Angsana masih ‘wajib disinggah’ warga S’pura walau tidak semeriah dulu
Angsana masih ‘wajib disinggah’ warga S’pura walau tidak semeriah dulu
Diskaun besar-besaran ditawar sempena Ramadan, tetapi margin peniaga kian kecil
Waktu baru menunjukkan 2 petang, namun suasana di pusat beli-belah Angsana Johor Bahru yang sinonim dengan “kota fesyen” menjelang Aidilfitri tidak lagi semeriah dahulu.
Di tengah-tengah deretan butik pakaian Melayu dan kain pasang, para peniaga mengakui masih ada pengunjung, termasuk dari Singapura.
Namun, corak perbelanjaan telah berubah; pelanggan yang dahulu membeli tiga pasang kini lebih berhati-hati, dam memadai dengan sepasang pakaian.
Ketua Biro Tekstil dan Produk Kreatif Dewan Teraju Usahawan Johor, Tengku Ahmad Rosdi Tengku Abdullah, menyifatkan keadaan itu “sederhana”, dengan jualan yang tidak segiat tahun-tahun sebelumnya ketika ringgit lebih lemah dan kuasa beli warga Singapura terasa lebih “besar” di seberang Tambak.
“Maknanya sekarang 2 petang orang baru mula masuk, tapi tak macam dulu-dulu.
“Dulu-dulu kita dapat juga dalam RM20,000 ($6,432) sebulan untuk kedai-kedai besar, sekarang mungkin separuh.
“Orang dulu beli tiga pasang, sekarang mungkin orang beli satu pasang saja,” katanya ketika ditemui Berita Harian (BH) di Angsana.
Kesan ringgit mengukuh
Beliau berkata pengukuhan ringgit menjadi salah satu faktor yang meredakan lonjakan perbelanjaan rentas sempadan, selain kos perniagaan yang meningkat dari pelbagai sudut.
“Salah satunya ringgit makin kuat. Dulu ringgit jatuh, orang Singapura ramai masuk... Sekarang duit Malaysia naik. Pada masa sama kos pengangkutan naik, sewa naik, kita kena cukai jualan dan perkhidmatan (SST), semua naik,” katanya.
Menurut beliau, peniaga berada dalam dilema apabila kos terus meningkat, namun menaikkan harga terlalu ketara boleh menyebabkan pelanggan “cabut”, lalu margin keuntungan kian menipis.
“Kita sewa dua lot dulu RM41,000, sekarang RM46,600. SST saja ribu-ribu.
“Gaji pekerja dulu RM1,500 sekarang RM1,700. Tapi kalau kita naik harga, pelanggan cabut lari, jadi kita telan kepahitan jual harga lama,” tambahnya.
Dalam usaha menarik pelanggan, Tengku Ahmad Rosdi berkata promosi besar-besaran tetap diteruskan, termasuk jualan lelong bekalan lama sehingga 70 peratus, sementara stok baru pula sudah meningkat sekitar 20 peratus akibat kenaikan kos.
“Kita memang sentiasa ada promosi, diskaun sampai 70 peratus. Stok baru dah mula sampai, yang lama kita buat jualan lelong.
“Orang kurang berkemampuan akan beli yang lelong; bukan tak cantik, cantik juga, cuma koleksi tahun lepas (2025),” katanya.
Namun, beliau mengakui pembukaan sesi sekolah turut mempengaruhi aliran tunai keluarga, menyebabkan pembelian pakaian Raya ditangguhkan.
“Bila mula sekolah, duit dah habis untuk barang sekolah anak-anak. Baju Raya kemudian. Jadi permulaan ni tak seperti lepas-lepas,” katanya sambil menaruh harapan agar Tahun Melawat Johor 2026 mampu membawa gelombang pengunjung lebih luas, termasuk dari Singapura, Brunei dan Indonesia.
“Saya harap pihak pelancongan Johor buat sebanyak-banyak acara. Kalau meriah, orang luar akan masuk beramai-ramai, kita pun boleh naik semula,” katanya.
Buat persiapan awal
Bagi pemilik Butik Kacax, Encik Nik Faridzuan Nik Jaaffar, 47 tahun, yang sudah hampir 18 tahun berniaga di Angsana, sokongan pelanggan Singapura masih menjadi “tiang seri” perniagaan, malah beliau menganggarkan pelanggan tempatan dan Singapura seimbang.
“Kami sangat bersyukur sebab dapat sokongan pelanggan dari seberang Tambak, terutamanya Singapura. Saya agak dalam lima puluh-lima puluh, tempatan dan Singapura,” katanya.
Menurutnya, ramai keluarga dari Singapura memilih datang lebih awal sebelum Ramadan bagi mengelakkan kesesakan, khususnya apabila membawa anak kecil.
“Kebanyakan pelawat Singapura datang awal, bulan Rejab, Syaaban. Bila masuk Ramadan, ada yang tak mahu berpusu-pusu, jadi mereka dah siap awal,” katanya.
Dalam pada itu, Encik Nik Faridzuan mengakui persaingan destinasi beli-belah serantau turut memberi tekanan, terutama apabila nilai mata wang negara jiran berubah dan sebahagian warga Singapura memilih berbelanja di Indonesia.
“Mungkin ada kesannya, tapi pelanggan kita ada yang pentingkan rekaan.
“Indonesia memang ada keistimewaan rekaan tertentu cuma tak semua orang boleh pergi, perlu masa, tambang, perjalanan. Johor lebih mudah dicapai,” katanya.
Bagi Pengerusi Persatuan Usahawan Angsana Johor Bahru, Encik Mohd Kamaruzaman Ismail, 57 tahun, cabaran itu juga mendorong peniaga memikirkan semula strategi di mana orang ramai kini mula berbelanja lebih awal, tidak lagi menunggu Ramadan.
“Kita dah nampak pola orang berbelanja awal. Mereka tak tunggu puasa. Jadi sebagai peniaga, kita bersedia ambil kesempatan, buat keputusan tepat, dari penampilan, dari koleksi,” katanya.
Beliau menyifatkan Angsana sebagai pusat sehenti yang menghimpunkan fesyen, makanan dan keperluan perayaan, justeru terus menarik pengunjung dari pelbagai tempat, termasuk Singapura dan beberapa negeri di Malaysia.
“Angsana ni orang cari sebab satu bumbung. Dari fesyen, kuih-muih, semua ada. Orang luar pun suka datang sebab tak perlu pergi tempat lain,” katanya.
Bagi perniagaannya sendiri, Encik Mohd Kamaruzaman berkata pasaran Singapura kekal penting, walaupun beliau menekankan perlunya peniaga membina nama dan tidak hanya bergantung pada orang yang datang ke pusat beli-belah.
“Untuk saya, peratusan pelanggan Singapura lebih kurang 60-40. Tapi kita tak boleh duduk tunggu di Angsana saja. Kita kena keluar buat jelajah, bina jenama. Bila jenama kuat, orang cari kita,” katanya.
Encik Mohd Kamaruzaman yang menjalankan perniagaan bersama isterinya, Cik Norhaini Noordin, 54 tahun, yang merupakan Pengasas, AKF Boutique by MCL, menegaskan mereka mengekalkan harga mampu milik dengan tumpuan pada mutu kain serta rekaan terhad agar pelanggan tidak “terlanggar” baju sama di tempat lain.
“Kami jual baju harga mampu milik, ikut mutu dan rekaan. Harga dalam RM200 sampai RM300 sepasang,” katanya.
Beliau menambah, rekaan yang terhad menjadi “tarikan menunggu” kepada pelanggan.
“Saya tak akan ulang rekaan yang sama. Ini konsep rekaan terhad. Perempuan suka yang cantik, unik, tak sama dengan orang lain, itu strategi kami,” katanya sambil menjelaskan jualan dalam talian turut menjadi tunjang penting bagi membina keyakinan pelanggan.
Angsana masih di hati warga S’pura
Dalam kalangan pengunjung Singapura, Encik Khairul Ilman Azman, 28 tahun, berkata Angsana kekal “lokasi wajib” keluarganya kerana kemudahan pusat sehenti serta pilihan pakaian yang banyak.
“Kami lima orang ahli keluarga, jadi senang bila datang satu tempat yang dah ada semuanya dan banyak pilihan. Saya biasanya cari kurta sebab selesa dan mudah digayakan,” katanya.
Beliau berkata keluarganya datang hampir setiap minggu, bukan semata-mata memburu harga murah, sebaliknya menitikberatkan mutu.
“Saya boleh kata hampir setiap minggu datang. Kami mementingkan mutu pakaian, bukan terlalu fikir harga,” katanya.
Seorang lagi warga Singapura, Cik Nur Ain Salleha Abdul Razak, 41 tahun, berkata Angsana kekal pilihan utama kerana jaraknya dekat dan mudah dicapai, selain sesuai untuk melengkapkan persiapan Raya dalam satu perjalanan.
“Kami isi minyak di sini, kami membeli-belah di sini. Ia buat perbezaan. Johor dekat, mudah, bukan semua orang boleh pergi Indonesia,” katanya.
Beliau menambah, keluarganya biasanya memperuntukkan sekitar RM600 hingga RM700 untuk membeli beberapa pasang pakaian Raya, sambil memanfaatkan pakaian tahun lalu yang masih elok.
“Kami letak bajet lebih kurang RM600-RM700. Cuba cari sekurang-kurangnya dua pasang, yang tahun lepas pun masih ada,” katanya.
Bagi ibu dan anak dari Singapura, Cik Haminah Ridwan, 62 tahun, dan Cik Hidayah Mohari, 41 tahun, pencarian baju Raya bukan sekadar soal harga, tetapi padanan rekaan, keselesaan dan kesesuaian potongan dengan bentuk badan.
“Kami tengok mutu dan rekaan. Bila dah sampai, tengok lawa, terus beli. Raya kan banyak kunjungan,” kata Cik Hidayah.
Cik Haminah pula menegaskan pengukuhan ringgit tidak banyak menjejas keputusannya untuk membeli-belah di Johor.
“Saya rasa bezanya tak banyak sangat. Kalaupun dulu orang kata 3.3, sekarang 3.1 taklah sampai menjejaskan,” katanya.
Mereka juga mengakui ada trend sebahagian peniaga di Singapura menjual pakaian berinspirasikan Indonesia, namun bagi mereka, potongan dan gaya Malaysia-Singapura lebih serasi dengan cita rasa sendiri.
“Potongan Indonesia lain. Kain dan olahan dia kadang tak sesuai dengan kita. Malaysia dengan Singapura lebih kurang sama,” kata Cik Hidayah.
Di sebalik suasana yang belum kembali “meletup” seperti dahulu, suara peniaga dan pelanggan memperlihatkan satu hakikat; Johor masih menjadi medan utama persiapan Aidilfitri bagi ramai warga Singapura, namun tekanan kos dan perubahan tabiat berbelanja membuatkan semua pihak lebih berkira-kira.

