Sebelum ini, ketibaan pelancong dari Singapura untuk terus ke pusat bandar Kuala Lumpur (KL) menerusi perjalanan menaiki bas ekspres, datang dengan pilihan yang terhad.

Penumpang hanya mempunyai pilihan untuk turun di tepi jalan berhampiran kawasan Bukit Bintang di tengah KL, yang boleh merisikokan keselamatan terutama pada waktu sibuk.

Satu lagi pilihan ialah turun di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), namun kedudukannya sedikit jauh di pinggir bandar.

Kini, LaLaport Transportation Hub (LTH) yang terletak di Bukit Bintang City Centre menyediakan pilihan tambahan dan lebih mudah, untuk penumpang dari Singapura turun terus di pusat bandar dalam persekitaran yang selamat, selesa dan teratur serta memudahkan perjalanan mereka ke destinasi seterusnya.

LTH, yang terletak di tingkat bawah pusat beli-belah LaLaport yang berasal dari Jepun itu, dibangunkan selepas kerajaan melihat keperluan untuk menyediakan hab pengangkutan yang lebih selamat, selesa dan teratur serta dekat dengan pusat bandar.

Permintaan itu sebelum ini berdepan masalah apabila sebahagian bas ekspres dari dan ke Singapura terpaksa mengambil dan menurunkan penumpang di tepi jalan berhampiran pusat beli belah di KL, kerana ketiadaan hab pengangkutan dan terminal bas yang sesuai di tengah bandar.

Ia termasuk di sekitar kawasan Bukit Bintang dan pusat beli belah Berjaya Times Square (BTS), yang dilihat memberi gambaran kurang baik kepada pelancong yang baru tiba di ibu negara.

Keadaan itu bukan saja menyalahi peraturan jalan raya, malah membahayakan keselamatan penumpang bas yang tiba di pusat bandar itu sambil menarik bagasi, terutama pada waktu trafik sibuk.

Malah, perkhidmatan bas ekspres rentas sempadan terkemuka, Aeroline, sebelum ini pernah digantung perkhidmatan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) Malaysia, kerana melanggar peraturan mengambil dan menurunkan penumpang di lokasi tidak dibenarkan, termasuk di tepi jalan sekitar Bukit Bintang.

Menyusuli itu, Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, pada Januari lalu mengadakan lawatan ke LaLaport bagi meninjau lokasi itu yang dicadangkan sebagai terminal bas khas bagi laluan Kuala Lumpur-Singapura dan Johor Bahru.

Jelas Encik Loke ketika itu, LaLaport menumpukan laluan bas dari Singapura ke Lembah Klang terutama pusat bandar Kuala Lumpur, tanpa bersaing dengan terminal sedia ada seperti TBS dan Terminal Bersepadu Gombak (TBG).

Ketua Pegawai Eksekutif ttklia.com yang mengendalikan LTH itu, Encik Aaron Chuah (kanan), membantu seorang penumpang yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan bas ekspres Kuala Lumpur-Singapura di LaLaport Transportation Hub, di Bukit Bintang City Centre, Kuala Lumpur.
Ketua Pegawai Eksekutif ttklia.com yang mengendalikan LTH itu, Encik Aaron Chuah (kanan), membantu seorang penumpang yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan bas ekspres Kuala Lumpur-Singapura di LaLaport Transportation Hub, di Bukit Bintang City Centre, Kuala Lumpur. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Ketua Pegawai Eksekutif ttklia.com yang mengendalikan LTH itu, Encik Aaron Chuah, berkata pihaknya sebelum ini mencadangkan konsep berkenaan kepada Kementerian Pengangkutan selepas melihat permintaan tinggi dalam kalangan penumpang dari Singapura yang mahu terus tiba di kawasan pusat bandar Kuala Lumpur.

Beliau berkata projek terminal bas di LaLaport bernilai RM5 juta ($1.55 juta) itu dikatakan sebagai kemudahan hab pengangkutan pertama di Malaysia yang dibangunkan melalui pelaburan langsung asing (FDI) dengan kerjasama sektor swasta, tanpa melibatkan pelaburan kerajaan.

“Antara kelebihan utama hab pengangkutan di LaLaport ini ialah lokasinya yang lebih dekat dengan kawasan tumpuan pelancong, berbanding TBS,” katanya ketika ditemui Berita Harian (BH).

Walaupun LTH dibuka, TBS masih kekal sebagai terminal bas ekspres jarak jauh utama yang terletak di Bandar Tasik Selatan, kira-kira 30 minit perjalanan ke pusat bandar Kuala Lumpur ketika trafik lancar.

Sebelum kewujudan TBS, perjalanan bas ekspres jarak jauh pernah beroperasi dari Hentian Puduraya, yang kini dikenali sebagai Pudu Sentral, dan menempatkan Pusat Transformasi Luar Bandar (UTC) untuk operasi beberapa agensi utama kerajaan.

Namun sejak 2015, semua operasi bas ekspres dipindahkan sepenuhnya ke TBS.

“LTH hanya sekitar lima hingga 10 minit berjalan kaki dari BTS melalui jejantas… lebih selamat dan tersusun.

“Lokasi ini dilihat sesuai dengan corak perjalanan pelancong Singapura yang kebanyakannya cenderung memilih kawasan Bukit Bintang sebagai tempat penginapan, membeli-belah dan beriadah,” tambah Encik Chuah.

Ketua Pegawai Eksekutif ttklia.com, syarikat yang mengendalikan LaLaPort Transportation Hub, di Kuala Lumpur, Encik Aaron Chuah.
Ketua Pegawai Eksekutif ttklia.com, syarikat yang mengendalikan LaLaPort Transportation Hub, di Kuala Lumpur, Encik Aaron Chuah. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Bagi Encik Chuah, hab itu bukan sekadar tempat untuk bas ekspres mengambil dan menurunkan penumpang, sebaliknya sebahagian daripada konsep pembangunan berorientasikan transit (TOD).

Beliau juga mengambil contoh Singapura dan Hong Kong yang membangunkan kawasan komersial serta komuniti di sekitar rangkaian pengangkutan awam termasuk pusat beli belah dan mensasarkan lebih banyak kemudahan seumpamanya dibangunkan di Malaysia.

LaLaport, yang dibangunkan di atas bekas tapak Penjara Pudu, turut menempatkan sekitar 300 unit kedai yang menghimpunkan pelbagai jenama terkemuka antarabangsa dan Jepun seperti Nitori, Nojima dan Jonetz, selain outlet kilang (factory outlet), Mitsui Shopping Park.

Dari segi rangkaian pengangkutan, LTH dihubungkan secara terus dengan pengangkutan rel seperti Sistem Transit Aliran Ringan (LRT); KL Monorail dan Transit Aliran Massa (MRT), membolehkan penumpang bertukar antara perkhidmatan rel dan bas dengan lebih lancar, termasuk untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, KLCC dan KL Sentral.

Hab pengangkutan bas itu mampu mengendalikan sehingga 200 perjalanan bas dan 10,000 penumpang sehari, dengan lokasi menurunkan penumpang yang popular di Singapura, antaranya ialah Woodlands, Jurong, Bugis, Katong V, Beach Road dan Kovan Hub.

Ketika ini, kata Encik Chuah, ttklia bekerjasama dengan 33 syarikat pengendali bas, antaranya termasuk KKKL Sdn Bhd; Billion Stars Tours & Travel; Transtar Express; Red Bus; Coachliner dan LA Holidays.

LTH yang dirasmikan pembukaannya oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Cik Hannah Yeoh, pada Julai lalu, menyediakan 11 ruang tempat meletak bas, dua ruang menunggu berhawa dingin, kaunter jualan tiket dan kios pembelian tiket layan diri.

Ketua Pegawai Eksekutif ttklia.com, syarikat yang mengendalikan LaLaPort Transportation Hub, di Bukit Bintang City Centre, Kuala Lumpur, Encik Aaron Chuah (kanan), menunjukkan kemudahan kiosk pembelian tiket bas layan diri.
Ketua Pegawai Eksekutif ttklia.com, syarikat yang mengendalikan LaLaPort Transportation Hub, di Bukit Bintang City Centre, Kuala Lumpur, Encik Aaron Chuah (kanan), menunjukkan kemudahan kiosk pembelian tiket bas layan diri. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Malah, Terminal Gred A itu juga dilengkapi Sistem Paparan Maklumat Penumpang (PIDS) yang memaparkan jadual perjalanan bas secara masa nyata, menampilkan pengalaman seumpama di lapangan terbang.

Ia juga turut dilengkapi loker bagasi dan loker pengecas telefon bimbit, yang beroperasi 24 jam.

Kemudahan loker menyimpang beg dan barangan penumpang di LaLaport Transportation Hub, di Bukit Bintang City Centre, Kuala Lumpur.
Kemudahan loker menyimpang beg dan barangan penumpang di LaLaport Transportation Hub, di Bukit Bintang City Centre, Kuala Lumpur. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Sementara itu, rata-rata pengunjung yang ditemui BH berkongsi keterujaan menggunakan perkhidmatan bas ekspres di LTH, termasuk pengembara Singapura dan Malaysia, serta pelancong antarabangsa.

Warga Singapura, Encik Lim Swee Keng, 67 tahun. 
Warga Singapura, Encik Lim Swee Keng, 67 tahun.  - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Ahli falsafah dan jurutera pencipta warga Singapura, Encik Lim Swee Keng, 67 tahun, berkata ia pengalaman pertamanya di LTH dan kagum dengan kemodenan hab pengangkutan itu.

“Sebelum ini saya naik dan turun bas di BTS. Awalnya saya panik juga kerana tidak jumpa penanda arah, apatah lagi saya warga emas dan berseorangan, jadi agak kelam kabut meneroka tempat baru.

“Tetapi keseluruhannya saya amat puas hati dengan suasana LTH yang nyaman dan berhawa dingin, bersih dan lengkap dengan kemudahan untuk pengembara.

“Cuma saya sarankan pengendali untuk menempatkan mesin layan diri yang menjual makanan dan minuman, terutama bagi penumpang yang mengambil tiket awal pagi ketika kedai makan di pusat beli belah ini belum dibuka,” katanya, yang menaiki bas ke Singapura pada 8.30 pagi.

Warga Singapura yang kini pemastautin tetap di Malaysia, Cik A Tanuja, 61 tahun.
Warga Singapura yang kini pemastautin tetap di Malaysia, Cik A Tanuja, 61 tahun. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Warga Singapura yang kini menetap di Malaysia, Cik A Tanuja, 61 tahun, berkata beliau lebih selesa menggunakan bas untuk pergi dan pulang dari Singapura selepas melawat keluarga di republik itu.

“Kalau guna penerbangan, ia lebih memenatkan. Saya lebih suka memilih pengangkutan bas.

“Dengan adanya LTH ini, perjalanan untuk menaiki bas lebih selesa dan selamat. Kalau jalan raya sesak pun, kita tidur sajalah dalam bas. Nak makan juga mudah kerana lokasinya di pusat beli belah,” katanya yang berkahwin dengan warga Malaysia.

Pelancong dari Filipina, Cik Lovely Cordero, 48 tahun (kanan), dan anaknya, Cik Anya Rustia, 22 tahun.
Pelancong dari Filipina, Cik Lovely Cordero, 48 tahun (kanan), dan anaknya, Cik Anya Rustia, 22 tahun. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Pelancong dari Filipina, Cik Lovely Cordero, 48 tahun, dan anaknya, Cik Anya Rustia, 22 tahun, menghabiskan masa tiga hari melancong di Kuala Lumpur, sebelum meneruskan kembara ke Singapura dengan menaiki bas ekspres.

“Saya terkejut dan teruja tengok kemudahan terminal bas di Malaysia sangat moden, mudah akses dan kami sempat membeli belah dan ronda-ronda di LaLaport.

“Kami memilih untuk menaiki bas ekspres ke Singapura kerana mahu melihat pemandangan Malaysia sepanjang perjalanan... berbanding menaiki penerbangan, pengalaman agak terhad,” katanya.

Warga Malaysia, Cik Amy Raya, 58 tahun, dari Miri, Sarawak.
Warga Malaysia, Cik Amy Raya, 58 tahun, dari Miri, Sarawak. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Cik Amy Raya, 58 tahun, dari Miri, Sarawak, juga melihat LTH lebih selamat dan tersusun berbanding pengalamannya menaiki bas di BTS sebelum hab pengangkutan itu dibuka.

“Saya memang kerap ke Singapura untuk melawat tiga kakak yang tinggal di sana. Bagi saya naik bas lebih mudah dan menjimatkan.

“Tambang hanya RM75 sehala. Dengan keselesaan di ruang menunggu ini dan ruang untuk beli belah, saya rasa tenang menunggu ketibaan bas,” kata ibu kepada lima anak itu.

Encik Chuah menambah, syarikatnya turut merancang menambah laluan perjalanan bas ekspres menghubungkan Singapura-Malaysia-Thailand pada masa akan datang, yang dilihat dapat membantu melonjakkan industri pelancongan Malaysia.

Beliau juga menggalakkan penumpang untuk membeli tiket secara dalam talian di laman web Ttklia.com.