KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan 476 kes pembunuhan yang mengejutkan di seluruh negara antara Januari 2023 dan akhir 2024, menurut Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Memetik data polis, Harian Metro (HM) melaporkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman merekodkan 261 kes pembunuhan pada 2023 - purata lima kes seminggu, atau 21 kes bunuh sebulan.
Katanya bagi tempoh Januari hingga November 2024 pula, JSJ merekodkan sebanyak 215 kes bunuh dengan purata empat kes seminggu atau 17 kes sebulan.
“Selangor mencatatkan jumlah tertinggi kes jenayah bunuh babitkan 115 kes bagi tempoh 2023 hingga November 2024, diikuti Perak (60 kes); Johor (59 kes); Sabah (47 kes) dan Sarawak (36 kes).
“Kes bunuh yang tinggi di Selangor dipengaruhi oleh faktor keluasan kawasan dan kepadatan penduduk, di samping faktor kepesatan ekonomi, menyumbang kepada kemasukan pekerja warga asing ke negeri itu,” katanya, lapor HM.
Menurutnya bagi tempoh Januari hingga November 2024 pula, seramai 226 mangsa kes bunuh dicatatkan dengan warga asing merekodkan jumlah seramai 87 orang.
“Hasil dapatan analisis juga mendapati warga asing adalah mangsa kes bunuh tertinggi jika dibandingkan dengan individu tempatan,” kata JSJ.
Dalam pada itu, JSJ turut mendedahkan pertengkaran atau perselisihan faham dikenal pasti sebagai punca utama kes pembunuhan kejam di Malaysia berdasarkan rekod 2023 dan 2024.
JSJ Bukit Aman memaklumkan siasatan polis terhadap kes bunuh turut merangkumi motif kejadian kerana ia dapat membantu pihaknya untuk mengenal pasti suspek dikehendaki.
“Hasil siasatan dilakukan mendapati antara motif dikenal pasti dalam kes bunuh sepanjang tempoh itu adalah pertengkaran atau perselisihan faham, mabuk atau khayal (dadah dan minuman keras), balas dendam, cuai ketika memburu, cemburu dan dera.
“Pertengkaran atau perselisihan faham adalah motif paling tinggi direkodkan dalam kes bunuh membabitkan 219 kes bunuh.
“Dalam kebanyakan kes, ia berpunca daripada kemarahan dan timbul perasaan tidak puas hati yang menyebabkan pembunuhan berlaku,” katanya kepada HM.
Menurutnya pada 2023, motif tertinggi bagi kes bunuh adalah pertengkaran atau perselisihan faham membabitkan 115 kes atau 44 peratus diikuti mabuk atau khayal (25 kes) cemburu (18 kes) dan samun atau curi (15 kes).
“Bagi tahun 2024 pula, motif tertinggi kes bunuh adalah pertengkaran atau perselisihan faham membabitkan 104 kes atau 48 peratus diikuti mabuk atau khayal (20 kes), balas dendam (11 kes) dan cuai ketika memburu (7 kes).
“Kebanyakan kes bunuh bermotifkan mabuk atau khayal, majoriti mangsa membabitkan warga asing,” katanya.
Selain itu, kata JSJ, masalah rumah tangga juga menunjukkan peningkatan bagi motif kes bunuh sepanjang tempoh berkenaan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg