Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gangguan bekalan air akibat pencemaran jejas jutaan pengguna di KL, Selangor

Jul 24, 2024 | 1:54 PM
Kakitangan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) menguji kesan pencemaran bau di sungai di Selangor, susulan insiden pencemaran sisa daripada sebuah kilang plastik, yang menyebabkan jutaan pengguna di Lembah Klang terjejas.
Kakitangan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) menguji kesan pencemaran bau di sungai di Selangor, susulan insiden pencemaran sisa daripada sebuah kilang plastik, yang menyebabkan jutaan pengguna di Lembah Klang terjejas. - Foto FACEBOOK LEMBAGA URUS AIR SELANGOR

SHAH ALAM (Selangor): Jutaan pengguna di lebih 1,000 kawasan di tujuh wilayah di Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air susulan penghentian operasi empat Loji Rawatan Air (LRA), akibat pencemaran bau di empat sungai di Selangor, pada 23 Julai.

Susulan itu Lembaga Urus Air Selangor (Luas) membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 79(1) Enakmen Luas 1999 berhubung insiden pencemaran bau berkenaan, yang berpunca daripada kebocoran tangki sebuah kilang memproses plastik di Kuang.

Seksyen tersebut memperuntukkan denda minimum RM200,000 ($57,557) dan maksimum RM1 juta serta mandatori penjara tidak lebih tiga tahun jika sabit kesalahan.

Namun, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur Selangor, Encik Izham Hashim, berkata tindakan pantas termasuk penutupan segera muka sauk berjaya menghalang sebaran kesan pencemaran di Sungai Kundang dan Sungai Sembah daripada menjejaskan LRA.

“Apa yang berlaku, kebocoran itu mengalir masuk ke anak sungai berhampiran dan akhirnya masuk ke Sungai Kuang... dari Sungai Kuang ia mengalir ke Sungai Kundang, kemudian mengalir masuk ke Sungai Sembah dan dari Sungai Sembah masuk ke Sungai Selangor.

“Kita buat kiraan (yang mana) jarak dari tempat pencemaran ini ke LRA itu kira-kira 21 kilometer. Bagusnya kali ini pencemaran itu tidak sempat masuk ke dalam LRA sebab kita terus kawal, tutup muka sauk.

“(Insiden pencemaran) dahulu kita tidak sempat, jadi pencemaran terus masuk ke dalam LRA sehingga menyebabkan proses pembersihan makan masa lama,” katanya lapor Harian Metro.

Encik Izham berkata pihaknya sudah mengarahkan kilang plastik berkenaan membuat pembersihan sebaik mungkin termasuk menutup bahagian bocor pada tangki bagi mengelak kejadian berulang seperti masuk ke saluran air dan seterusnya.

“Kilang ini ada lesen dan bahan yang digunakan ini bukan berada dalam senarai sisa berjadual. Kesalahannya adalah kilang membiarkan kebocoran ini masuk ke dalam sumber air kita, itu menyebabkan kilang dikompaun oleh MPS.

“Ini kesalahan kali pertama dan kebocoran di kilang yang memproses ‘poly methacrylic acid’ (PMAA) dari bentuk pepejal ke cecair. Kemudian ia disimpan dalam tiga tangki dan satunya daripadanya bocor, itu menyebabkan pencemaran berlaku,” jelasnya.

Setakat 12 tengah hari 24 Julai, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan gangguan bekalan air itu sudah 14.3 peratus pulih dan ia dijangka pulih sepenuhnya pada 26 Julai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg