KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, mendedahkan kandungan penuh draf Memorandum Persefahaman (MOU) mengenai peruntukan kepada Ahli Parlimen (AP) pembangkang yang ditolak ketuanya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, pada 15 September.
Menurut Datuk Fadillah, beliau bertindak mendedahkan butiran kandungan draf MOU itu memandangkan pihak pembangkang lebih gemar membuat kenyataan melalui media.
Justeru, beliau berharap tindakannya itu membuktikan ketelusan Kerajaan Madani dan mahu mewujudkan suasana aman dan harmoni supaya semua AP lebih fokus kepada usaha pemulihan ekonomi, selain dapat memainkan peranan konstruktif sebagai semak dan imbang.
Tegasnya, ini penting supaya semua pihak dapat menumpukan sepenuh tenaga dalam memulihkan ekonomi negara dan mengukuhkan perpaduan di kalangan rakyat, demi kesejahteraan semua dan kemakmuran Malaysia.
“Dengan pendedahan MOU ini, rakyat sendiri boleh menilai bahawa kesemua dakwaan Ketua Pembangkang mengenai draf terbabit adalah tidak berasas sama sekali,” katanya dalam kenyataan pada 16 September.
Dalam kenyataan itu, Datuk Fadillah menghuraikan enam perkara mengenai draf MOU iaitu tempoh berkuat kuasa, obligasi Perikatan Nasional (PN), obligasi Kerajaan Persekutuan, ketelusan dan tiada kerahsiaan, pemakaian undang-undang dan pembatalan memorandum.
Obligasi PN pula ialah menyentuh mengenai peranan dan fungsi AP Pembangkang sebagai komponen penting dan akujanji sebagai AP pembangkang berwibawa, perlu bertindak sebagai komponen semak dan imbang yang bertanggungjawab dan membina.
Ia juga menyentuh pematuhan kepada Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi berparlimen.
Obligasi Kerajaan Persekutuan pula, antara lain mengakui bahawa AP pembangkang mempunyai peranan besar sebagai pembangkang dengan menunjukkan kesetiaan kepada negara, Perlembagaan Persekutuan dan institusi diraja, serta bertindak untuk semak dan imbang secara sah dan bertanggungjawab.
Pada 15 September, PN mengesahkan ketetapan sebulat suara menolak dua draf cadangan MOU daripada kerajaan berhubung peruntukan kepada AP PN.
Datuk Hamzah mendakwa cadangan MOU itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan nilai budaya, moral serta agama, selain boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa serta mengongkong kebebasan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 9 Julai lalu dilaporkan berkata isu agihan peruntukan kepada AP pembangkang tidak patut menjadi isu rumit diselesaikan kerana membabitkan syarat asas dan proses biasa dalam mana-mana rundingan serta amalan demokrasi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg