PETALING JAYA: Malaysia yang bergerak pantas menuju negara menua menjelang 2040, berdepan dilema apabila kadar kesuburan menyaksikan penurunan mendadak daripada 4.9 peratus pada 1970 kepada hanya 1.6 peratus pada 2022.
Ketua Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata perkara itu agak membimbangkan.
Selain itu, beliau berkata setakat 2023, kira-kira 444,900 rakyat Malaysia yang masih bekerja terdiri daripada mereka yang berumur antara 60 dan 64 tahun, dan trend itu diunjurkan meningkat yang mana lebih ramai warga emas perlu terus bekerja pada masa depan.
“Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam penerbitan Ageing in the Twenty-First Century (2012), penuaan penduduk merujuk kepada fenomena yang mana individu lebih tua menjadi sebahagian besar daripada jumlah penduduk disebabkan kesuburan yang rendah dan peningkatan jangka hayat.
“Pertumbuhan penduduk warga emas merujuk kepada yang berumur 65 tahun ke atas yang kini merupakan salah satu trend demografi paling ketara di seluruh dunia,” katanya pada Majlis Peluncuran MyAgeing Dashboard, lapor The Star.
MyAgeing Dashboard akan menyediakan semua maklumat penting mengenai peralihan Malaysia ke arah negara menua yang akan merangkumi data melibatkan Malaysia dan negara terpilih lain, serta perbincangan mengenai isu itu di kalangan orang ramai dan media.
Kadar kesuburan rendah menyebabkan Malaysia menyaksikan peningkatan jumlah warga emas yang lebih tinggi, dan menurut Datuk Dr Uzir, ia berpunca daripada kecenderungan penduduk yang melanjutkan pengajian tinggi dan lewat berkahwin.
Tambah Datuk Dr Uzir, kadar kelahiran di Malaysia telah menurun daripada 32.4 peratus pada 1970 kepada 12.9 peratus bagi setiap 1,000 orang pada 2022, manakala jumlah kadar kesuburan (TFR) menurun daripada 4.9 peratus bayi bagi setiap wanita pada 1970 kepada 1.6 peratus pada 2022, iaitu di bawah tahap penggantian sebanyak 2.1 peratus.
“Dengan pendidikan dan peluang pekerjaan lebih baik, peratusan individu belum berkahwin meningkat dan ia menyebabkan bilangan anak dilahirkan berkurangan bagi setiap keluarga,” katanya.
Selain itu menurutnya, peningkatan jangka hayat semasa kelahiran adalah satu lagi sebab mengapa Malaysia pantas menjadi negara tua.
“Jangka hayat semasa lahir telah meningkat daripada umur 61.6 tahun pada 1970 kepada 74.8 tahun pada 2023,” katanya.
Datuk Dr Uzir berkata dalam menangani isu itu, Malaysia mesti mengalihkan tumpuannya kepada beberapa kawasan bagi memastikan pertumbuhan penduduk yang stabil di negara itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg