Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Disiplin tidak beri rawatan, preskripsi berlebihan bantu tangani kos jagaan kesihatan

Jul 13, 2024 | 7:35 PM
Ruang jabatan kecemasan di Woodlands Health.
Ruang jabatan kecemasan di Woodlands Health. - Foto ST

Keperluan penjagaan kesihatan di Singapura perlu ditangani bukan hanya dengan membina hospital baru, tetapi juga menerusi disiplin dalam menyediakan apa yang perlu.

Dalam ucapannya ketika merasmikan kampus Woodlands Health (WH) pada 13 Julai, Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, berkata negara ini tidak boleh terus membina hospital baru dan menambah jumlah katil akut untuk memenuhi keperluan penduduk yang menua dengan pesat.

“Masalah dengan pendekatan ini bukan hanya kos fiskal yang berat, atau kesukaran mencari plot tanah sesuai untuk membina lebih banyak hospital.

“Sama genting juga, kita akan kekurangan tenaga kerja perubatan dan kejururawatan bagi memenuhi kakitangan hospital tambahan,” katanya.

Menggariskan masa depan penjagaan kesihatan, Encik Lee menekankan kepentingan mengekalkan disiplin agar tidak memberi rawatan atau preskripsi berlebihan, dan bijak menilai teknologi, ubat, prosedur dan rawatan perubatan baru yang patut diambil supaya kos penjagaan kesihatan dapat kekal mampan dalam jangka panjang.

Pada masa yang sama, jelasnya, campuran tepat subsidi pemerintah, insurans perubatan dan bayaran bersama individu perlu dikekalkan supaya dapat mengurangkan insentif yang tersilap diberi, yang boleh membawa kepada hasil tidak memuaskan.

Encik Lee juga berkata Singapura akan terus melatih lebih ramai doktor, jururawat dan karyawan penjagaan kesihatan yang cekap, selain memperbaiki prasarana dan kemudahan penjagaan kesihatannya.

“Terdapat terlalu banyak contoh di tempat lain di mana khidmat penjagaan kesihatan boleh dikatakan di ambang kehancuran.

“Penduduk merana disebabkan khidmat penjagaan kesihatan yang lemah dan waktu menunggu lama, atau bil perubatan yang sangat mahal serta premium insurans yang tinggi.

“Ini dapat dilihat dalam hasilnya – kesihatan penduduk merosot, begitu juga mutu kehidupan, jangka hayat,” tambahnya.

Menara Penjagaan Jangka Panjang di Kampus Woodlands Health (kiri) dan Pusat Perubatan (kanan).
Menara Penjagaan Jangka Panjang di Kampus Woodlands Health (kiri) dan Pusat Perubatan (kanan). - Foto ST

Bagaimanapun, Encik Lee berkata sistem penjagaan kesihatan di Singapura secara keseluruhannya berada pada kedudukan yang baik dengan warga Singapura mendapat akses kepada penjagaan kesihatan bermutu tinggi serta dimampui, di samping waktu menunggu yang munasabah.

“Tetapi tolong jangan memandang rendah kesukaran memastikan sistem penjagaan kesihatan berfungsi dengan baik,” tambahnya.

Terletak di 17 Woodlands Drive 17, kampus Woodlands Health yang seluas 7.66 hektar kini mempunyai 460 katil yang beroperasi.

Apabila dibuka sepenuhnya, hospital yang merangkumi wad akut dan masyarakat bersepadu itu dapat menampung kira-kira 1,000 katil serta hampir 400 katil di Menara Penjagaan Jangka Panjang.

Kampus tersebut juga disepadukan dengan taman sebesar 1.7 hektar, ‘Woodlands Healing Garden’, yang diurus Lembaga Taman Negara (NParks).

Menyatakan bahawa ruang tersebut merupakan taman terapeutik terbesar NParks yang dibina dengan tujuan, Encik Lee berkata ia bertujuan mewujudkan sekitaran yang tenang di mana pesakit boleh menjalani ‘terapi hijau’.

Mempelajari daripada pengalaman, Encik Lee berkata kampus tersebut telah direka secara modular.

“Dengan cara ini, ia boleh menampung lonjakan dalam bilangan pesakit.

“Ruang boleh diubah cepat bagi kegunaan lain, seperti wad pengasingan atau kemudahan penjagaan kritikal,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg