Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tumpahan minyak di S’pura: M’sia anggar ganti rugi cecah RM800,000

Jul 12, 2024 | 10:59 AM
tumpahan minyak
Nelayan di Johor menunjukkan jaring kuning yang berubah warna selepas kesan tumpahan minyak. - Foto NSTP

PUTRAJAYA: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Malaysia menganggarkan kos tuntutan nelayan akibat pencemaran susulan tumpahan minyak melepasi sempadan perairan Singapura ke sepanjang pesisir Pantai Sungai Rengit hingga Teluk Ramunia di Johor mencecah kira-kira RM800,000 ($230,214).

Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, berkata berdasarkan maklumat Jabatan Perikanan pada 2 Julai, seramai 161 nelayan membuat laporan polis akibat terkesan dengan pencemaran minyak terbabit.

Beliau berkata tuntutan itu membabitkan kos kerosakan pada alat menangkap ikan seperti jaring dan kos pembersihan bot yang dicemari minyak.

“Kos pembersihan, pelupusan sisa berminyak dan tuntutan pampasan pihak yang terkesan termasuk nelayan akan dituntut terus dengan pihak insurans,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Sebelum ini, kerajaan Johor memaklumkan tidak bercadang menyaman syarikat kapal dari Belanda yang melanggar kapal tangki minyak milik Singapura di Terminal Pasir Panjang, Singapura pada 14 Jun lalu sehingga menyebabkan pencemaran di kawasan perairan sempadan Malaysia-Singapura.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon, berkata ini kerana syarikat terbabit akan membayar jumlah kerugian kepada semua nelayan yang terjejas ekoran pencemaran itu, termasuk kos kerja pembersihan.

Sebelum ini, media melaporkan hampir 200 nelayan di pangkalan Jeti Nelayan Sungai Rengit di Pengerang terpaksa menanggung kerugian apabila tidak dapat turun ke laut akibat kesan tumpahan minyak.

Ia susulan kejadian 14 Jun membabitkan perlanggaran kapal dari Belanda, Vox Maxima, dengan kapal tangki minyak, Marine Honor, dari Singapura di Terminal Pasir Panjang di Singapura.

Tumpahan minyak turut menyebabkan air laut di pesisir Pantai Sungai Rengit berubah menjadi berwarna hitam dan berbau minyak, dengan keadaan itu dapat dilihat sepanjang kira-kira satu kilometer garis pantai di Sungai Rengit ke Teluk Ramunia.

Dalam pada itu, Datuk Wan Abdul Latif, memaklumkan kerja pembersihan pencemaran akibat tumpahan minyak terbabit sudah selesai dengan 49 tan sisa berminyak dikumpulkan.

Beliau bagaimanapun berkata operasi pembersihan pencemaran minyak di Pulau Che Kamat masih lagi diteruskan.

“Sisa berminyak ini dikategorikan sebagai buangan terjadual antaranya sampah sarap dan pakaian perlindungan diri (PPE) yang dicemari minyak serta penyerap minyak yang sudah digunakan.

“Sisa berminyak ini perlu dihantar ke kemudahan dilesenkan JAS bagi tujuan pelupusan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg