Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi jaminan bahawa peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025 tidak akan membebankan golongan kumpulan keluarga B40 (bergaji rendah) dan M40 (bergaji pertengahan).
Beliau mengakui bahawa berlaku kekeliruan dalam kalangan orang ramai mengenai pelaksanaan semakan dan peluasan SST, namun menegaskan bahawa kerajaan akan memberikan penjelasan terperinci dalam masa terdekat.
“Kami akan beri penjelasan. Kadangkala kenyataan umum seperti ‘pisang dikenakan SST’ menimbulkan kekeliruan. Sebenarnya, ia merujuk kepada pisang yang diimport.
“Tetapi saya setuju perkara ini perlu diperjelaskan kerana yang paling penting adalah kita tidak mahu membebankan rakyat berpendapatan rendah atau kumpulan M40,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri pertemuan tertutup bersama pimpinan dan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor di sebuah pusat beli-belah di Medini pada 19 Jun.
Datuk Anwar turut mengulas pandangan bahawa sebahagian golongan kurang berkemampuan turut mengambil buah-buahan import, namun menegaskan bahawa perkara itu boleh diteliti semula termasuk dengan melakukan penyelarasan.
Menurut beliau, percukaian bukan isu mudah memandangkan masih ada pihak yang enggan membayar, sedangkan hasil kutipan cukai itu penting untuk menambah baik kemudahan pendidikan, kebajikan dan kesihatan awam di negara itu.
“Hospital awam kita penuh dan keadaan sekolah di negara kita juga agak daif. Jadi, kita perlu fikir dari mana kerajaan boleh mendapatkan dana untuk menampung semua ini.
“Itulah sebabnya kita mahu mengenakan cukai kepada golongan berpendapatan tinggi dan warga asing. “
“Sebab itu buah-buahan import dikenakan cukai.
“Malah, bagi mereka yang membayar yuran sekolah swasta antara RM10,000 ($3,029) dengan RM20,000 setahun, tidak dikenakan cukai.
“Tetapi bagi yang mampu bayar yuran sekolah swasta lebih RM60,000 setahun, tolonglah bayar sedikit cukai,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Datuk Anwar turut menegaskan bahawa kerajaan tidak akan menaikkan harga petrol RON95 buat masa ini, meskipun berlaku ketegangan geopolitik membabitkan Iran dan Israel yang menyebabkan lonjakan mendadak dalam harga minyak mentah dunia.
Beliau berkata walaupun lonjakan harga itu memberikan pulangan kepada pendapatan negara, kerajaan tetap berpegang pada pendirian untuk tidak menambah beban rakyat dengan kenaikan harga bahan api.
“Harga minyak memang turun naik. Sebelum ini harganya agak rendah tetapi kenaikan kali ini agak mendadak.
“Kenaikan ini menyumbang kepada hasil negara, namun kita tidak akan menaikkan harga petrol dalam negara,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg