Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dalang cemar sumber air Selangor boleh dijel 5 tahun, denda RM10j

Jul 25, 2024 | 2:16 PM
air
Penduduk Taman Prima Impian Segambut, Kuala Lumpur, mendapatkan bekalan air bersih daripada lori tangki pada 24 Julai susulan masalah gangguan bekalan air di kawasan perumahan itu sejak 23 Julai. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Hukuman penjara mandatori sehingga lima tahun dan denda sehingga RM10 juta ($2.88 juta) boleh dikenakan ke atas dalang di sebalik punca pencemaran sumber air di Selangor baru-baru ini sekiranya didapati bersalah.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Cik Jamaliah Jamaluddin, berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 25 Akta Kualiti Alam Sekeliling (Akas) 1974.

Beliau berkata pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah menahan dua individu bagi membantu siasatan berhubung pencemaran bau di Sungai Kuang dan kes disiasat di bawah seksyen berkenaan, lapor Berita Harian Malaysia.

“Ketika ini juga, Lembaga Urus Air Selangor (Luas) sedang melengkapkan kertas siasatan di bawah Seksyen 79(1) Enakmen Luas 1999 yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM200,000 dan maksimum RM1 juta serta mandatori penjara tidak melebihi tiga tahun jika disabitkan kesalahan ke atas premis terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kekeliruan dalam kalangan orang awam yang menganggap pengusaha premis bertanggungjawab ke atas pencemaran di Sungai Kuang hanya dikenakan kompaun RM1,000 dan lesen digantung tujuh hari berdasarkan peruntukkan Seksyen 11 Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap (MPS) 2007.

Malah Ahli Parlimen (AP) Bangi, Encik Syahredzan Johan, melalui satu catatan di platform X, membangkitkan dua bidang kuasa berbeza dalam menangani isu pencemaran sungai dengan merujuk kejadian terkini di Selangor itu.

Wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) itu membangkitkan denda RM1,000 dikeluarkan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) ke atas kilang pemprosesan plastik yang disyaki menjadi punca pencemaran sungai sehingga menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA)  di Selangor, sedangkan pada masa sama pelaku disiasat Jabatan Alam Sekitar (JAS) di bawah Akas 1974 berdepan denda RM10 juta.

Cik Jamaliah menegaskan, laporan sebuah portal media mengenai perkara ini tidak bersifat menyeluruh dan tepat kerana tindakan kompaun dan penggantungan lesen dinyatakan dalam kes itu adalah bagi tindakan yang tertakluk di bawah bidang kuasa pihak MPS selaku pihak berkuasa tempatan di lokasi pencemaran ini berlaku.

Sementara itu, pemulihan bekalan air bagi kawasan yang terjejas berikutan kejadian pencemaran bau tersebut kini sudah mencecah 83.5 peratus setakat pagi 25 Julai.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan berkata laporan perkembangan pemulihan bekalan air itu membabitkan semua kawasan yang dibahagikan kepada tiga kumpulan.

Menurut kenyataan itu lagi, pihaknya terus menggerakkan lori tangki air ke kawasan yang masih terjejas, dengan memberi keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg