PENAMPANG (Sabah): Perjalanan pulang tiga sepupu daripada menghadiri majlis perkahwinan, berakhir tragedi apabila dua daripada mereka maut, manakala seorang lagi cedera selepas kenderaan dinaiki terbabas lalu terjatuh ke gaung di Jalan Penampang-Tambunan, dekat Kampung Moyog, di sini, pada 28 Mei malam.
Dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, pemandu kereta, Encik Steve Oyong, 54 tahun, dan penumpang, Encik Rayner Jentolmin@Condrad, 49 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala Encik Maxwell Minor, 29 tahun, dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Difahamkan, ketiga-tiga mereka dalam perjalanan pulang ke Kampung Madsiang, di sini, selepas menghadiri majlis perkahwinan saudara mereka di Tambunan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Encik Zeno Tingalan, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 8.15 malam, lapor Harian Metro.
Katanya, sembilan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak 28 kilometer dari balai bomba.
“Sebaik tiba di lokasi, kemalangan membabitkan sebuah kenderaan Isuzu Bighorn terbabas sendiri dan terjatuh dalam gaung.
“Pasukan bomba menaikkan semua mangsa yang berada di gaung dengan dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM), manakala seorang lagi yang cedera dan diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS kemudian dihantar ke hospital menggunakan ambulans,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Encik Zeno berkata mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.37 malam.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg