Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Cuaca panas M’sia diramal berlarutan hingga Sep

Jun 4, 2025 | 3:23 PM
Cuaca panas luar biasa berikutan pengaruh Monsun Barat Daya di Malaysia diramal berlarutan hingga September.
Cuaca panas luar biasa berikutan pengaruh Monsun Barat Daya di Malaysia diramal berlarutan hingga September. - Foto LAMAN WEB HELLO DOKTOR

Malaysia mula dilanda fenomena cuaca panas luar biasa, dengan beberapa kawasan antaranya di negeri Kedah, Perak dan Kelantan direkodkan sebagai antara yang terkesan setakat ini.

Cuaca panas sehingga suhu maksimum mencecah 37 darjah Celsius di beberapa kawasan di negeri terbabit sejak beberapa hari lalu menyebabkan orang ramai mengambil pelbagai langkah untuk menyejukkan badan dan mengurangkan risiko strok haba.

Ketua Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata keadaan cuaca panas sehingga melebihi suhu normal iaitu antara 32 dengan 34 darjah Celsius berlaku berikutan pengaruh musim Monsun Barat Daya yang diramal berlarutan hingga September.

Beliau berkata kurangnya penerimaan hujan dalam tempoh Monsun Barat Daya menjadi antara faktor keadaan cuaca lebih panas di kebanyakan tempat serata Malaysia dan berdasarkan rekod, cuaca panas yang melanda pada 2025 ini lebih buruk berbanding pada 2024.

“Cuaca panas tahun ini (2025) lebih buruk daripada tahun sebelumnya (2024), tetapi belum sampai ke tahap berlaku gelombang haba.

“Ini kerana berdasarkan rekod sebelum ini, gelombang haba biasanya berlaku antara Mac dengan Mei, namun kita sudah melepasi tempoh itu,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Dr Mohd Hisham berkata suhu panas dan kering luar biasa yang melanda kawasan terlibat akan berkurangan selepas kawasan terbabit menerima hujan.

Menurutnya, berdasarkan maklumat terkini, cuaca panas dan kering yang melanda Malaysia ketika ini dijangka tidak berlarutan ke tahap ekstrem, justeru orang ramai tidak perlu panik tetapi perlu bersedia dengan kemungkinan kawasan mereka dilanda cuaca panas luar biasa.

“Tiada jangkaan akan berlaku cuaca kering dan panas ekstrem di Malaysia sepanjang tempoh Monsun Barat Daya kali ini berikutan ramalan tiadanya pembentukan fenomena El Nino yang boleh mengakibatkan cuaca kemarau di rantau negara,” jelasnya.

Beliau menasihatkan orang ramai terutama di kawasan yang dilanda cuaca panas luar biasa untuk mengambil langkah berjaga-jaga, terutama mengelakkan kegiatan luar yang boleh membawa kepada risiko berlakunya strok haba.

Sebelum ini, MetMalaysia memaklumkan beberapa daerah di tiga negeri iaitu Kedah, Perak dan Kelantan berada pada Tahap 1 atau berjaga-jaga kerana mencatat suhu maksimum harian hingga 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.

Sementara itu, negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak pula merekodkan suhu harian kurang 35 darjah Celsius.

Media Malaysia melaporkan cuaca panas menyebabkan penduduk di Kelantan, Kedah dan Perak, terpaksa mandi lima kali sehari selain membeli pendingin hawa dan kipas angin untuk mengurangkan haba.

Malah, beberapa kawasan riadah termasuk ko­lam mandi dan sungai menjadi tumpuan penduduk untuk menyejukkan badan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg