GEORGETOWN (Pulau Pinang): Ahli Parlimen (AP) Malaysia yang gagal menghadiri persidangan Dewan Rakyat (Parlimen) untuk tempoh tertentu berisiko kehilangan elaun sebaik Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA) berkuat kuasa.
Mengumumkan demikian, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, berkata kehadiran AP jelas dinyatakan dalam undang-undang dan mereka yang tidak hadir selama enam bulan berturut-turut tanpa alasan sah juga mungkin kehilangan kerusi yang dimenangi dalam pilihan raya.
Bagaimanapun, beliau berkata setakat ini tiada AP yang kehilangan kerusi mereka atas sebab berkenaan.
“Namun, saya telah berkali-kali memberi amaran bahawa AP dipilih oleh rakyat untuk hadir di Parlimen.
“Jadi, saya mencadangkan supaya AP yang gagal menghadiri persidangan Dewan Rakyat untuk jangka masa tertentu akan kehilangan elaun mereka.
“Kami hanya menunggu PSA mengeluarkannya, yang mungkin telah mendapat kelulusan Kabinet. Ia mungkin dibentangkan pada penghujung persidangan Dewan Rakyat ketiga (Oktober ini),” katanya selepas melawat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, lapor Astro Awani.
Turut hadir ialah Speaker DUN Pulau Pinang, Datuk Seri Law Choo Kiang.
Tan Sri Johari berkata sejak mengambil alih sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat, beliau telah membawa banyak pembaharuan di Parlimen dan akan terus berbuat demikian untuk menambah baik semak dan imbang dalam kerajaan.
Antaranya adalah memperkukuh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) serta membenarkan pembentangan dan perbahasan mengenai laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Ketua Audit Negara di Dewan Rakyat.
Pengembalian PSA, kata Tan Sri Johari, tidak akan mengganti atau memansuhkan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347).
Beliau berkata secara dasarnya draf akhir PSA meliputi tindakan yang bakal dikenakan terhadap isu ketidakhadiran AP mengikuti sidang.
Katanya, sesetengah peruntukan tertentu dalam Akta 347 disifatkan sudah lapuk, tetapi ia lebih menyentuh mengenai hak dan kebebasan, sebaliknya PSA akan bersifat lebih menyeluruh.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg