Kira-kira 1,600 penduduk telah berkumpul sewaktu Majlis Makan Malam Hari Kebangsaan Chong Pang di Yishun pada 15 Ogos, untuk bersama-sama membaca Ikrar Kebangsaan dalam empat bahasa termasuk bahasa Inggeris, Mandarin, Melayu dan Tamil.

Bacaan ikrar itu bersempena dengan ulang tahun ke-60 sejak terciptanya Ikrar Kebangsaan.

Menurut satu hantaran Facebook oleh Menteri Kanan, Encik, K. Shanmugam pada 16 Ogos, beliau berkata:

“Kami memperingati ulang tahun ke-60 Ikrar Kebangsaan kita di Majlis Makan Malam Hari Kebangsaan Chong Pang.

“Seramai 1,600 penduduk daripada pelbagai kaum, agama dan peringkat usia hadir bersama.

“Kami melafazkan Ikrar dalam keempat-empat bahasa rasmi. Saya turut melafazkan Ikrar dalam bahasa Tamil.

Menurut Encik Shanmugam yang juga merupakan Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri dalam hantaran tersebut, kata-kata ikrar itu mengandungi sejarahnya.

Pada 1965, Singapura baru sahaja mencapai kemerdekaan. Setahun selepas itu, pada 1966, satu ikrar telah ditetapkan.

Menyingkap sejarah dan kepentingan ikrar sebagai cerminan kehidupan warga Singapura, beliau menegaskan ikrar itu merupakan satu pilihan yang perlu dibuat oleh setiap generasi.

“Encik Philip Liau (yang kemudiannya menjadi Pengetua Institusi Raffles) menyediakan draf awal. Encik S. Rajaratnam kemudian memperhalusinya.

“Ikrar yang kita lafazkan hari ini merupakan versi keempat, yang diluluskan oleh Kabinet pada Ogos 1966.

“Kata-katanya dipilih dengan teliti: Satu rakyat yang bersatu padu, tidak kira bangsa, bahasa atau agama.

“Satu pernyataan yang begitu kuat bagi Singapura pada 1960-an. Singapura sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, yang saling menghormati.

“Singapura untuk semua rakyat Singapura.

“Kita membuat satu pilihan pada 1966. Setiap generasi mesti membuat pilihan yang sama sekali lagi,” kata beliau.