Dari pasar malam, kini sebaris jenama besar dunia.
Demikian indahnya perjalanan pengusaha jenama tudung ternama di Malaysia, Bawal Exclusive (BE), Cik Haliza Maysuri, yang menjadi usahawan Muslim pertama dari negara itu dijemput oleh jenama kristal terkemuka dunia, Swarovski, untuk mempamerkan tudung di galeri mewahnya di Austria baru-baru ini.
Ternyata impian, cita-cita dan doa dipanjatkan Cik Haliza dan suami, yang hanya dikenali sebagai Encik Rosli, untuk melihat perniagaan tudung yang diusahakan mereka sejak 25 tahun lalu berkembang maju, sudah berhasil dan jenama itu kian dikenali ramai, termasuk dalam kalangan pemakai tudung dari Singapura dan negara lain serata dunia.
“Alhamdulillah, BE membuktikan bahawa Islam itu hebat dan berdaya saing. Boleh duduk sama rendah, berdiri sama tinggi.
“Siapa sangka jenama tempatan dari Malaysia boleh berada setaraf jenama hebat lain di dunia. Walaupun kita bermula dari peniaga pasar malam, jika Allah berkehendak, Dia boleh angkat sampai setinggi ini.
“Resipinya hanya meletakkan sepenuh keyakinan kepada-Nya dan diikuti dengan usaha tanpa mengenal erti putus asa,” kongsinya di Instagram dalam nada sebak ketika mempamerkan tudung berwarna biru gelap bertatah kristal Swarovski itu di ibu pejabat Swarovski di Austria.
Menurut Cik Haliza, tudung mewah yang bercorakkan bulan dan bintang menceritakan perjalanan jatuh bangun BE sebelum sampai ke tahap kejayaan yang diimpikan selama ini.
Lebih membanggakan, jutawan tudung itu dan suaminya menjadi usahawan Muslim pertama dari Malaysia yang dijemput dan dihadiahkan oleh Swarovski tiket masuk berharga RM125,000 ($35,147) untuk ke dewan mewah dan berprestij dunia, Opera Ball di Vienna, Austria.
Jenama BE adalah antara perintis di Malaysia yang menggunakan kristal Swarovski sebagai reka corak hijabnya yang dijual pada pelbagai harga bermula serendah puluhan hingga puluhan ribu ringgit, bergantung saratnya butiran kristal pada tudung berkenaan. Justeru, ia menjadikan BE antara pemborong terbesar kristal Swarovski di dunia.
Menyelusuri perjalanan perniagaan pengasas BE itu, Cik Haliza sebelum ini turut mencuri tumpuan apabila menggayakan busana mewah bertemakan Magnificient Century berwarna merah hati yang dihiasi 83,900 batu Swarovski bernilai RM250,000.
Walaupun ditebak dengan pelbagai kecaman kerana dianggap membazir wang, ibu dua anak itu berpendirian tidak salah untuk beliau menggayakannya ketika meraikan ulang tahun ke-25 penubuhan BE dengan memakai hasil titik peluhnya dalam perniagaan.
Busana yang diinspirasikan daripada kisah Hurrem Sultan iaitu kisah sejarah Turkey ketika zaman pemerintahan dan kegemilangan Sultan Suleiman pada 1953 mendapat sentuhan pereka fesyen tersohor Malaysia, Datuk Rizalman Ibrahim.
Menggayakannya pada majlis makan malam sempena sambutan ulang tahun itu pada Disember 2023 yang turut dihadiri jemputan istimewa daripada Swarovski Austria, Cik Haliza juga menganggap ia sebagai tanda sokongan kepada pereka fesyen tempatan.
Pada majlis dihadiri 800 tetamu itu, BE turut berjaya membuat bidaan untuk rekaan tudung bertatah kristal Swarovski yang akhirnya dibeli pada harga RM78,000 dan hasil jualan itu disumbangkan kepada Tabung Kemanusiaan Palestin.
Pada 2019, seorang usahawan wanita Kelantan telah memecahkan rekod membuat tempahan tudung termahal BE iaitu berharga RM70,000.
Jenama BE juga pernah merekod sejarah dalam ‘Malaysia Book of Records’, apabila memperkenalkan tudung termahal di Malaysia berharga RM100,000 sehelai, yang merupakan pemberian khas Swarovski kepada BE sebagai tanda penghargaan kerana menjadi antara pemborong kristal terbesar dunia keluaran syarikat itu.
Tudung bawal bersaiz 1.14 meter x 1.14 yang direalisasikan sendiri oleh Pasukan Rekaan Swarovski Austria itu ditaburi sebanyak 7,512 butir kristal mewah dan mengambil masa 320 jam untuk disiapkan oleh 12 pekerja.
Kejayaan perniagaan BE juga terzahir dengan pembukaan Butik Crystal World BE di Kuala Lumpur pada 2021, yang hiasan dalamannya bergemerlapan dengan 100,000 butir batu kristal Swarovski, menjadikannya butik termewah di dunia bernilai RM2.5 juta.
Dalam kalangan pengikut media sosial dan peminat tudung BE, Cik Haliza terkenal sebagai seorang yang sangat menjaga solat, kuat beribadah dan sering mengaji Al-Quran, justeru ramai yang mengagumi keperibadian beliau yang juga tidak pernah meninggi diri.
Justeru kisah kejayaan Cik Haliza menjadi inspirasi ramai, bagaimana beliau bermula dengan berniaga tudung di pasar malam, lalu membuka sebuah kedai kecil di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, sehingga kini sudah berjaya mengembangkan perniagaan dengan sekurang-kurangnya 10 butik fizikal dan 35 wakil ejen jualan di seluruh negara.
Apa yang menarik, kongsi Cik Haliza mengenai rahsia kejayaannya, ialah beliau sentiasa berdoa supaya dapat meningkatkan pembayaran zakat hasil perniagaannya setiap tahun.
Pada 2023, syarikatnya menunaikan zakat pendapatan dan perniagaan sebanyak RM407,888.
“Saya tidak pernah doa minta jadi kaya, tetapi saya berdoa supaya setiap tahun saya dapat bayar zakat lebih banyak lagi. Jadi secara automatik apabila kita minta begitu daripada Allah, insya-Allah perniagaan akan lebih maju jika kita kuat berusaha,” katanya.
Beliau yang amat menyayangi kucing dan terkenal dengan sifat merendah diri walaupun telah meniti puncak kejayaan, malah rajin berkongsi panduan kejayaan di media sosial untuk dijadikan teladan kepada peniaga muda dan baru.
“Saya tidaklah hebat kerana ramai usahawan Malaysia yang lagi hebat daripada saya. Namun saya dewasa dengan pengalaman.
“Semoga pengalaman yang selalu saya kongsi akan memberi manfaat kepada usahawan baru yang nak bermula, ataupun yang jatuh dan sedang nak bangkit semula,” kongsinya.
“
Saya tidak pernah doa minta jadi kaya, tetapi saya berdoa supaya setiap tahun saya dapat bayar zakat lebih banyak lagi. Jadi secara automatik apabila kita minta begitu daripada Allah, insya-Allah perniagaan akan lebih maju jika kita kuat berusaha. Saya tidaklah hebat kerana ramai usahawan Malaysia yang lagi hebat daripada saya. Namun saya dewasa dengan pengalaman. Semoga pengalaman yang selalu saya kongsi akan memberi manfaat kepada usahawan baru yang nak bermula, ataupun yang jatuh dan sedang nak bangkit semula.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg