JASIN (Melaka): Sepasang suami isteri yang baru tiga bulan mendirikan rumah tangga ditahan polis selepas disyaki menjual rokok elektronik atau ‘vape’ mengandungi dadah kepada pelajar sekolah.
Suspek lelaki berusia 41 tahun yang juga warga Singapura dan isterinya warga Malaysia berusia 38 tahun diberkas kira-kira 11 pagi pada 26 Mei, dalam serbuan di sebuah rumah sewa di Jasin Bestari, Jasin, Melaka, oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata hasil siasatan awal pasangan tersebut dipercayai aktif mengedar pelbagai jenis dadah dalam bentuk ‘vape’, pil dan serbuk khususnya kepada pelajar sekolah serta remaja.
“Antara yang dirampas dalam serbuan termasuk cecair ketamin seberat 127.5 mililiter yang dipercayai digunakan dalam rokok elektronik serta pelbagai jenis dadah lain seperti pil Ecstacy, Eramin 5, syabu, ganja dan serbuk ketamin.
“Modus operandi mereka adalah membungkus semula dadah ke dalam bekas-bekas cecair ‘vape’ berperisa untuk mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, pada 27 Mei, lapor Kosmo!.
Beliau berkata polis turut menyita sebuah kereta dan sebuah motosikal milik pasangan tersebut, menjadikan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan sebanyak RM32,650 ($9,903).
Dalam pada itu Datuk Dzulkhairi berkata polis Melaka sedang menyiapkan kertas kerja cadangan mengharamkan penjualan ‘vape’ bagi mencegah penyalahgunaan dadah sintetik baru, sebelum dibentangkan kepada kerajaan negeri itu dalam masa terdekat.
“Kita tidak teragak-agak berhubung cadangan mengharamkan penjualan ‘vape’ berikutan trend penyalahgunaan dadah sintetik baru dalam kalangan pelajar sekolah semakin membimbangkan sejak akhir-akhir ini.
“Memang ada peningkatan kes pelajar menghisap ‘vape’. Kita lihat sekarang ini ramai pelajar sekolah yang terbongkang di tepi jalan, tak pulang ke rumah selepas sekolah, hisap ‘vape’, terbaring bawah pokok dan sebagainya.
“Apabila kertas kerja siap nanti, barulah kita usulkan kepada kerajaan negeri dengan melihat isu-isu yang menyebabkan ia perlu diharamkan termasuk kaitannya dengan pelajar sekolah dan kesan kepada masyarakat,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg