Berbaki kira-kira empat bulan sebelum Laluan Sistem Transit Laju (RTS) Link Johor Bahru-Singapura beroperasi sepenuhnya, kalangan peniaga dan penggiat pelancongan di Johor Bahru sudah mula menghitung peluang yang bakal dibawa sistem pengangkutan rentas sempadan itu.

Dengan kemudahan pergerakan ini, beberapa peruncit dan pemilik perniagaan makanan dan minuman (F&B) menjangkakan lonjakan jumlah pelanggan Singapura yang akan merangsang perniagaan khususnya di pusat bandar.

Namun, di sebalik harapan dan sentimen optimis itu, sebahagian peniaga turut bimbang peningkatan permintaan boleh mendorong kenaikan harga hartanah, sewa premis dan bahan mentah, yang akhirnya terpaksa ditanggung penduduk tempatan.

Ini di samping cabaran seperti kesesakan trafik, kekurangan tempat meletak kereta dan permintaan untuk khidmat pelancongan.

Pemilik perniagaan Herryson’s Pizza, Encik Muhammad Hazrin Herryson, 37 tahun, berkata RTS berpotensi meningkatkan jumlah pelanggan Singapura dengan ketara kerana perjalanan rentas sempadan menjadi lebih mudah.

Encik Muhammad Hazrin Herryson bersama salah satu menu paling laris di gerainya-roasted duck pizza. Beliau berkata kesan sampingan yang perlu diperhatikan ialah kemungkinan nilai hartanah dan kadar sewa premis meningkat.
Encik Muhammad Hazrin Herryson bersama salah satu menu paling laris di gerainya-roasted duck pizza. Beliau berkata kesan sampingan yang perlu diperhatikan ialah kemungkinan nilai hartanah dan kadar sewa premis meningkat. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

“Daripada segi kebaikan, kita dapat menarik lebih ramai orang Singapura datang ke sini. Sebelum ini mereka perlu menaiki kereta atau motosikal, tetapi selepas ini ada kereta api dan perjalanan hanya mengambil masa yang singkat.

“Kita menjangkakan jumlah pengunjung Singapura boleh bertambah mungkin dua atau tiga kali ganda. Ini akan membantu usahawan, peniaga kecil dan pengusaha restoran,” kata Encik Muhammad Hazrin, yang lebih dikenali sebagai Cef Hazrin.

Bagaimanapun, beliau berkata kesan sampingan yang perlu diperhatikan ialah kemungkinan nilai hartanah dan kadar sewa premis meningkat.

“Apabila harga hartanah naik, sewa kedai boleh naik dan kos bahan mentah juga mungkin meningkat. Akhirnya ada peniaga yang mungkin menaikkan harga makanan.

“Kalau nasi goreng yang dahulunya RM10 ($3.15) menjadi RM12 semata-mata kerana lebih ramai orang Singapura datang, itu tidak adil kepada penduduk tempatan. Kuasa beli orang Singapura mungkin tinggi, tetapi adakah gaji orang yang bekerja di Johor Bahru turut naik?” katanya.

Peniaga kecil tidak mahu kebanjiran warga Singapura dijadikan peluang oleh sesetengah pihak untuk menaikkan harga sewa tapak perniagaan yang akhirnya akan memberi kesan kepada harga barangan yang dijual.
Peniaga kecil tidak mahu kebanjiran warga Singapura dijadikan peluang oleh sesetengah pihak untuk menaikkan harga sewa tapak perniagaan yang akhirnya akan memberi kesan kepada harga barangan yang dijual. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

Encik Muhammad Hazrin, yang berniaga sejak 2018, berkata beliau sendiri akan menyesuaikan harga secara berperingkat sekiranya kos meningkat tetapi tidak mahu kenaikan dibuat secara keterlaluan.

Perniagaannya mempunyai tiga trak makanan, termasuk di Desa Tebrau, dengan pelanggan Singapura membentuk sekitar 30 hingga 40 peratus daripada pelanggan di kawasan itu.

“Kalau perlu naik harga, kena ada nilai yang sepadan. Kita juga perlu cari pembekal lebih murah, kurangkan kos atau ubah menu. Peniaga kena bijak mencari jalan supaya harga masih mampu milik,” katanya.

Saingan juga dijangka bertambah

Pengerusi Persatuan Trak Makanan Pasir Gudang, Encik Nik Mohamad Amir Moharani, 32 tahun, pula menjangkakan RTS akan membawa dua kesan serentak; lebih ramai pelanggan tetapi juga persaingan lebih sengit.

Pengerusi Persatuan Trak Makanan Pasir Gudang, Encik Nik Mohamad Amir Moharani berkata beliau bimbang harga barangan setempat bergerak menghampiri paras yang disesuaikan kepada kuasa beli warga Singapura.
Pengerusi Persatuan Trak Makanan Pasir Gudang, Encik Nik Mohamad Amir Moharani berkata beliau bimbang harga barangan setempat bergerak menghampiri paras yang disesuaikan kepada kuasa beli warga Singapura. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

“Kelebihannya, kita boleh dapat pelanggan baru dari Singapura kerana lebih mudah untuk mereka masuk ke Johor.

“Tetapi apabila pelanggan semakin ramai, lebih ramai juga mungkin mengambil peluang membuka perniagaan. Jadi, kita kena bersedia menghadapi persaingan yang lebih besar,” katanya.

Encik Nik Mohamad Amir, yang menjalankan perniagaan minuman dan makanan ringan sejak 2020 selepas pernah berniaga pada 2016, turut bimbang harga setempat bergerak menghampiri paras yang disesuaikan kepada kuasa beli warga Singapura.

Beliau berkata sekitar 40 peratus pelanggan di cawangannya di Desa Tebrau pada hujung minggu dan cuti umum terdiri daripada warga Singapura.

“Buat masa ini, harga kami sama untuk semua pelanggan. Minuman panas bermula RM3 dan minuman sejuk RM6. Kita tidak bezakan harga untuk pelanggan Singapura,” katanya.

Pemilik Makaneka Chicken Tenders, Encik Nazri Md Hadri, 50 tahun, pula berkata peningkatan pengunjung memang membantu ekonomi tetapi peniaga kecil lebih mudah terjejas apabila harga bahan mentah meningkat.

Encik Nazri Md Hadri berkata menu, kebersihan, khidmat dan kualiti juga memainkan peranan dalam menarik warga Singapura untuk berbelanja dan membantu peniaga kecil tempatan.
Encik Nazri Md Hadri berkata menu, kebersihan, khidmat dan kualiti juga memainkan peranan dalam menarik warga Singapura untuk berbelanja dan membantu peniaga kecil tempatan. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

“Kita peniaga kecil tidak membeli stok dalam jumlah besar kerana ruang simpanan terhad. Jadi kita tidak dapat harga serendah pembeli pukal.

“Kalau permintaan meningkat dan pembekal menaikkan harga, peniaga kecil yang akan terasa dahulu,” katanya.

Namun, Encik Nazri berkata beliau masih mengekalkan harga jualan walaupun keuntungan menjadi lebih kecil.

“Kita tidak boleh sesuka hati menaikkan harga. Bagi pelanggan Singapura, bukan harga sahaja penting. Menu, kebersihan, khidmat dan kualiti juga memainkan peranan. Kalau kita boleh beri kualiti yang baik pada harga lebih mampu milik, itu yang akan menarik mereka datang,” katanya.

Bagi Encik Syukur Mohd Yazid, 29 tahun, pemilik Takoyaki Kouno House, keaslian produk pula menjadi tarikan utama untuk bersaing.

Encik Syukur Mohd Yazid menawarkan resipi takoyaki milik neneknya yang berasal dari Jepun untuk menarik pelanggan. Selain takoyaki, beliau juga mempunyai kemahiran untuk menghasilkan sushi.
Encik Syukur Mohd Yazid menawarkan resipi takoyaki milik neneknya yang berasal dari Jepun untuk menarik pelanggan. Selain takoyaki, beliau juga mempunyai kemahiran untuk menghasilkan sushi. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

Beliau yang berasal dari Pasir Gudang berkata resipi takoyakinya mempunyai kaitan keluarga dengan Jepun dan sudah diusahakan selama kira-kira lima tahun.

“Nenek saya orang Jepun dan resipi itu datang daripada beliau. Kami hanya olah sedikit tetapi masih mahu mengekalkan rasa asalnya.

“Bagi kami, pelanggan boleh melihat sendiri perbezaannya pada tekstur dan rasa. Itu yang kami mahu kekalkan,” katanya.

Jurulatih Aquila Gym Fitness, Encik Ammar Harun, 33 tahun, berkata kesan RTS bukan hanya akan dinikmati sektor makanan dan runcit.

“RTS memang sesuatu yang positif untuk ekonomi, terutama di Johor Bahru. Kami nampak potensi lebih ramai pengunjung datang apabila kawasan ini semakin berkembang.

Encik Ammar Harun berkata apabila RTS berjalan sepenuhnya nanti, beliau percaya lebih ramai pelancong dan pengunjung akan melakukan kegiatan di Johor Bahru.
Encik Ammar Harun berkata apabila RTS berjalan sepenuhnya nanti, beliau percaya lebih ramai pelancong dan pengunjung akan melakukan kegiatan di Johor Bahru. - Foto ihsan AMMAR HARUN

“Mungkin kesannya tidak terus kelihatan tetapi apabila RTS berjalan sepenuhnya nanti, saya percaya lebih ramai pelancong dan pengunjung akan melakukan kegiatan di sekitar sini,” katanya.

Beliau berkata pusat kecergasan di Nongchik Riverside, Jalan Kolam Ayer, sudah mempunyai ahli dari Singapura.

Pengerusi Persatuan Penjaja, Peniaga dan Pengusaha Kecil India Johor Bahru, Encik D. Ravindran, pula berharap peniaga kecil tidak tercicir daripada pembangunan sekitar RTS.

“Kami berharap ruang niaga, gerai dan peluang perniagaan disediakan di sekitar pembangunan berkaitan RTS supaya usahawan tempatan dapat menikmati secara langsung pertumbuhan yang dibawa projek ini.

“Kami juga berharap ada latihan keusahawanan, sokongan perniagaan, ruang komersial pada kadar berpatutan dan keutamaan kepada perusahaan kecil dan sederhana tempatan,” katanya.

Cabaran kesesakan trafik

Naib Presiden Persatuan Kebudayaan Jalan Tan Hiok Nee, Encik Alex Loo, berkata RTS dijangka merancakkan bandar lama Johor Bahru tetapi masalah tempat letak kereta dan pergerakan trafik perlu diselesaikan lebih awal.

Naib Presiden Persatuan Kebudayaan Jalan Tan Hiok Nee, Encik Alex Loo berkata rancangan menjadikan sebahagian Jalan Tan Hiok Nee sebagai kawasan mesra pejalan kaki boleh menarik pelancong, tetapi akses pekerja, peniaga dan penduduk setempat perlu diberi perhatian.
Naib Presiden Persatuan Kebudayaan Jalan Tan Hiok Nee, Encik Alex Loo berkata rancangan menjadikan sebahagian Jalan Tan Hiok Nee sebagai kawasan mesra pejalan kaki boleh menarik pelancong, tetapi akses pekerja, peniaga dan penduduk setempat perlu diberi perhatian. - Foto BM oleh REMAR NORDIN

“RTS memang baik untuk perniagaan, tetapi kalau pengangkutan tidak diatur dengan baik, penduduk tempatan sendiri mungkin takut hendak masuk ke bandar kerana sesak.

“Kalau tempat letak kereta tidak cukup, siapa hendak masuk? Bas pelancong juga perlu ada tempat untuk berhenti. Pengangkutan sangat penting,” katanya.

Beliau berkata rancangan menjadikan sebahagian Jalan Tan Hiok Nee sebagai kawasan mesra pejalan kaki boleh menarik pelancong, tetapi akses pekerja, peniaga dan penduduk setempat perlu diberi perhatian.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Bandar dan Alam Semula Jadi Johor, Encik Ajmal Ahmad Shahrom, melihat kemungkinan RTS mengurangkan penggunaan bas dan van persiaran.

Encik Ajmal Ahmad Shahrom membawa pelancong melawat Galeri Sejarah di Kota Iskandar. Beliau berkata  pemandu pelancong perlu menyesuaikan diri dengan mengenal pasti bidang kepakaran masing-masing seperti sejarah, seni bina, warisan dan alam semula jadi.
Encik Ajmal Ahmad Shahrom membawa pelancong melawat Galeri Sejarah di Kota Iskandar. Beliau berkata pemandu pelancong perlu menyesuaikan diri dengan mengenal pasti bidang kepakaran masing-masing seperti sejarah, seni bina, warisan dan alam semula jadi. - Foto ihsan AJMAL AHMAD SHAHROM

“Ada risikonya. Pelancong mungkin menggunakan RTS dan bergerak sendiri ke tempat yang mereka mahu pergi. Jadi, ada kemungkinan pemandu pelancong kurang mendapat tugasan.

“Kita perlu mengenal pasti kemahiran dan kepakaran pemandu pelancong supaya mereka dapat menawarkan perkhidmatan lebih khusus dan terus mempunyai peluang pekerjaan,” katanya.

Encik Ajmal turut menggesa syarikat pelancongan menyediakan van persiaran atau kenderaan sesuai di sekitar RTS bagi membawa pelancong meneroka destinasi lain di Johor.

Pengarah Syoknya Travel Sdn Bhd, Encik Hilmi Abd Razak, pula berharap manfaat RTS dapat dinikmati seluruh rantaian ekonomi.

Pengarah Syoknya Travel Sdn Bhd, Encik Hilmi Abd Razak berharap manfaat RTS dapat dinikmati seluruh rantaian ekonomi..
Pengarah Syoknya Travel Sdn Bhd, Encik Hilmi Abd Razak berharap manfaat RTS dapat dinikmati seluruh rantaian ekonomi.. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Encik Hilmi berkata pelawat Singapura yang dikendalikan syarikatnya terdiri daripada mereka yang datang atas urusan perniagaan dan rasmi serta keluarga yang mahu bercuti.

“Kita mahu peniaga pasar, pasar raya, penyedia pengangkutan, pengusaha pelancongan dan masyarakat semuanya merasakan kesannya, bukan hanya golongan tertentu.

“Kita juga berharap pelancong yang datang ke Singapura akan lebih mudah menyeberang ke Johor dan seterusnya meneroka tempat lain seperti Desaru, Gunung Ledang serta destinasi lain di Malaysia,” katanya.

RTS Link yang dijadualkan mula beroperasi pada 1 Januari 2027 ialah perkhidmatan rel ulang-alik sepanjang empat kilometer yang menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dengan Woodlands North di Singapura.

Ia direka untuk mengendalikan sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah, sekali gus dijangka mengubah corak perjalanan rentas sempadan apabila mula beroperasi kelak.