Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Menteri: Lapor segera jika ada agamawan laku jenayah, langgar undang-undang

Mar 17, 2025 | 1:41 PM
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar (berpakaian ungu), beramah mesra bersama anak yatim Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Miskin Darul Akhyar, Batu Rakit, Terengganu, pada Majlis Berbuka Puasa dan Penjenamaan Semula Hotel Wakaf The Grand Puteri Terengganu, pada 16 Mac.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar (berpakaian ungu), beramah mesra bersama anak yatim Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Miskin Darul Akhyar, Batu Rakit, Terengganu, pada Majlis Berbuka Puasa dan Penjenamaan Semula Hotel Wakaf The Grand Puteri Terengganu, pada 16 Mac. - Foto BERNAMA

KUALA TERENGGANU: Orang ramai digesa membuat laporan polis sekiranya mengetahui mengenai mana-mana agamawan atau guru agama yang melakukan jenayah atau bertindak melanggar undang-undang bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata ia juga untuk membolehkan penggantungan atau penarikan semula tauliah mereka sekiranya disabitkan bersalah atas sesuatu jenayah.

“Sekiranya golongan ini menyalahgunakan ilmu dan kepercayaan masyarakat… kalau timbul isu jenayah dan sebagainya, saya harap masyarakat buat laporan.

“Saya percaya polis akan jalankan siasatan secara adil.

“Sudah tentu (tauliah) wajar digantung kalau didapati bersalah.

“Sebab itu saya harap masyarakat buat laporan sebab kita nak sabitkan… kalau nak tarik (tauliah) tanpa sabitan ia sukar (untuk ambil tindakan),” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau mengulas mengenai kejadian seorang agamawan atau guru yang terkait dengan kes mencederakan seorang remaja lelaki di Kajang, Selangor, baru-baru ini.

Agamawan itu juga didakwa pernah menyebabkan seorang pelajar sekolah menengah retak tulang batang hidung ekoran dipukul berikutan perselisihan faham.

Sementara itu, Datuk Mohd Na’im, sekali lagi menyeru agar pihak penerbit dan pengamal media mematuhi Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-Bahan Penyiaran Berunsur Islam yang dikeluarkan pada 2015.

“Tanggungjawab Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) adalah mendidik dan mengeluarkan garis panduan.

“Ia (garis panduan) diserahkan kepada pengamal dan produksi media untuk difahami bahawa bila nak buat drama, ada garis panduan yang perlu dipatuhi.

“Di pihak Jakim dan agensi agama kita sentiasa berhubung. Kalau ada pelanggaran, Jakim akan bekerjasama dengan pihak berkaitan untuk memberikan maklumat,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kontroversi drama bersiri, ‘Bidaah’, yang sedang hangat diperkatakan di Malaysia.

Drama yang disiarkan di sebuah televisyen swasta itu dikatakan banyak memaparkan adegan dan dialog panas yang dibimbangi boleh mencemarkan imej Islam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg