataupun longgarkan sedikit gred kemasukan bagi sesuatu pekerjaan – daripada cemerlang sahaja semata-mata, berilah peluang kepada prestasi sederhana tetapi boleh melakukan kerja tersebut juga,” ujarnya.
Kebimbangan mengenai pekerjaan turut dikongsi Cik Siti Nuraisyah Abdul Samad, 25 tahun, yang menekankan bahawa jurang antara kadar gaji semasa dengan kos sara hidup yang semakin meningkat meletakkan tekanan kewangan yang hebat kepada golongan muda, terutama di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi kini.
“Sekarang ekonomi tak menentu dan kos semakin tinggi, dan gaji pula tak seberapa… Bagi yang ada komitmen, bagi yang bawa kenderaan dan perlu bayar minyak dan sebagainya, memang gaji itu tak mencukupi dan kena buat dua, tiga kerja.
“Bagi yang waktu kerjanya dari 9 pagi hingga 5 petang, malam bolehlah buat kerja tambahan. Tetapi kalau waktu kerja itu lebih panjang, susah kita nak cari kelebihan,” katanya, yang bertugas sebagai moderator hos strim langsung (livestream).
Golongan belia dijangka menjadi antara kumpulan pengundi paling penting, bahkan penentu dalam PRN Johor 2026.
Susulan pelaksanaan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun (Undi18), segmen pengundi muda berusia 18 hingga 39 tahun kini membentuk blok terbesar yang berpotensi menjadi penentu keputusan di kebanyakan kerusi, khususnya di kawasan bandar dan separa bandar.
Menurut perangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga 31 Mei lalu, golongan berusia 18 hingga 39 tahun merangkumi sekitar 47.6 peratus, atau kira-kira 1.3 juta daripada keseluruhan 2.73 juta pengundi Johor yang layak, lapor The Star.
Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi, daripada Universiti Malaya berkata pengundi muda boleh menjadi penentu di PRN Johor, khususnya di kerusi marginal, tetapi mereka bukan satu blok seragam.
“Mereka lebih fleksibel, kurang terikat kepada kesetiaan tradisional keluarga dan cenderung menilai calon, prestasi serta isu semasa.
“Pakatan Harapan (PH) dan Parti Bersama Malaysia (Bersama) mungkin menarik belia bandar dan berpendidikan, manakala Barisan Nasional (BN) mempunyai kelebihan dalam kalangan belia yang mengutamakan kestabilan, peluang pekerjaan dan jaringan kerajaan,” kata beliau.
Namun, Profesor Dr Awang Azman, mengingatkan bahawa faktor paling penting adalah kadar keluar mengundi, memandangkan peratusan keluar mengundi Johor pada 2022 hanya sekitar 54 peratus.
Sementara itu, Zamil Kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr Oh Ei Sun, pula berpendapat bahawa landskap politik belia Johor boleh terbahagi, bergantung pada ideologi mereka.
Misalnya, anak-anak muda mungkin memberikan sokongan kepada parti dan pemimpin yang berorientasikan belia, seperti Bersama, yang berpotensi mengalihkan sokongan di kawasan bandar daripada PH.
Walau bagaimanapun, wujud juga golongan belia yang lebih dipengaruhi agama, yang boleh membawa kepada sokongan ketara terhadap Parti Islam SeMalaysia (PAS) (di bawah Perikatan Nasional (PN)).
“Jika anda mengimbangi kedua-dua perkara ini – iaitu golongan belia yang berfikiran progresif, dan boleh dikatakan… belia yang berfikiran lebih konservatif – keadaannya hampir sama sahaja dengan ibu bapa mereka, bukan?
“Separuh daripada mereka progresif, dan separuh lagi sangat konservatif. Namun, sudah tentu perkara itu mungkin akan memberi impak kepada keputusan di kawasan yang berbeza,” kata beliau.
Ideologi politik bagaimanapun hanya sebahagian daripada faktor yang akan mencorak pengundian belia Johor, dengan para penganalisis berkata isu yang menghimpit kehidupan harian anak-anak muda Johor turut dijangka mempengaruhi keputusan di sebalik undi mereka di PRN Johor 2026.
Dari segi isu yang dihadapi, para penganalisis menjangkakan soal seperti kos sara hidup, peluang kerja dengan gaji tinggi, perumahan, dan peluang kerja di Singapura, menjadi isu dominan dalam golongan muda.
Melahirkan kebimbangan mengenai peluang pekerjaan, pemilik perniagaan berusia 33 tahun, Encik Amirul Asyraf, memberitahu BH walaupun terdapat banyak pekerjaan bagi rakyat Johor di negeri sendiri, masalahnya adalah gajinya yang dianggap tidak setimpal sehingga memaksa mereka keluar dari Johor untuk mencari pekerjaan dengan gaji lebih baik, misalnya di Singapura.
“Di negeri Johor banyak sebenarnya ruang pekerjaan. Cuma, pendapatannya tak boleh nak membantu kos sara hidup di Johor,” kata beliau.
Sementara itu, Encik Fauzan Aminudin, seorang pekerja sektor pengilangan berusia 30 tahun, pula berkata:
“Untuk menyara kos sara hidup tinggi, ramai rakyat Johor bekerja di Singapura kerana gaji tidak setimpal.”
Pakar geostrategi dan Zamil Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan, berkata di Johor, apa yang penting adalah peluang pekerjaan bagi pengundi muda, dengan hubungan baik antara Singapura dengan Johor memainkan peranan penting dalam hal itu.
“Bagi saya, faktor ekonomi sama ada mudah atau tidak bagi mereka mendapatkan pekerjaan, walaupun bukan di Johor, malah di Singapura, dan sudah pasti kempen akan menyatakan hubungan baik antara kerajaan negeri Johor dengan Singapura.
“Itu yang memudahkan mobiliti untuk mendapatkan pekerjaan di Singapura. Jadi ini yang dikatakan faktor utama mengapa dan kenapa anak muda itu akan membuat keputusan mereka,” kata beliau.
Sementara itu, Profesor Dr Awang Azman menambah, golongan belia juga akan menilai sama ada pembangunan seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Laluan Sistem Transit Laju (RTS) benar-benar menghasilkan pekerjaan bermutu bagi rakyat Johor, dan bukan sekadar angka pelaburan.
Isu peluang pekerjaan dengan gaji yang baik telah menjadi antara tumpuan utama kerajaan negeri Johor, dengan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, pada awal Jun mendedahkan bahawa pekerjaan dengan gaji premium RM4,000 dan ke atas kini ditawarkan kepada belia Johor, lapor agensi berita, Bernama.
Beliau berkata peningkatan dalam tawaran gaji premium itu dipacu inisiatif di bawah JS-SEZ, yang telah menjadi pemangkin utama bagi pembangunan ekonomi Johor.
Menyedari kepentingan isu kos sara hidup dan pekerjaan, parti politik telah mula meletakkan agenda ekonomi sebagai teras manifesto mereka.
Contohnya, BN dalam manifestonya bagi PRN Johor 2026 telah menggariskan komitmen mewujudkan 200,000 pekerjaan baharu dan bermutu untuk rakyat Johor, termasuk yang menawarkan gaji premium.
Di pihak pembangkang, PH merancang mewujudkan 250,000 pekerjaan bergaji tinggi melalui JS-SEZ, di samping meningkatkan gaji median Johor dengan sekurang-kurangnya 30 peratus.
Bagi belia Johor seperti Encik Daniel, Encik Afiq dan Cik Nuraisyah, harapan mereka adalah agar lebih banyak daya usaha yang dapat membantu meningkatkan taraf kehidupan anak-anak muda Johor dapat dilaksanakan, termasuk peluang kerja dengan gaji lebih baik dan program peningkatan kemahiran.
“Harapan saya adalah semoga pihak yang sepatutnya dapat beri lebih bantuan kepada anak-anak muda, terutamanya yang baru nak jejak dunia luar dan susah cari kerja.
“Hidup zaman sekarang segalanya perlukan kewangan, jadi pekerjaan dengan gaji yang lebih baik penting untuk kami teruskan hidup,” kata Cik Nuraisyah.
