Topik diikuti
Pergi ke BHkuGabungan BN-PN rampas Negeri Sembilan
Gabungan BN-PN rampas Negeri Sembilan
Gabungan BN-PN rampas Negeri Sembilan
Kebangkitan gelombang biru menyaksikan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tumbang di Negeri Sembilan, apabila keputusan tidak rasmi menunjukkan gabungan Barisan Nasional (BN)-Perikatan Nasional (PN) setakat ini memenangi 25 dari 36 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
PH Negeri Sembilan yang diketuai mantan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, itu hanya memenangi 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 36 kerusi yang ditandingi, merosot berbanding 17 kerusi pada PRN 2023.
Kemenangan BN-PN dengan 25 kerusi setakat ini membolehkan gabungan berkenaan membentuk kerajaan negeri selepas memenangi majoriti.
PN - rakan kerjasama BN buat julung kalinya dalam pilihan raya - dalam keputusan tidak rasmi berjaya memenangi tujuh kerusi daripada 11 kerusi yang ditandingi, meningkat berbanding lima pada PRN sebelum ini.
Dalam pada itu, Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semasa sidang media di Wisma Umno Negeri Sembilan, berkata BN dan PN akan membentuk Kerajaan Negeri Sembilan selepas gabungan itu memperoleh majoriti dua pertiga berdasarkan keputusan tidak rasmi PRN Negeri Sembilan, pada 1 Ogos.
Beliau berkata secara tidak rasmi, BN setakat ini memenangi 18 kerusi, manakala PN memperoleh tujuh kerusi, sekali gus memberikan kedua-dua gabungan itu majoriti untuk menerajui pentadbiran negeri.
“Kami akan meneruskan perbincangan susulan antara kedua-dua gabungan ini berkaitan pembentukan kerajaan negeri yang baharu berdasarkan keputusan yang dimaklumkan,” katanya semasa sidang media itu.
Menurut Datuk Ahmad Zahid lagi, mandat yang diterima di Negeri Sembilan menjadi kesinambungan kemenangan di Johor dan diyakini mampu memperkukuh sokongan rakyat menjelang pilihan raya seterusnya.
Dengan kemenangan awal BN itu, Datuk Ahmad Zahid juga dilaporkan bertemu dengan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, di Istana Hinggap di Seremban, dipercayai untuk memaklumkan mengenai pembentukan kerajaan negeri.
Kekalahan kali kedua buat PH itu selepas PRN Johor dalam tempoh kurang sebulan, turut menyaksikan dua tokoh utama PH negeri tewas.
Datuk Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan dan mesra dengan panggilan Tok Min, gagal merampas kerusi kubu BN di DUN Linggi yang dipertahankan oleh calon BN, Datuk Mohd Faizal Ramli dalam pertandingan tiga penjuru.
Ahli Parlimen Port Dickson itu semasa sidang media reda dengan kekalahan dihadapinya dan berharap pengganti beliau dapat meneruskan perancangan dan pembangunan yang dilaksanakan kerajaan pimpinannya sebelum ini.
“Saya terima apa saja keputusan seperti yang telah dari awal saya katakan, saya serahkan kepada rakyat. Mungkin ‘report card’ (kad laporan) saya masih kurang lagi maka mereka tak puas hati lagi.
“Jadi saya tiada masalah. Dalam politik ada kalah dan menang.
“Tapi bagi saya kali ini saya mampu didik sebahagian besar masyarakat untuk bertukar fikiran daripada hanya mementingkan prestasi perkauman saja kepada prestasi yang kita mahukan pada masa depan.
“Saya tak ada rasa kecewa (dengan keputusan ini). Ini qada dan qadar Allah swt, saya reda apa yang berlaku, insya-Allah ada hikmahnya. Mungkin untuk saya bersama anak dan cucu lebih sedikit dan fikirkan apa yang perlu saya lakukan untuk parti pada masa akan datang,” katanya.
Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Encik Anthony Loke, juga tewas kepada calon BN, Encik Siow Kong Choon, dan gagal mempertahan kerusi DUN Chennah yang dipegangnya selama tiga penggal.
Menyusuli kekalahannya itu, Encik Loke yang juga Menteri Pengangkutan akan mempertimbangkan untuk meletak jawatan sebagai Pengerusi DAP di Negeri Sembilan.
Katanya, keputusan itu dibuat bagi mengambil tanggungjawab menyusuli prestasi merudum DAP dalam PRN Negeri Sembilan.
Sementara itu, antara nama besar dalam BN yang menang dalam PRN Negeri Sembilan kali ini ialah Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang juga Pengerusi BN Negeri Sembilan.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN dan mantan Menteri Besar Negeri Sembilan selama 14 tahun, mempertahankan kerusi DUN Rantau yang menjadi kubu kuat BN dan dipegangnya sejak 2004.
Dalam pada itu, Pengerusi Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, juga berjaya mempertahankan kerusi tradisinya di DUN Pertang.
Beliau yang juga disebut-sebut sebagai antara calon Menteri Besar BN di Negeri Sembilan menewaskan calon PH, Encik Mohd Umry Abdul Khois dan calon Bersatu, Mohd Faizal Fadli Mohd Idrus.
Dalam PRN Negeri Sembilan ke-16, BN dan PN membentuk persefahaman dalam pembahagian kerusi untuk mengelakkan pertembungan dan memecah undi.
Persetujuan yang dilihat membuahkan hasil itu menyaksikan BN hanya bertanding di 25 daripada keseluruhan 36 kerusi, sementara PN diperuntukkan 11 kerusi.
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pimpinan mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyddin Yassin, yang menyertai PRN Negeri Sembilan secara solo dan menggunakan logo sendiri buat kali pertama, setakat ini dilihat gagal memenangi sebarang kerusi daripada 24 kerusi yang ditandingi.
Dalam pada itu, Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari, semasa sidang media di sebuah hotel di Seremban mendakwa kekalahan PH dalam PRN Negeri Sembilan berpunca daripada naratif kempen bersifat identiti dan perkauman luar biasa oleh pihak lawan.
Menurut beliau, kaedah kempen sedemikian hanya menimbulkan kegelisahan dalam kalangan rakyat.
“PRN kali ini memperlihatkan kempen perkauman luar biasa bersifat identiti hampir sepenuhnya yang mampu menyemai unsur-unsur pemecahbelahan masyarakat dan negeri.
“Sikap ini mampu menimbulkan kegelisahan serta perasaan syak wasangka dalam kalangan rakyat, terutamanya antara kaum Melayu dengan kaum bukan Melayu,” katanya.
PRN Negeri Sembilan diadakan lebih awal daripada tempoh tamat penggal yang dijadual pada September 2028, selepas blok Umno/BN yang bekerjasama dengan PH membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri, menarik sokongan terhadap kepimpinan Datuk Aminuddin.
Ia menyusuli krisis Adat dan Raja di negeri itu sejak April lalu yang turut mencetuskan pergolakan politik di negeri itu.