Topik diikuti
Pergi ke BHkuDAP Johor sokong Loke kekal pimpin parti selepas keputusan hambar di PRN N.Sembilan
DAP Johor sokong Loke kekal pimpin parti selepas keputusan hambar di PRN N.Sembilan
DAP Johor sokong Loke kekal pimpin parti selepas keputusan hambar di PRN N.Sembilan
Parti Tindakan Demokratik (DAP) Johor menyatakan sokongan penuh kepada Setiausaha Agung parti, Encik Anthony Loke, untuk terus menerajui DAP selepas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang tidak memihak kepada parti itu dan Pakatan Harapan (PH).
Pengerusi DAP Johor, Cik Teo Nie Ching, berkata kepimpinan Encik Loke sepanjang kempen memperlihatkan keberanian, rasa tanggungjawab serta kesediaan memikul amanah parti ketika berdepan keadaan mencabar.
“Dalam menghadapi cabaran ini, DAP Johor memberikan sokongan penuh kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, untuk terus memimpin parti.
“Kepimpinan beliau sepanjang tempoh kempen telah memperlihatkan keberanian, kebertanggungjawaban dan kesediaan memikul amanah parti dalam saat-saat yang paling mencabar,” katanya dalam kenyataan pada 2 Ogos.
Beliau berkata Jawatankuasa DAP Johor telah membincangkan keputusan PRN Negeri Sembilan dalam mesyuaratnya di Kulai, selain meneliti kesan keputusan itu terhadap persediaan parti menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.
Menurutnya, DAP Johor menghormati keputusan yang dibuat oleh pengundi Negeri Sembilan dan menerima keputusan tersebut sebagai suara rakyat yang perlu ditangani dengan penuh tanggungjawab serta rendah hati.
“Keputusan ini adalah suara rakyat yang perlu diterima dengan penuh rasa tanggungjawab, rendah hati dan semangat untuk terus memperbaiki diri,” katanya.
Cik Teo turut merakamkan penghargaan kepada semua anggota DAP Johor yang membantu jentera parti di Negeri Sembilan sehingga hari pengundian.
Beliau berkata meskipun keputusan pilihan raya itu tidak memihak kepada DAP dan PH, perjuangan parti tidak berakhir dan usaha perlu diteruskan bagi mendapatkan semula keyakinan rakyat.
“DAP Johor akan terus berdiri teguh bersama DAP Negeri Sembilan dan bekerjasama rapat dengan Jawatankuasa Eksekutif Pusat bagi memastikan parti kembali lebih kuat, lebih bersatu dan lebih diyakini rakyat menjelang Pilihan Raya Umum akan datang,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Cik Teo mendedahkan bahawa beliau pernah menawarkan untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi DAP Johor kepada Encik Loke pada malam 11 Julai.
Bagaimanapun, katanya, Encik Loke memujuk beliau supaya tidak meneruskan hasrat berkenaan.
“Pada malam 11 Julai, saya pernah mengemukakan tawaran untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Johor kepada Saudara Anthony. Beliau yang memujuk saya agar tidak berbuat demikian,” katanya.
Beliau berkata DAP Johor akan mengambil iktibar daripada keputusan PRN Negeri Sembilan dan memperkukuh kerjasama dengan kepimpinan pusat serta DAP Negeri Sembilan.
Langkah itu, katanya, penting bagi memastikan parti dapat memperbaiki kelemahan, memperkukuh perpaduan dalaman dan meningkatkan semula keyakinan rakyat sebelum pilihan raya umum akan datang.
