Menteri: LaLaport di Bukit Bintang bakal jadi hab bas ekspres KL-S’pura jelang Feb
Menteri: LaLaport di Bukit Bintang bakal jadi hab bas ekspres KL-S’pura jelang Feb
Di samping beberapa pusat beli-belah lain untuk mudahkan pelancong, elak kesesakan trafik
LaLaport di Bukit Bintang bakal muncul sebagai pusat beli-belah terbaru di tengah Kuala Lumpur (KL), yang berperanan sebagai salah satu pusat pengangkutan Terminal Bas Ekspres Terhad bagi laluan Singapura-KL dan sebaliknya.
Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, berkata LaLaport di Bukit Bintang City Centre itu dicadangkan sebagai Terminal Bas Ekspres Terhad di samping beberapa pusat beli belah lain, bagi memudahkan pelancong dan mengelak kesesakan trafik.
Sebelum ini, katanya, kebanyakan bas ekspres khususnya bagi laluan KL-Singapura menurunkan penumpang di kawasan pusat beli-belah dan hotel yang disifatkan kurang sesuai serta menimbulkan risiko keselamatan, selain menyumbang kepada kesesakan lalu lintas.
“LaLaport hampir sepenuhnya bersedia dan lesen dijangka dikeluarkan seawal Februari.
“Lokasi lain seperti One Utama di Petaling Jaya dan Sunway Pyramid di Selangor; serta IOI City Mall di Putrajaya memerlukan tempoh tambahan untuk menaik taraf kemudahan,” katanya ketika melawat Hab Pengangkutan LaLaport pada 21 Januari.
Lawatan itu bagi meninjau kemudahan, operasi serta peranan hab tersebut sebagai salah satu pusat pengangkutan bandar yang menyokong integrasi pengangkutan awam, khususnya perkhidmatan bas persiaran dan pelancongan di pusat bandar Kuala Lumpur.
Menurut maklumat Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad), Hab Pengangkutan LaLaport dikendalikan oleh Asia Success Resources Sdn Bhd, iaitu syarikat yang mengendalikan terminal di Pusat Pengangkutan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2.
Operasi di Hab Pengangkutan LaLaport ketika ini melibatkan bas persiaran dan perkhidmatan Bus on Demand (BOD), selaras dengan konsep pembangunan dan keperluan semasa kawasan tersebut.
Ia menumpukan laluan bas dari Singapura ke Lembah Klang, tanpa bersaing dengan terminal sedia ada seperti Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dan Terminal Bersepadu Gombak (TBG).
Encik Loke menegaskan bahawa pembangunan terminal bas yang tersusun dan bersepadu adalah penting bagi memastikan perkhidmatan pengangkutan awam dapat beroperasi secara selamat, cekap dan selesa.
“Selain itu ia juga penting untuk menyokong agenda mobiliti serta pertumbuhan sektor pelancongan negara,” katanya.
LaLaport terletak di tapak strategik di Bukit Bintang, yang berintegrasi terus dengan sistem transit aliran ringan (LRT) dan monorel.
Jelas Encik Loke lagi, hab pengangkutan awam, khususnya di dalam kawasan pusat beli-belah penting memandangkan kebanyakan pelancong memilih pusat bandar raya sebagai destinasi utama.
“Sekiranya bas ekspres berhenti di terminal bas utama, TBS dan TBG, ia jauh dan tiada keperluan untuk pelancong.
“Pada masa sama, hab pengangkutan awam di beberapa lokasi kompleks beli-belah juga sesuai kerana integrasi dengan LRT dan monorel.
“Bagaimanapun, sebelum kerajaan memberikan lesen hab pengangkutan awam, pemilik bangunan dan pengendali perlu menaik taraf segala kemudahan bagi melancarkan perjalanan dan memberi keselesaan kepada pengguna,” katanya.

