KUALA SELANGOR: “Tak sangka arwah yang bersungguh-sungguh suruh saya pergi bercuti ke Korea Selatan, tapi bila saya sampai di sana, dia pula yang ‘pergi’ dulu tempat abadi.”
Demikian luahan pilu Cik Norzimah Gumri, 51 tahun, isteri kepada Encik Shaiful Bahri Leman, 63 tahun, yang maut selepas dihempap tandan kelapa sawit dalam kejadian di Kampung Batu 8, Ijok, Kuala Selangor, Malaysia pada 26 Mei
Menurut Cik Norzimah, arwah suaminya sebelum ini bersungguh-sungguh mahu beliau mengikuti rombongan percutian keluarga seramai 12 orang yang disertai rakan, kakak dan tiga anak mereka.
“Dia (Allahyarham Shaiful Bahri) yang pujuk dan siapkan semua belanja dan suruh saya pergi bawa anak-anak.”
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Ijok, Encik Mohamad Afandy Mohd Dahlan, turut menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada Cik Norzimah.
Menurut Cik Norzimah, akhirnya beliau mengalah dengan permintaan arwah dan memutuskan untuk menyertai rombongan itu sambil berniat untuk membeli cenderamata berupa magnet peti sejuk sebagai kenangan buat suaminya.
Cik Norzimah memberitahu beliau hanya mengetahui Allahyarham suaminya itu sudah tiada semasa berada di Lapangan Terbang Incheon, Korea Selatan.
“Saya sampai sana pada 6.15 petang dan kakak tunjuk mesej daripada keluarga sebelah suami yang mengatakan sesuatu telah berlaku pada arwah.
“Malam itu kami tak teruskan perjalanan di Korea Selatan sebab waktu itu hati saya dah kosong, sebaliknya kami semua berkumpul, baca Yasin di lapangan terbang dan terus beli tiket balik ke tanah air keesokan pagi,” katanya.
Lebih menyentuh hati katanya, beliau dan Allahyarham Shaiful Bahri sepatutnya menyambut ulang tahun perkahwinan ke-27 pada 30 Mei.
“Saya dan arwah banyak persamaan termasuklah tarikh kelahiran sama pada 14 Jun dan telah merancang menyambutnya secara sederhana sahaja.
“Perasaan saya kini kosong lebih-lebih lagi arwah pergi saat hanya beberapa hari lagi ulang tahun perkahwinan dan hari lahir kami,” katanya.
Sinar Harian pada 27 Mei melaporkan seorang lelaki warga emas maut dihempap buah kelapa sawit di sebuah kebun di Batu 7, Ijok Bestari Jaya pada 26 Mei.
Mangsa berusia 63 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera di kepala dan leher.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg