Johor kini muncul sebagai antara negeri yang paling aktif dari segi pembangunan ekonomi dan telah menunjukkan kemajuan pesat yang membanggakan, kata Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berucap dalam satu majlis bersama pelabur dan pemain industri semasa Forum Nikkei di Iskandar Puteri, beliau berkata kejayaan Johor hari ini bukan sekadar hasil perancangan ekonomi yang teliti, malah bukti keupayaan negeri itu melaksanakan dasar dengan pantas dan cekap.
“Kita lihat Johor berkembang sebagai kawasan yang semakin rancak dengan pertumbuhan ekonomi.
“Ini satu pencapaian yang amat membanggakan,” katanya.
Menurutnya, usaha pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) turut menjadi tarikan pelabur antarabangsa.
Beliau berkata kerjasama erat antara kerajaan negeri Johor dengan Singapura menjadikan kawasan berkenaan unik kerana ia melibatkan dua negara yang berkongsi matlamat untuk memperkukuh ekonomi masing-masing.
“JS-SEZ ini bukan biasa-biasa, ia hasil kepercayaan penuh antara dua kerajaan dan dua sistem yang bersepakat untuk memajukan masyarakat,” katanya sambil menambah bahawa prasarana yang stabil dan dasar yang jelas, menjadikan Johor pusat pertumbuhan baru yang diiktiraf di peringkat sejagat.
Tambah beliau, penubuhan Pusat Pemudah Cara Pelaburan Malaysia di Johor adalah antara langkah penting bagi mempercepat proses kelulusan dan menarik lebih banyak pelaburan asing secara langsung.
“Kalau sesuatu permohonan boleh diselesaikan dalam dua minggu, kenapa perlu tunggu dua bulan?” katanya merujuk kepada keperluan menambah baik kecekapan pentadbiran.
Datuk Anwar turut menyatakan bahawa pelabur dari Jepun, Korea, China, Eropah dan Amerika Syarikat menunjukkan minat tinggi terhadap potensi Johor sebagai hab baru pelaburan.
Beliau turut mengajak semua pihak agar pembangunan ekonomi negara terus berpaksikan nilai, etika dan kemanusiaan.
“Kita mesti terus maju dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baru, tetapi jangan sesekali meninggalkan akar budaya, bahasa, moral dan tamadun kita,” tegas beliau.
Beliau berkata Malaysia kini berada pada landasan yang tepat untuk menjadi hab utama bagi pusat data, AI dan industri semikonduktor di rantau ini.
Namun, pelaksanaan yang cekap dan iltizam terhadap nilai murni tetap menjadi tonggak utama kejayaan jangka panjang.
Datuk Anwar yang juga merupakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) kemudian mengadakan perjumpaan bersama sekitar 300 pemimpin cabang PKR Johor, di Mall of Medini, yang turut dihadiri oleh Naib Presiden PKR, Cik Nurul Izzah Anwar.
Dalam ucapannya, Datuk Anwar berkata kekuatan sesebuah parti terletak pada keupayaannya untuk mengakui kelemahan serta berani melakukan perubahan demi masa depan rakyat dan negara.
Perjuangan politik, tambahnya, tidak pernah sunyi daripada cabaran, namun asas perjuangan mestilah sentiasa diperkukuh dengan idealisme, kesedaran dan semangat perubahan berterusan.
“Tiada satu pun pemimpin, termasuk presiden, boleh mendabik dada kononnya semuanya telah dilakukan dengan sempurna.
“Parti yang dinamik ialah parti yang sanggup membetulkan kelemahan dan membuat penyesuaian dari semasa ke semasa,” tambah beliau.
Datuk Anwar turut menekankan bahawa setiap peringkat kepimpinan – sama ada di cabang, ranting, wanita mahupun biro – perlu memikul tanggungjawab bersama dalam memperbaiki perjalanan parti serta menyampaikan mesej kepada rakyat secara lebih berkesan.
“
“JS-SEZ (Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura) ini bukan biasa-biasa, ia hasil kepercayaan penuh antara dua kerajaan dan dua sistem yang bersepakat untuk memajukan masyarakat.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg