Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dipaksa belajar punca pelajar SPM tikam mati ibu dan abang, adik bongsu cedera

Jun 13, 2025 | 11:20 AM
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar. - Foto ihsan POLIS MELAKA

MELAKA: Seorang pelajar tingkatan lima bertindak di luar batas apabila menikam mati ibu dan abang sulungnya serta mencederakan adik bongsunya dalam satu kejadian tragis di rumah mereka di Bukit Rambai, awal pagi 12 Jun.

Kejadian kira-kira 5 pagi itu dipercayai berpunca daripada tekanan perasaan dan dendam kerana suspek, 17 tahun, sering dipaksa belajar untuk mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal dihadapinya hujung 2025.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata mangsa wanita berusia 51 tahun yang juga seorang guru sekolah Cina (SJKC), serta anak sulungnya yang berusia 21 tahun, ditemui tidak bernyawa di ruang tamu rumah dengan beberapa kesan tikaman.

“Seorang lagi mangsa iaitu adik bongsu suspek berusia 13 tahun pula ditemui dalam keadaan berlumuran darah di kawasan garaj rumah. Remaja itu kini dirawat di Hospital Melaka,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka pada 12 Jun.

Menurut beliau, suspek merupakan anak kedua dalam keluarga itu. Difahamkan, semasa kejadian, suspek mula menyerang ibunya di dalam bilik tidur sebelum abang sulungnya campur tangan untuk menyelamatkan mangsa, lapor Harian Metro.

“Berlaku pergelutan dan kedua-duanya maut ditikam. Suspek kemudian menyuruh adik bongsunya keluar dari rumah, namun apabila adiknya enggan, suspek menikamnya juga,” kata Datuk Dzulkhairi.

Walaupun cedera parah, mangsa sempat melarikan diri dari rumah untuk mendapatkan bantuan dan berjaya diselamatkan.

Siasatan awal mendapati suspek mengalami tekanan berpanjangan akibat didesak belajar dengan lebih tekun, malah jiran turut memaklumkan sering mendengar pertengkaran daripada rumah berkenaan.

Polis turut menemui pisau lipat yang dipercayai digunakan dalam serangan itu dan pakaian suspek yang dibuang ke dalam semak berhampiran, dipercayai bagi menghapuskan bukti.

Ujian saringan mendapati suspek bebas daripada pengaruh dadah dan alkohol. Dia kini ditahan dan akan dibawa ke Mahkamah Ayer Keroh untuk permohonan reman.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg