Selepas memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu di Selangor dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 11 Mei lalu, Cik Pang Sock Tao dari Pakatan Harapan-Parti Tindakan Demokratik (PH-DAP), sudah mula bekerja untuk menunaikan janji menyelesaikan masalah yang dibangkitkan penduduk setempat kepadanya sepanjang dua minggu tempoh berkempen.
Walaupun masih dalam fasa menyesuaikan diri selepas dipilih sebagai wakil rakyat baru di kawasan itu, Cik Pang sudah mula menyusun jadualnya sendiri termasuk untuk bertemu dengan wakil penduduk dan pemimpin tempatan bagi melancarkan tugasnya.
Cik Pang berkata Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baharu akan mula beroperasi pada 14 Mei dan beliau kini sedang berusaha membentuk pasukan untuk membantunya dalam menjalankan tugas wakil rakyat dengan lebih berkesan.
“Sejujurnya saya masih dalam proses menyesuaikan diri sebagai wakil rakyat Kuala Kubu Baharu. Namun selepas kemenangan, perkara pertama yang saya lakukan ialah turun padang menyantuni sebahagian penduduk yang telah memilih saya dengan memberi penghargaan bunga yang juga dibuat sempena Hari Ibu pada 12 Mei.
“Saya percaya kemenangan ini adalah tanda sokongan rakyat setempat untuk saya meneruskan legasi mendiang Lee Kee Hiong, selain hasil kerjasama baik dan erat jentera kerajaan Perpaduan terutama PH dan Barisan Nasional (BN). Saya berterima kasih kepada semua yang memberi kepercayaan,” katanya kepada Berita Harian.
Mengakui tidak pernah bermimpi akan menjadi ahli politik, Cik Pang, 31 tahun, berkata antara isu penting yang akan ditangani segera ialah aduan rakyat berhubung masalah setempat seperti perparitan, jalan berlubang dan ketiadaan lampu jalan.
“Sementara untuk jangka panjang, saya ada banyak perancangan terutama untuk membangunkan kawasan ini dengan pelbagai tarikan baru termasuk dalam sektor pelancongan yang dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada warga di sini.
“Saya menyasarkan untuk menganjurkan banyak program seperti latihan kepimpinan, latihan teknikal, program mencungkil bakat untuk mereka mengenal potensi diri, sekali gus membuka mata dan jalan untuk generasi muda mengejar cita-cita,” katanya.
Cik Pang, yang juga lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dari Universiti Tenaga Nasional, memenangi kerusi DUN Kuala Kubu Baharu pada PRK 11 Mei, selepas memperoleh 14,000 undi untuk meraih 3,869 undi majoriti.
Bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Encik Khairul Azhari Saut, yang memperoleh 10,131 undi, diikuti calon bebas, Cik Nyau Ke Xin (188 undi) dan wakil Parti Rakyat Malaysia (PRM), Cik Hafizah Zainudin (152 undi).
Pilihan raya itu diadakan untuk mengisi kekosongan kerusi DUN Kuala Kubu Baharu selepas penyandangnya mendiang Lee meninggal dunia akibat barah.
Sementara itu, kajian Institut Darul Ehsan (IDE) mendapati keputusan PRK DUN Kuala Kubu Baharu menyaksikan PN masih menguasai sokongan pengundi Melayu, iaitu 56 peratus, berbanding 42 peratus undi Melayu diperoleh gabungan PH-BN.
Pengurus Kanan Penyelidikan IDE, Encik Khairul Arifin Mohd Munir, berkata PH-BN bagaimanapun memperoleh peningkatan 3 peratus undi daripada kaum Melayu, berbanding pencapaian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos 2023.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg