Topik diikuti
Pergi ke BHkuDesaru perketat keselamatan selepas kes pecah kenderaan pelancong
Polis tambah rondaan hujung minggu, hotel dan pusat peranginan pertingkat pemantauan CCTV serta kawalan tempat letak kereta
Desaru perketat keselamatan selepas kes pecah kenderaan pelancong
Kejadian pecah kenderaan, termasuk kereta bernombor pendaftaran Singapura, di kawasan Adventure Waterpark Desaru Coast pada 6 September lalu telah membuka mata pelbagai pihak mengenai keperluan mempertingkat tahap keselamatan di kawasan pelancongan Desaru, Johor.
Walaupun kejadian itu dianggap terpencil, Polis Johor telah mengarahkan pihak berkepentingan di kawasan berkenaan supaya mengambil langkah pencegahan lebih menyeluruh bagi memastikan kejadian sama tidak berulang, terutama ketika Desaru terus menjadi antara destinasi pilihan pengunjung tempatan dan warga Singapura.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, berkata polis sudah meningkatkan rondaan kereta peronda di sekitar kawasan berkenaan dengan perhatian khusus diberikan pada hujung minggu apabila jumlah pengunjung lazimnya lebih tinggi.
“Kita tingkatkan rondaan kereta peronda dan beri keutamaan terutama pada hujung minggu.
“Ketua Polis Daerah juga sudah mengadakan libat urus dengan hotel-hotel supaya mereka meningkatkan tahap keselamatan, khususnya liputan kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.
Menurut beliau, antara kelemahan yang dikenal pasti ialah sesetengah premis memasang kamera litar tertutup tetapi liputannya tidak merangkumi keseluruhan kawasan.
“Ada tempat yang hanya memasang CCTV tetapi tidak meliputi semua kawasan. Mereka yang melakukan jenayah mungkin tahu kawasan mana yang tidak dapat dirakam dan memilih tempat itu,” katanya.
Datuk Ab Rahaman berkata polis berjaya menjejaki pergerakan tiga kenderaan yang dipercayai digunakan oleh suspek selepas kejadian tersebut, termasuk menerusi laluan tol sehingga ke kawasan Johor Bahru.
Tiga daripada tujuh individu yang dipercayai terlibat itu sudah ditahan, manakala empat lagi masih dicari polis.
“Kumpulan ini bukan hanya terbabit dalam pecah kenderaan. Sebelum ini ada yang terlibat dalam kegiatan seperti mencuri kabel.
“Bagi kes pecah cermin kereta, mereka dipercayai baru melakukannya sejak kira-kira dua bulan lalu. Tiga sudah ditahan dan empat lagi sedang kita kesan,” katanya.
Kamera keselamatan bantu polis
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pengerang (MPP), Encik Norazmi Amir Hamzah, pula berkata rakaman kamera keselamatan yang dipasang di sekitar Bandar Penawar membantu polis dalam siasatan kes berkenaan.
Sebanyak 89 kamera sudah dipasang secara strategik, dengan 46 daripadanya telah beroperasi dan baki 43 lagi sedang melalui proses persediaan sebelum digunakan.
MPP turut merancang memasang 43 lagi kamera sebelum akhir 2026.
“Kejadian ini mengingatkan kita bahawa keselamatan penduduk dan pengunjung memerlukan kerjasama erat antara PDRM (Polis Diraja Malaysia), pihak MPP dan pengusaha setempat.
“CCTV di bawah agenda Bandar Selamat turut membantu siasatan dan kami menghargai tindakan pantas pihak polis. Desaru ialah destinasi pilihan ramai dan kepercayaan itu perlu dijaga melalui pemantauan berkesan serta usaha keselamatan berterusan,” katanya.
Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Bahagian Johor, Encik Ivan Teo, berkata pemain industri percaya kejadian berkenaan terpencil dan tidak menggambarkan keadaan keselamatan keseluruhan kawasan pelancongan Johor.
Beliau berkata hotel dan pusat peranginan sudah mempunyai beberapa lapisan keselamatan termasuk anggota keselamatan, CCTV dan hubungan terus antara pihak pengurusan premis.
“Kawasan pelancongan mempunyai pencahayaan dan rangkaian CCTV, selain Unit Polis Pelancong yang membantu memastikan keselamatan pengunjung.
“Pengurus keselamatan dan pengurus besar hotel juga saling berhubung melalui rangkaian komunikasi yang membolehkan amaran mengenai kegiatan atau kejadian mencurigakan dikongsi dengan segera,” katanya.
Menurut Encik Teo, pihak hotel turut mengadakan forum keselamatan bersama Polis Johor secara berkala bagi menilai serta menambah baik usaha pencegahan jenayah.
Pengurus Pusat Informasi dan Pelancongan Kota Tinggi, Cik Nur Farhana Zakaria, pula berkata penggunaan teknologi pemantauan perlu diperluas memandangkan pengawasan manusia mempunyai batas.
“Perkara sebegini sepatutnya dapat dicegah sekiranya pemantauan dilakukan secara berterusan.
“Namun, keupayaan manusia tidak dapat menampung keseluruhan keperluan itu. Oleh demikian, CCTV perlu dipasang secara menyeluruh di kawasan yang berpotensi berlaku jenayah,” katanya.
Pusat peranginan tingkat kawalan
Adventure Waterpark Desaru Coast dalam kenyataannya berkata langkah keselamatan telah dipertingkat sejurus selepas kejadian pada 6 September.
Antaranya ialah menambah kehadiran petugas keselamatan dan rondaan di kawasan tumpuan pengunjung, meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan di tempat letak kenderaan, serta memperkukuh penyelarasan dengan pihak penguat kuasa.
Pengunjung turut dinasihatkan supaya memastikan kenderaan dikunci dengan sempurna dan tiada barangan berharga ditinggalkan di tempat yang boleh dilihat dari luar kenderaan.
Kemudahan loker bersaiz besar juga disediakan bagi membolehkan pengunjung menyimpan barangan peribadi dengan lebih selamat.
Ketua Pegawai Eksekutif Lotus Desaru Beach Resort & Spa, Cik Indra Gandhi Pillai, berkata pusat peranginan itu turut mempertingkat rondaan, terutama pada waktu puncak, hujung minggu dan cuti umum.
“Langkah ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kami untuk menyediakan persekitaran yang selamat, terjamin dan mesra kepada semua pengunjung, termasuk pelancong dari Singapura,” katanya.
Menurut beliau, kawasan strategik termasuk pintu masuk, pintu keluar, tempat letak kereta dan kawasan yang mempunyai pergerakan pengunjung tinggi dipantau menerusi CCTV sepanjang 24 jam.
Pergerakan kenderaan keluar masuk turut direkodkan, manakala pengurus keselamatan dan pengurus besar hotel di kawasan berkenaan mempunyai saluran komunikasi masa nyata bagi berkongsi maklumat mengenai sebarang kegiatan mencurigakan.
“Kerjasama dengan PDRM diteruskan secara berkala, termasuk melalui perbincangan keselamatan dan forum bersama untuk menilai serta memperkukuh langkah pencegahan jenayah,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kejora Development Holding Sdn Bhd, Encik Abidullah S. Ali, berkata Bayu Balau Beach Resort pula mempunyai pengawal keselamatan sepanjang 24 jam dan dilengkapi kamera litar tertutup.
Beliau berkata susun atur tempat letak kereta dalam kawasan hotel itu turut memudahkan rondaan dan pemantauan.
“Semua kenderaan pengunjung diletakkan dalam kawasan hotel. Jadi dari segi rondaan dan menjaga keselamatan, ia lebih mudah bagi pihak kami.
“Setakat ini, aspek keselamatan di kawasan Tanjung Balau masih terkawal,” katanya.
Menurut Encik Abidullah, kira-kira 20 peratus pengunjung ke pusat peranginan itu terdiri daripada warga Singapura.
Terdahulu, media melaporkan bahawa tiga kenderaan bernombor pendaftaran Singapura didakwa telah dipecah masuk di kawasan letak kereta sebuah taman tema air di Desaru.
Menurut seorang pengunjung, Encik Syafiq Maselan, yang berkongsi kejadian itu dalam Facebook MY SG Road Trip, mangsa dipercayai menjadi sasaran kerana meninggalkan beg di dalam kenderaan.
Datuk Ab Rahaman berkata tiga lelaki tempatan berusia 26 hingga 36 tahun telah ditahan dalam operasi ‘Ops Kesan’ di kawasan Masai dan Majidee, Johor Bahru, pada 7 dan 8 September.
“Ketiga-tiga suspek ini dipercayai terlibat dalam tujuh kes pecah kenderaan dan curi barangan dalaman kenderaan tersebut di Kota Tinggi pada 6 September,” katanya.
Dengan Desaru terus menjadi destinasi popular bagi warga republik ini, langkah keselamatan yang dipertingkat kini bukan sahaja tertumpu kepada rondaan polis, tetapi merangkumi kamera pemantauan yang lebih menyeluruh, kawalan tempat letak kenderaan, perkongsian maklumat pantas dan kerjasama lebih rapat antara pengusaha pelancongan dengan pihak berkuasa.
Diharap pendekatan ini dapat mengurangkan risiko kejadian sama berulang, sekali gus memastikan pengunjung dapat menikmati percutian mereka dengan lebih selamat.
