SEREMBAN: Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan, menyerahkan sepenuhnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung kedudukan Menteri dan Timbalan Menteri daripada Barisan Nasional (BN) dalam Kabinet.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Datuk Anwar baru-baru ini yang memberi amaran kepada mana-mana Menteri, Timbalan Menteri dan pemegang jawatan dalam agensi kerajaan, supaya tidak menggunakan kedudukan mereka untuk menyerang rakan dalam Kerajaan Persekutuan ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Ini menyusuli langkah BN – rakan gabungan dalam Kerajaan Persekutuan, membentuk persefahaman dengan blok pembangkang, Perikatan Nasional (PN) dalam mendepani PRN Negeri Sembilan ke-16.

Menurut Datuk Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), mana-mana pihak berkaitan yang melakukan perkara berkenaan akan diminta berundur daripada jawatan yang disandang.

Mengulas lanjut, Datuk Mohamad maklum soal pelantikan atau penamatan jawatan anggota pentadbiran kerajaan merupakan kuasa Perdana Menteri.

“Terpulang kepada Datuk Anwar kerana beliau yang melantik Menteri dan Timbalan Menteri.

“Jika ada arahan untuk saya meletakkan jawatan, saya tidak keberatan untuk melakukannya,” katanya selepas program di Taman Kelab Tuanku, Mambau, Seremban, pada 19 Julai, lapor Kosmo!

Sebelum itu, Angkatan Muda PH turut menggesa semua Menteri dan Timbalan Menteri daripada BN meletakkan jawatan, selepas gabungan itu memutuskan untuk bekerjasama dengan PN pada PRN kali ini.

Datuk Mohamad yang juga mantan Menteri Besar Negeri Sembilan turut bertanding dalam PRN itu untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau\.

Mengulas lanjut, Timbalan Presiden Umno itu juga menyifatkan pelbagai kenyataan yang timbul sepanjang kempen pilihan raya sebagai lumrah politik dan tidak perlu diperbesarkan.

“Politik ini biasalah, saya tidak kecil hati. Masing-masing janganlah meloncat-loncat. Dalam kempen, biasalah usik-mengusik itu perkara biasa,” katanya.

“Tak bermakna pula kita nak bermusuh secara peribadi, tidak. Kita nak supaya rakyat faham, supaya mereka memberikan sokongan kepada BN.

“Kita pujuklah mereka dan kita pastikan jangan termakan fitnah-fitnah lagi. Pada 2018 (PRU) dulu, kalahnya BN bukan kerana apa, tetapi kerana fitnah melampau.

Beliau juga mengingatkan pengundi supaya tidak termakan fitnah, termasuk menerusi media sosial yang sengaja untuk melaga-lagakan rakyat Malaysia.

“Saya minta kita berfikiran rasional dan ketika berkempen tidak menyerang peribadi seseorang,” katanya.