Padang rumput laut Singapura mungkin kecil, namun baki kawasan rumput laut yangmasih ada daripada satu-satunya tumbuhan berbunga di lautan di sini, ternyata memainkan peranan besar dalam menyimpan karbon.
Demikian menurut satu kajian terkini.
Kajian tersebut mendapati padang rumput laut di rantau Indo-Pasifik Tengah, termasuk Singapura dan Malaysia, boleh menyimpan purata 86 tan metrik karbon sehektar – bersamaan dengan pelepasan karbon tahunan daripada 22 kereta.
Ini adalah lebih dua kali ganda purata sejagat sebanyak 38 tan metrik sehektar, lapor The Straits Times (ST).
Kajian tersebut, yang mengukur simpanan karbon dalam ekosistem rumput laut di seluruh dunia, dilakukan oleh penyelidik institusi akademik dan pertubuhan di seluruh dunia, termasuk Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Institut Karbon Biru Antarabangsa yang berpangkalan di Singapura.
Diterbitkan dalam jurnal penyelidikan, Nature, pada Mei, kajian tersebut mengenal pasti lagun dan delta kecil di rantau Indo-Pasifik sebagai antara lima wilayah teratas di dunia dengan potensi penyimpanan karbon organik tertinggi, di samping kawasan Mediterranean, Colombia, Florida dan Afrika Selatan.
Karbon organik merujuk kepada karbon yang berasal daripada benda hidup.
Walaupun padang rumput laut dikenali sebagai span karbon semula jadi yang mampu menyerap karbon dioksida yang memanaskan bumi, masih terdapat banyak ketidakpastian dan jurang pengetahuan mengenai ekosistem itu, menjadikan usaha pemuliharaan rumput laut amat mencabar.
Menurut para penyelidik, kajian tersebut bertujuan memberikan penggubal dasar, pemahaman lebih mendalam mengenai pelbagai faktor yang mempengaruhi potensi penyimpanan karbon padang rumput laut.
Ini boleh membantu membimbing “pembangunan, kewibawaan dan kebolehpercayaan terhadap dasar perubahan iklim, serta pembiayaan bagi menyokong pemuliharaan dan pemulihan rumput laut,” kata mereka.
Rumput laut adalah tumbuhan akuatik yang menyerap karbon dioksida melalui proses fotosintesis.
Karbon itu disimpan dalam akar dan batang bawah tanah tumbuhan tersebut, serta dalam tanah tempat tumbuhnya rumput laut.
Tertanam kukuh di dasar laut melalui akarnya, habitat itu juga boleh “memerangkap” zarah yang mengandungi karbon, seperti serpihan tumbuhan mati atau najis haiwan yang dibawa arus, kata Pengarah Kanan, Institut Karbon Biru Antarabangsa, yang juga penulis bersama kertas kajian tersebut, Dr Siti Maryam Yaakub.
Apabila lebih banyak zarah itu akhirnya mendap di dasar laut, ia terperangkap dalam struktur rumput laut.
Apabila lapisan itu terkumpul, karbon akan tertimbus oleh lapisan sedimen baru dan bergerak lebih dalam ke dasar bumi, jelas Dr Siti.
Haiwan yang menggali di dasar laut, seperti kerang dan cacing, turut membantu membawa karbon ke lapisan sedimen yang lebih dalam, tambahnya.
Ciri-ciri itu menjadikan padang rumput laut sebagai rakan yang mampu menyumbang secara ketara dalam perjuangan manusia menangani perubahan iklim.
Satu kajian berasingan, yang turut diterbitkan dalam jurnal penyelidikan, Nature, pada 2021, menganggarkan bahawa rumput laut adalah 40 kali lebih cekap dalam memerangkap karbon organik berbanding tanah hutan di daratan.
Bagaimanapun, keadaan persekitaran dan jenis rumput laut yang berbeza boleh menjejas jumlah karbon yang disimpan di sesuatu tempat, menyebabkan variasi yang besar di seluruh dunia.
Sebagai contoh, Dr Siti berkata padang rumput laut berhampiran sungai besar cenderung mempunyai kandungan karbon lebih tinggi di dasar laut disebabkan pelepasan sedimen sungai dan bahan organik yang kaya karbon.
Hujan lebat juga boleh menjejas pertumbuhan rumput laut kerana hujan boleh mengacau sedimen dan menghalang cahaya matahari daripada sampai ke tumbuhan tersebut.
Begitu juga, paras nutrien yang tinggi dalam air boleh menyebabkan alga tumbuh mekar, yang mengurangkan kejernihan air.
Paras nutrien boleh meningkat apabila makanan ikan dan bahan buangan dilepaskan dari ladang ikan ke laut.
Kajian itu merupakan antara yang pertama memetakan potensi padang rumput laut di seluruh dunia untuk bertindak sebagai span semula jadi yang dapat menyerap karbon dioksida yang memanaskan bumi, kata Dr Siti.
Melalui analisis melibatkan 2,171 teras tanah yang diperoleh dari padang rumput laut di seluruh dunia, para penyelidik mendapati padang rumput laut di rantau ini merupakan antara kawasan dengan simpanan karbon tertinggi di dunia bagi setiap hektar.
“Sebagai sebuah rantau, kita memang mempunyai simpanan karbon yang lebih tinggi sedikit daripada purata, kerana terdapat banyak rumput laut di kawasan perairan pantai yang cetek dan terlindung, yang juga bersebelahan dengan sistem sungai. Jadi, terdapat sumber yang baik bagi input luar,” ujar Dr Siti.
“Jika kita kehilangan semua rumput laut ini yang mempunyai simpanan karbon tinggi, kita tidak akan dapat memperoleh semula karbon yang hilang. Ia akan mengambil masa beberapa dekad untuk memulihkan semula (tumbuhan rumput laut ini).”
Menurut Dr Siti, Singapura mempunyai 12 daripada 72 spesies rumput laut yang diketahui wujud di seluruh dunia, dengan beberapa padang rumput laut terbesar di negara ini ditemui di Chek Jawa di Pulau Ubin, Pulau Semakau, Terumbu Cyrene dan Pantai Changi.
Padang rumput laut di Singapura juga berfungsi sebagai tempat perlindungan dan kawasan semaian bagi pelbagai haiwan seperti kuda laut, dan menjadi sumber makanan utama bagi penyu laut dan dugong.
Ancaman terbesar kepada padang rumput laut di Singapura ialah pembangunan pesisir pantai dan pemendapan tinggi.
Jumlah sedimen yang banyak dalam air boleh mengurangkan tahap penembusan cahaya yang sampai ke tumbuhan tersebut.
Sebuah ekosistem yang sihat harus mempunyai keseimbangan antara kemasukan dengan pengeluaran sedimen bagi mengelakkan hakisan – yang boleh menyebabkan karbon yang tertimbus terbongkar semula, atau rumput laut tertimbus.
Namun, perubahan kepada garis pantai daripada projek penambakan tanah boleh mengubah dinamik pergerakan air dan sedimen.
“Jika anda mengubah persekitaran pesisir pantai sehingga ia meningkatkan kadar hakisan, dan menghalang kemasukan sedimen dari sungai, kesannya adalah dua kali ganda lebih teruk – kerana sedimen akan hilang dibawa arus, tanpa bekalan untuk menggantikan sistem ini,” jelas Dr Siti.
Usaha melindungi padang rumput laut telah dipertingkat sejak 2007 apabila Lembaga Taman Negara (NParks) mula bekerjasama dengan Seagrass-Watch – program penilaian dan pemantauan rumput laut terbesar di dunia – untuk memantau kesihatan rumput laut di pesisir pantai Singapura.
Pada 2024, Singapura turut melancarkan projek pemulihan rumput laut yang pertama, melalui usaha oleh NParks dan NUS.
Projek itu dibiayai sepenuhnya oleh OCBC Bank.
Timbalan Pengarah bahagian Pesisir dan Marin, Pusat Biodiversiti Nasional NParks, Dr Samantha Lai, berkata lembaga itu juga bekerjasama dengan sukarelawan NUS dan NParks dalam projek berasingan yang bertujuan mengkaji keperluan kesihatan dan pemuliharaan rumput laut.
Melangkah ke hadapan, Dr Siti berkata pemahaman lebih baik tentang kitaran pertumbuhan bermusim rumput laut boleh membantu dalam perancangan kegiatan mengorek dan penambakan dengan lebih baik, bagi mengurangkan tekanan terhadap jumlah rumput laut.
“Sebagai contoh, jika terdapat kerja penggalian, langkah perlu diambil untuk mengawal gumpalan sedimen agar ia tidak merebak ke kawasan yang mempunyai rumput laut dan menambahkan lagi tekanan terhadapnya,” kata Dr Siti.
Di peringkat sejagat, kajian tersebut turut memberikan sedikit gambaran tentang potensi penyimpanan karbon oleh padang rumput laut di rantau ini, tambah beliau.
Namun, variasi yang besar itu turut menunjukkan setiap negara perlu mengkaji dengan lebih teliti mengenai jumlah karbon yang diserap oleh padang rumput laut mereka.
Ini terutama jika ia berhasrat memanfaatkan keupayaan penyimpanan karbon daripada habitat itu dalam rancangan mereka untuk menangani perubahan iklim, katanya.
“Masalah dengan rumput laut ialah ia belum dipetakan dengan baik.
“Contohnya, keluasan kawasan rumput laut di Indonesia dianggarkan antara 300,000 hektar dengan tiga juta hektar – satu julat yang sangat besar.
“Ini menimbulkan ketidakpastian yang tinggi dalam mengira potensi rumput laut untuk mengurangkan kesan perubahan iklim, selaras dengan komitmen iklim (negara) mereka.
“Namun, kini terdapat usaha yang sedang dijalankan untuk lebih memahami keluasan rumput laut dan memetakannya di peringkat sejagat,” ujar Dr Siti.
Singapura boleh menyumbang dalam menambah pemahaman dalam perkara ini, kata beberapa pakar tempatan.
Seorang saintis rumput laut yang juga Felow Penyelidik Kanan, Makmal Marin Nasional, Pulau St John, Dr Ow Yan Xiang, yang tidak terlibat dalam kajian terbaru itu, berkata:
“Kajian ini menunjukkan Singapura adalah antara negara yang mempunyai kepadatan data dan usaha menyediakan contoh tertinggi bagi simpanan karbon rumput laut.
“Selain itu, jumlah rumput laut kita kekal stabil, walaupun jumlah rumput laut di rantau ini merosot 4.7 peratus setahun, secara purata.”
Kepadatan data yang tinggi merujuk kepada jumlah data besar yang dikumpulkan di Singapura, dengan kadar garis pantai yang kecil.
“Ini meletakkan Singapura di barisan hadapan dalam usaha pengurangan karbon kerana, pertama, kita mempunyai pengaruh dalam rundingan iklim; dan kedua, kita mempunyai sumber dan kepakaran untuk membantu negara lain melaksanakan huraian iklim semula jadi,” jelas Dr Siti.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg