PETALING JAYA: Mantan perdana menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, bersedia menjadi “penasihat tidak rasmi” kepada kumpulan rasmi empat kerajaan negeri yang dikuasai Perikatan Nasional (PN), kata Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Datuk Samsuri berkata menteri besar Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis akan membincangkan pelan tindakan bagi kumpulan yang digelar ‘Kerajaan Negeri 4’ atau SG4.
“Secara khusus, Dr Mahathir akan memberi nasihat kepada kami mengenai tadbir urus berkesan, untuk memastikan kumpulan yang dicadangkan akan diuruskan dengan cekap,” katanya pada Khamis, lapor The Star.
“Peranan Dr Mahathir juga adalah untuk menghubungkan empat negeri dengan pelabur dari negara seperti Jepun dan Korea Selatan, yang mempunyai hubungan baik dengannya.”
Tindakan itu akan menyaksikan Dr Mahathir, perdana menteri paling lama berkhidmat di Malaysia, bekerjasama dengan perikatan pembangkang Perikatan Nasional (PN), yang terdiri daripada ahli politik daripada Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), diketuai oleh seorang lagi mantan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dr Mahathir pada Jun lalu berkata beliau tidak keberatan bekerjasama dengan mantan timbalannya yang bertukar menjadi musuh, Tan Sri Muhyiddin, Presiden Bersatu, untuk memperjuangkan isu Melayu di Malaysia.
Kedua-duanya juga bertemu pada Julai, seolah-olah mengetepikan perbezaan mereka yang membawa kepada kejatuhan kerajaan pada 2020.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga pengerusi gabungan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah, telah menolak kerjasama antara Dr Mahathir dengan Tan Sri Muhyiddin sebagai plot untuk “mempertahankan cara dan kekayaan mereka”.
Datuk Samsuri, naib presiden PAS, sebelum ini mengumumkan pada Isnin lalu bahawa pemimpin Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu pada dasarnya bersetuju untuk membentuk koperasi kerajaan pelbagai negeri.
“Kerjasama strategik adalah mengikut bidang kuasa empat negeri dan akan memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat di negeri-negeri terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.
“Melalui mengenal pasti aset dan kekuatan yang ada, kerjasama strategik dan projek masa depan yang lain boleh dilaksanakan.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg