Polis Johor menumpaskan satu sindiket penipuan seks dan pemerasan dalam talian selepas melancarkan beberapa siri serbuan di Kulai, Johor Bahru Selatan dan Johor Bahru Utara antara 20 Jun hingga 1 Julai.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, berkata satu operasi bersepadu telah dijalankan oleh Bahagian D7 (Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat) Ibu Pejabat Kontinjen Johor bersama Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai dan Johor Bahru Selatan itu membawa kepada penahanan sembilan individu warga tempatan terdiri daripada tujuh lelaki dan dua perempuan berusia antara 17 hingga 50 tahun.
“Dalam serbuan sama, polis turut menyelamatkan tiga mangsa tempatan berumur 15 hingga 26 tahun yang dipercayai dipaksa bekerja, dikurung serta didera secara fizikal dan seksual.
“Siasatan awal mendapati sindiket memperdaya mangsa melalui tawaran kerja palsu sebelum memaksa mereka melakukan aktiviti sextortion (pemerasan berbentuk seksual) dan mengugut mereka untuk membayar RM30,000 ($9,483) sekiranya mahu berhenti,” katanya dalam satu kenyataan pada 25 November.
Serbuan berkenaan turut menemui barang bukti termasuk 27 telefon bimbit, tiga komputer riba, 49 sim kad, modem, wang tunai pelbagai mata wang, dua pasport, tiket kapal terbang serta peralatan lain yang digunakan dalam kegiatan jenayah tersebut.
Datuk Ab Rahaman berkata kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan arahan tuduhan telah dikeluarkan.
Kesemua sembilan suspek terlibat dituduh di bawah Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 melibatkan mangsa kanak-kanak, Seksyen 12 Atipsom bagi mangsa dewasa, Seksyen 5 Akta Kanak-Kanak (Seksual) 2017 berhubung pornografi kanak-kanak serta Seksyen 15(f) akta sama berkaitan perbuatan seksual melibatkan kanak-kanak.
Kes tersebut telah dibawa ke Mahkamah Sesyen Jenayah 5 pada 15 Julai lalu dan kini masih dalam perbicaraan.
Pada 13 dan 18 November, dua lagi lelaki warga tempatan berusia 22 dan 26 tahun yang dipercayai dalang utama sindiket ditahan.
“Mereka turut berdepan tuduhan di bawah Seksyen 12 dan 14 Atipsom serta Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan cedera menggunakan senjata atau objek berbahaya.
“Pertuduhan dijadualkan berlangsung pada 26 November 2025 di Mahkamah Sesyen dan Majistret Johor Bahru,” ujarnya.
Polis Johor menasihatkan orang ramai agar berwaspada, membuat semakan latar belakang sebelum menerima tawaran pekerjaan khususnya tawaran ke luar negara yang menjanjikan pendapatan lumayan dengan kelayakan rendah kerana taktik sedemikian sering digunakan sindiket pemerdagangan manusia.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penipuan atau tawaran kerja mencurigakan diminta menghubungi talian hotline Polis Johor di 019-2792095 atau Bilik Gerakan IPK Johor di 07-2212999.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg