Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar: Keselamatan siber M’sia lemah, perlu undang-undang baru atasi jenayah, buli siber

Jul 30, 2024 | 4:58 PM
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Aspek keselamatan siber harus diberi keutamaan memandangkan Malaysia masih berada di tahap lemah dalam bidang itu, berbanding negara lain, kata Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata sehubungan itu, bagi menangani isu berkenaan ia memerlukan banyak latihan, kepakaran serta jaringan dengan badan risikan siber.

Datuk Anwar berkata beberapa tindakan tegas diperlukan antaranya peraturan yang bakal diperkenal bertujuan mengatasi jenayah dalam talian dan buli siber, sekali gus mewujudkan persekitaran maya yang selamat untuk pengguna.

“Antara yang dilakukan kerajaan dalam menangani isu ini adalah dengan memperkenalkan Rang Undang-Undang Keselamatan Siber.

“Baru-baru ini Menteri Komunikasi, (Encik) Fahmi Fadzil, dan Menteri Digital, (Encik) Gobind Singh Deo, memberi banyak tumpuan supaya keselamatan dalam talian itu dijamin untuk rakyat di dalam dan luar negara,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM) pada majlis perasmian Bulan Keselamatan Negara 2024 di Putrajaya.

Pada 28 Julai lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata undang-undang baru bagi meningkatkan tahap keselamatan digital merangkumi peruntukan berhubung tatacara dan penguatkuasaan suis pemati akan dibentangkan di Parlimen pada Oktober.

Beliau berkata undang-undang itu antara lain bakal meletakkan tanggungjawab kepada penyedia perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet untuk memainkan peranan bagi menangani jenayah dalam talian seperti penipuan, buli siber, penyebaran bahan penganiayaan seksual kanak-kanak serta gangguan dan antun seksual.

Sementara itu, Datuk Anwar menyeru rakyat supaya tidak meremehkan keperluan pertahanan negara, memandangkan ada segelintir rakyat dilihat berasa selesa dengan keselamatan negara berikutan keadaan yang aman, makanan mencukupi, kadar pertumbuhan ekonomi yang membanggakan, kadar pengangguran menurun dan pelaburan ke dalam negara yang meningkat.

Katanya, pertumbuhan ekonomi juga harus diberi tumpuan tanpa mengetepikan aspek keselamatan negara, termasuk berkaitan nilai dan tatakelola baik dalam pasukan keselamatan yang turut merangkumi cara perolehan yang telus, yakni aspek penting keselamatan negara.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg