Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Doktor didakwa bunuh isteri, anak di Bandar Dato’ Onn, Johor

Jan 16, 2026 | 12:41 PM
Seorang doktor berusia 33 tahun dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan membunuh isteri dan anak lelakinya berusia empat tahun di sebuah rumah di Bandar Dato’ Onn, pada Disember 2025.
Seorang doktor berusia 33 tahun dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan membunuh isteri dan anak lelakinya berusia empat tahun di sebuah rumah di Bandar Dato’ Onn, pada Disember 2025. - Foto Fail

JOHOR BAHRU: Seorang doktor berusia 33 tahun akan didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada 16 Januari atas pertuduhan membunuh isteri dan anak lelakinya berusia empat tahun di sebuah rumah di Bandar Dato’ Onn, pada Disember 2025.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, berkata dalam kejadian 8.20 pagi, 31 Disember itu isteri mangsa berusia 36 tahun yang bekerja sebagai akauntan ditemui meninggal dunia dengan kesan kelar di leher.

Anak lelaki pasangan itu pula ditemui dalam keadaan kebiruan pada muka dipercayai akibat ditekup.

“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayat dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk proses bedah siasat.

“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian wanita adalah asphyxia related death manakala punca kematian kanak-kanak lelaki adalah smothering. Kematian kedua-dua mangsa dipercayai berunsurkan jenayah,” katanya dalam kenyataan pada 15 Januari.

Datuk Ab Rahaman berkata pada 3 Januari, sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama Cawangan D9 Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan menahan suspek bagi membantu siasatan.

Polis turut merampas beberapa bahan bukti, termasuk sebilah pisau dan bantal serta sarung.

“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan awal air kencing juga didapati negatif dadah.

“Suspek direman selama 13 hari bermula 4 Januari sehingga esok bagi membantu siasatan,” katanya lapor Harian Metro.

Menurutnya, kertas siasatan dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Johor untuk menuduh suspek mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Suspek juga dituduh di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kehilangan atau memusnahkan bukti kesalahan, atau memberi maklumat palsu dengan niat melindungi pesalah serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas rasmi.

Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejas siasatan dan prosiding mahkamah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg