Topik diikuti
Pergi ke BHkuDasar kerja dari rumah susulan konflik TT bagi penjawat awam M’sia bermula
Dasar kerja dari rumah susulan konflik TT bagi penjawat awam M’sia bermula
Langkah pastikan penggunaan bahan api lebih cekap, kurangi kos operasi kerajaan meski laluan ke pusat bandar tetap sesak
Dasar kerja dari rumah susulan konflik TT bagi penjawat awam M’sia bermula
Dasar bekerja dari rumah (BDR) untuk penjawat awam di Malaysia yang bermula pada 15 April menyusuli krisis tenaga sejagat akibat konflik Timur Tengah, tidak memberi kesan ketara dalam menyurai kesesakan trafik di jalan raya. Namun ia diyakini dapat mengurangkan beban penggunaan bahan api dan kos tenaga di pejabat.
Tinjauan Berita Harian (BH) di beberapa kawasan termasuk Lebuhraya Duke dan Jalan Kuching, di Selangor, mendapati laluan menuju ke pusat bandar Kuala Lumpur yang turut menempatkan beberapa kompleks kerajaan tetap padat dan sesak seperti biasa terutama pada waktu puncak antara 7 dengan 10 pagi.
Keadaan sama dilaporkan di beberapa lebuh raya utama termasuk yang menuju ke pusat pentadbiran kerajaan di Putrajaya.
BH Malaysia melaporkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, berkata lebih 200,000 penjawat awam terlibat dalam pelaksanaan BDR selama tiga hari seminggu.
Malaysia mempunyai lebih 1.3 juta penjawat awam.
Menurutnya, kelulusan untuk pelaksanaan BDR, bagaimanapun, bergantung kepada ketua jabatan masing-masing, berdasarkan faktor keperluan dan kesesuaian tugas.
Menurut surat edaran pelaksanaan BDR bagi perkhidmatan awam berikutan konflik di Timur Tengah bertarikh 2 April yang ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, pelaksanaan BDR hanya terpakai kepada penjawat awam di Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor dan semua ibu negeri yang tinggal dalam jarak lebih lapan kilometer dari pejabat.
Bagi negeri di mana hari kelepasan mingguan (HKM) adalah pada Ahad, maka BDR adalah pada Selasa hingga Khamis sepenuh hari dan tidak dibenarkan BDR pada Isnin dan Jumaat.
Sementara bagi negeri di mana HKM pada Jumaat iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu, BDR adalah dari Isnin hingga Rabu secara sepenuh hari dan tidak dibenarkan BDR pada Ahad dan Khamis.
Langkah pelaksanaan BDR itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini dan bertujuan memastikan penggunaan bahan api lebih cekap.
Ia juga usaha bagi mengurangkan kos operasi kerajaan sebagai langkah proaktif menangani krisis tenaga sejagat akibat perang Amerika Syarikat-Israel ke atas Iran.
Sementara itu, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam satu kenyataan, berkata BDR yang mula berkuat kuasa 15 April disifatkan sebagai langkah strategik dalam memperkukuh kecekapan perkhidmatan awam dan menyokong kelestarian sumber negara.
Menurut JPM, pelaksanaan BDR itu membabitkan kementerian, agensi kerajaan dan badan berkanun selain pengaturan waktu kerja fleksibel itu turut diperluas kepada syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan kerajaan (GLC/GLIC).
“Inisiatif ini bukan saja mencerminkan kecekapan tadbir urus, malah berperanan penting dalam pengurangan penggunaan bahan api, seterusnya memastikan kestabilan dan keupayaan bekalan tenaga serta mengurangkan perbelanjaan melalui langkah penjimatan berhemah,” kata JPM.
Sementara itu, seorang penjawat awam yang dihubungi BH, Encik Mohd Khairul Izhar Jasmani, 41 tahun, yang bertugas sebagai pembantu tadbir di Jabatan Perkhidmatan Pembetungan di Putrajaya, berkata kemudahan BDR itu amat dinantikan ketika harga bahan api semakin meningkat.
Beliau, yang menetap di Senawang, Negeri Sembilan, sebelum ini berulang-alik sejauh 124 kilometer sehari untuk ke tempat kerja.
Menurutnya, pelaksanaan BDR banyak membantu dari segi penjimatan kos dan masa, terutama bagi tugasan pentadbiran yang boleh dilakukan secara dalam talian seperti mesyuarat melalui Zoom dan urusan kerja harian yang tidak terlalu mendesak.
“Leganya dari segi kos minyak, tol dan masa. Untuk kerja pentadbiran seperti ini, memang boleh dibuat secara ‘online’ (dalam talian).
“BDR ini memang ditunggu-tunggu terutama bagi penjawat awam yang tinggal jauh seperti saya,” katanya.
Beliau sebelum ini perlu keluar rumah seawal selepas solat subuh untuk mengelak kesesakan trafik, memandangkan waktu kerja bermula dari 7.30 pagi hingga 4.30 petang.
Dengan pelaksanaan BDR, beliau yang juga bapa dua anak boleh menjimatkan kos kira-kira RM600 ($193) sebulan termasuk minyak dan tol.
“Subsidi petrol RON95 sebanyak 300 liter sebulan juga tidak mencukupi kerana sebahagian besar digunakan untuk perjalanan kerja, bukan untuk perjalanan dengan keluarga.
“Apatah lagi, ketika krisis tenaga ini berlaku, kerajaan sudah menurunkan kuota petrol bersubsidi kepada 200 liter sebulan,” ujarnya.
