Dari kebun Pontian ke meja sajian S’pura

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dari kebun Pontian ke meja sajian S’pura

Sebahagian besar pelanggan produk nanas dan lempuk durian di Pontian, dari S’pura
Mar 1, 2026 | 5:30 AM

Dari kebun Pontian ke meja sajian S’pura

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Nenas MD2 yang ditanam di Pontian digunakan sebagai bahan utama dalam membuat kuih tart nanas.
Nenas MD2 yang ditanam di Pontian digunakan sebagai bahan utama dalam membuat kuih tart nanas. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

Seperti tahun-tahun sebelumnya, Encik Mohd Hidayat Hamzah, 44 tahun, tidak pernah terlepas peluang membeli tart nanas untuk dihidangkan kepada tetamu setiap kali Hari Raya Aidilfitri menjelang.

Namun di sebalik kemanisan kuih itu yang menjadi jamuan tetamu, tidak ramai menyedari perjalanan sebenar kuih Raya tersebut sebenarnya bermula jauh dari kota – di kebun buah-buahan dan dusun di Pontian, Johor.

Tinjauan Berita Minggu (BM) mendapati sekurang-kurangnya lima perusahaan kecil dan sederhana di Pontian yang menghasilkan bahan mentah bagi produk kuih, menjadi tumpuan pembelian pelanggan Singapura.

Pengeluar tempatan itu mengusahakan tanaman durian dan nanas secara tradisional sebelum diproses menjadi lempuk serta inti pastri.

Pemilik Ladang SK Durian di Pekan Nenas, Encik Samsul Kamarudin, menunjukkan lempuk durian yang telah siap dimasak dan sedia dipasarkan.
Pemilik Ladang SK Durian di Pekan Nenas, Encik Samsul Kamarudin, menunjukkan lempuk durian yang telah siap dimasak dan sedia dipasarkan. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

Kehadiran pelanggan dari Singapura menjadi antara pemangkin utama suasana tersebut setiap tahun.

Encik Mohd Hidayat, berkata beliau sanggup merentas Tambak semata-mata untuk mendapatkan kuih Raya tradisional yang semakin sukar ditemui di Singapura.

“Kita cari kuih lama macam kuih sampan dan kuih tart. Kuih begini susah nak jumpa di Singapura,” katanya ketika ditemui di premis jualan kuih di Johor Bahru.

Beliau berkata selain tart nanas, beliau turut mencari kek lapis, kek kukus serta biskut tradisional yang jarang dijual di pasar raya Singapura.

Menurutnya, kuih tradisional mempunyai nilai tersendiri kerana ia mengingatkan suasana Hari Raya ketika zaman kanak-kanak.

“Kalau di Singapura banyak yang moden. Yang lama susah jumpa. Di sini kita boleh pilih macam-macam, rasa pun lebih asli,” katanya.

Beliau menganggarkan sekitar RM400 ($129) hingga RM500 diperuntukkan khusus untuk membeli kuih Raya bagi 2026, cukup untuk diagihkan kepada kira-kira lima rumah saudara-mara.

Selain tart nanas, beliau merancang membeli baulu gulung, kuih makmur dan beberapa jenis biskut mentega untuk dijadikan hidangan kepada tetamu.

Menurutnya, walaupun harga meningkat di kedua-dua negara, perbezaan nilai mata wang masih menjadikan Johor pilihan utama.

“Harga memang naik, baik di sini atau di Singapura. Tapi di sini masih jimat. Kita cuma perlu lebih bijak memilih,” katanya.

Bagi Cik Rahana Worie, 49 tahun, dari Clementi, kunjungan ke Johor untuk membeli kuih Raya sudah menjadi rutin keluarga setiap Ramadan.

Cik Rahana Worie (kiri), bersama ahli keluarganya memilih kuih Raya yang hendak dibawa pulang ke Singapura.
Cik Rahana Worie (kiri), bersama ahli keluarganya memilih kuih Raya yang hendak dibawa pulang ke Singapura. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

Dahulu beliau mendapatkan kek lapis dari luar negara, namun kesukaran membawa masuk makanan membuatkannya beralih kepada pembuat kuih di Johor.

“Sejak dua tahun lalu saya beli di sini. Setiap Hari Raya, saya akan beli untuk adik-beradik,” katanya.

Beliau berkata antara kuih wajib yang dibelinya ialah kek lapis, selain tart klasik dan beberapa biskut mentega.

Menurutnya, beliau akan mencuba satu demi satu jenis kuih terlebih dahulu sebelum menentukan pilihan tetap.

“Pada awalnya, saya beli pelbagai jenis, kemudian saya tahu mana yang paling sedap. Selepas itu setiap tahun saya akan ulang beli,” katanya.

Beliau biasanya memperuntukkan sekitar RM500 bagi kuih raya dan hadiah kepada keluarga.

Menurutnya, harga di Johor membolehkannya membeli dalam jumlah lebih banyak untuk diagihkan kepada ahli keluarga serta jiran.

“Di Geylang lebih mahal. Di sini boleh beli lebih banyak dan pilihan pun lebih banyak,” katanya.

Pembuat kuih Raya dari Pontian, Cik Noor Umiyana Sahidin, 33 tahun, berkata beliau menghasilkan tart nanas menggunakan nanas MD2 yang ditanam di Pontian.

“Pontian pengeluar utama nanas MD2. Rasanya lebih premium. Saya beli terus daripada petani dan pilih buah yang masak,” katanya.

Daerah Pontian merupakan pengeluar utama nanas jenis MD2 di Johor.
Daerah Pontian merupakan pengeluar utama nanas jenis MD2 di Johor. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

Menurutnya, proses menghasilkan jem nanas dilakukan sepenuhnya tanpa campuran air.

“Saya bersihkan, kopek, potong kecil dan kisar tanpa air. Saya masak hanya dengan gula sampai jadi jem pekat yang sesuai dijadikan inti,” jelasnya.

Dalam sehari, beliau mampu menghasilkan kira-kira 100 balang tart, dengan setiap kilogram nanas hanya menghasilkan tiga bekas jem.

“Saiz tart saya besar dan inti lebih penuh. Pelanggan puas,” katanya sambil menambah, sebahagian besar pelanggannya datang dari Singapura dan Johor Bahru.

Seorang petani nanas di Ayer Baloi, Encik Habib Abdullah, 52 tahun, berkata nanas MD2 semakin mendapat permintaan untuk dijadikan bahan kuih perayaan.

“Biasanya kita jual untuk makan. Tapi bila musim perayaan, ada pembuat kuih tempah khas,” katanya.

Menurut beliau, keluasan ladang dan jumlah pengeluaran bergantung kepada individu.

“Kalau satu ekar, boleh tanam sehingga 20,000 pokok. Harga sekarang sekitar RM5 sekilogram,” ujarnya sambil menambah pembeli dari Singapura juga datang terus ke ladang, namun kebanyakannya untuk memakan yang segar.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg