GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang percaya mereka telah dapat membongkar kegiatan sindiket pengedaran pelbagai jenis dadah bernilai RM2.97 juta ($900,000) susulan penangjkapan enam individu, termasuk dua wanita.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin, berkata suspek berusia antara 26 hingga 42 tahun dan ditangkap di lima lokasi berasingan di sekitar ibu negeri Georgetown dan Butterworth pada 6 Disember.
Beliau berkata serbuan membabitkan sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.
Menurut beliau, pemeriksaan lanjut berjaya menemui dadah jenis ketamin, erimin 5, ekstasi, Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dan daun ganja dalam pemilikan mereka.
“Menerusi maklumat dan risikan yang diperoleh, sepasukan polis kemudian menyerbu sebuah unit rumah kondominium di Sungai Nibong pada Jumaat lalu (13 Disember) dan menemukan sejumlah pil erimin 5, pil ekstasi dan ketamin yang diisi dalam plastik lutsinar.
“Dadah yang dirampas di rumah itu boleh digunakan seramai 56,064 penagih dadah jika ia berjaya dipasarkan,” kata Datuk Mohd Alwi nya pada satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini pada 16 Disember, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau berkata siasatan awal pihaknya mendapati sindiket berkenaan bergiat aktif sejak awal 2024.
Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati semua tangkapan negatif daripada pengambilan bahan terlarang dan tiada rekod lampau membabitkan jenayah atau dadah.
“Semua direman selama lima hari sehingga 18 Disember ini bagi membantu siasatan. Keseluruhan dadah yang dirampas menerusi kedua-dua serbuan itu bernilai RM2.97 juta,” tambahnya.
Datuk Mohd Alwi berkata tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988, yang membolehkan polis turut menyita sebanyak sembilan kenderaan, empat akaun bank, wang tunai dan barang kemas.
Keseluruhan rampasan dadah dan sitaan berjumlah RM3.52 juta, ujar beliau.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg