Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Drama ‘Bidaah’ raih 134j tontonan

Mar 27, 2025 | 4:52 PM
Dibintangi Fattah Amin, Faizal Hussein dan Riena Diana, drama ‘Bidaah’  berjaya memperoleh lebih daripada 134 juta tontonan dan 44 juta capaian di Viu Malaysia.
Dibintangi Fattah Amin, Faizal Hussein dan Riena Diana, drama ‘Bidaah’ berjaya memperoleh lebih daripada 134 juta tontonan dan 44 juta capaian di Viu Malaysia. - Foto MYINFOTAIP

KUALA LUMPUR: Drama sensasi, Bidaah, yang membongkar mengenai kisah ajaran sesat muncul drama nombor satu paling popular di platform penstriman.

Drama yang disiarkan di Viu Malaysia itu bukan sahaja popular di Malaysia, malah meraih perhatian di platform Viu Indonesia, lapor Berita Harian Malaysia.

Dibintangi Fattah Amin, Faizal Hussein dan Riena Diana, drama itu juga berjaya memperoleh lebih daripada 134 juta tontonan dan 44 juta capaian di Viu Malaysia.

Bidaah, terbitan Erma Fatima, ditayangkan sejak 6 Mac dan turut menduduki tangga pertama, sekali gus menewaskan drama bersiri Korea popular seperti Undercover High School, The Witch dan Study Group di platform berkenaan.

Di Indonesia, drama Bidaah mendapat komen positif dalam media sosial, dengan penonton menyatakan drama itu sangat relevan dan dekat dengan realiti kehidupan.

Data daripada Google Trends menunjukkan drama Bidaah juga menjadi antara carian paling popular di Thailand, Singapura dan Brunei.

Drama arahan Pali Yahya itu mencetuskan sensasi apabila memaparkan babak intim membabitkan Faizal dan Vanidah Imran, di mana aktres wanita itu mengusik janggut Walid (Faizal) menggunakan kaki.

Bidaah mengisahkan tentang Baiduri (Riena), wanita muda dipaksa oleh ibunya, Kalsum (Fazlina Ahmad Daud), untuk menyertai Jihad Ummah yang juga kumpulan agama dipimpin oleh Walid Muhammad (Faizal).

Namun, Baiduri segera menyedari terdapat banyak perkara mencurigakan di sebalik ajaran rohani kumpulan itu, termasuk perkahwinan paksa dan kepatuhan membuta tuli.

Kembalinya Hambali (Fattah Amin) dari Yaman, anak kepada orang kanan Walid, Abi Saifullah (Hasnul Rahmat), membuatkan Baiduri semakin yakin bahawa ajaran Jihad Ummah tersasar.

Bersama Hambali, Baiduri bertekad melindungi ibunya dan membongkar kebenaran, walaupun nyawanya sendiri terancam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg