Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Cemar sungai di Selangor: Premis proses plastik diarah henti operasi

Jul 10, 2025 | 11:44 AM
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Cik Jamaliah Jamaluddin.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Cik Jamaliah Jamaluddin. - Foto FACEBOOK JAMALIAH JAMALUDDIN

SHAH ALAM (Selangor): Lembaga Urus Air Selangor (Luas) sudah mengenal pasti punca pencemaran air Sungai Kapar Kechil di Selangor sehingga bertukar biru berikutan penemuan itu pada 18 Jun.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Cik Jamaliah Jamaluddin, berkata siasatan Luas pada 6 Julai di Kawasan Industri Batu 8, Jalan Kapar, menemukan kegiatan mencurigakan oleh sebuah premis memproses plastik kitar semula berhampiran Sungai Kapar Kechil.

“Semakan di dalam premis mendapati terdapat sebuah pam yang disyaki digunakan untuk mengepam efluen dari kolam premis ke Sungai Kapar Kechil.

“Semakan lanjut juga mendapati terdapat dua lagi pam digunakan oleh premis untuk mengambil air sungai tanpa kebenaran.

“Luas sudah mengarahkan premis untuk menghentikan serta-merta operasi pam dan melakukan pensampelan di lokasi berkaitan premis serta dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) bagi analisis dan tindakan penguatkuasaan lanjut.

“Luas membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 79 (4) Enakmen Luas 1999 bagi kesalahan mencemarkan sumber air, dan Seksyen 107 (b) bagi kesalahan mengambil sumber air tanpa kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan pada 9 Julai.

Cik Jamaliah berkata siasatan susulan Luas pada 8 Julai pula menemukan sebuah lagi premis yang disyaki di kawasan sama, lapor Berita Harian Malaysia.

“Semakan di sebuah premis penyimpanan cecair getah mendapati terdapat kebocoran kepada penutup ‘outlet tangki ‘intermediate bulk container’ (IBC) (bekas pukal perantaraan) milik premis yang menyimpan bahan cecair getah berwarna biru bagi pembuatan sarung tangan.

“Pemerhatian lanjut mendapati tiada kolam takungan di premis bagi menampung aliran sisa cecair berwarna itu sehingga menyebabkan ia terus mengalir ke dalam longkang premis, seterusnya ke parit berhampiran, dan akhirnya ke Sungai Kapar Kechil.

“Luas mengeluarkan Surat Arahan di bawah Seksyen 121 (1), Enakmen Luas 1999 untuk premis menghentikan dan menutup aliran serta melakukan pembersihan sisa tumpahan itu di semua lokasi terbabit di dalam premis serta-merta,” katanya.

Pada masa sama katanya Luas sudah melaksanakan pensampelan di semua lokasi dan dihantar kepada pihak Jabatan Kimia Malaysia untuk analisis lanjut.

Kerajaan negeri tambah beliau, memandang serius sebarang permasalahan pencemaran sumber air negeri sama ada ia terbabit ataupun tidak kepada pembekalan air mentah loji rawatan air.

“Penemuan punca pencemaran air berwarna ini berjaya mengelakkan risiko permasalahan kepada Sungai Kapar Kechil dan seterusnya pencemaran laut Selat Melaka.

“Kerajaan negeri, Luas dan agensi-agensi berkuasa berkaitan tidak akan bertolak ansur dan akan mengambil tindakan tegas terhadap kegiatan tanpa kebenaran dan kecuaian mana-mana pihak yang menimbulkan permasalahan dan mencemarkan sumber air,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg