KLUANG (Johor): Lima maut dalam kemalangan ngeri membabitkan empat kenderaan di Kluang, Johor, dipercayai berpunca akibat tayar depan sebuah treler pecah hingga menyebabkan kenderaan itu gagal dikawal dan terbabas ke laluan bertentangan.
Tiga daripada lima yang maut dalam kemalangan kira-kira 11.30 malam pada 27 Mac di Kilometer 58.1, Lebuhraya Plus arah selatan itu ialah pasangan suami isteri dan anak mereka.
Kemalangan membabitkan empat kenderaan dengan dua daripadanya terbakar itu turut menyebabkan lapan mangsa lain cedera termasuk tiga parah.
Mangsa yang maut adalah pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Stepwagon Spada, Allahyarham Nasaarudin Pardi, 36 tahun; isterinya, Allahyarhamha Siti Khazira Bani,35 tahun; serta anak mereka, Mariam, 2 tahun, dari Kota Tinggi, Johor.
Dua lagi mangsa yang maut adalah pemandu kereta Proton X50, Allahyarhamha Iklil Nuraudah Muhammad Redzaa, 23 tahun, dari Nilai, Negeri Sembilan dan penumpang hadapan kereta itu berusia 20-an yang masih belum dikenal pasti identitinya.
Allahyarham Nasaarudin dan Allahyarhamha Siti Khazira disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Enche’ Besar Hajah Khalsom, Kluang.
Allahyarhamha Iklil Nuraudah bersama lelaki yang menumpang keretanya serta Mariam maut di lokasi kemalangan dengan semua mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Kluang, Penolong Pesuruhjaya Bahrin Mohd Noh, berkata kemalangan berlaku apabila tayar hadapan kanan treler dipandu seorang lelaki berusia 35 tahun dari arah Johor Bahru menghala ke Kuala Lumpur pecah.
Keadaan itu menyebabkan treler terbabit hilang kawalan dan bergesel dengan kereta Toyota Camry dipandu seorang lelaki, Encik Ow Yang Meng yang berada di laluan sama.
Beliau berkata keadaan itu menyebabkan treler memasuki laluan bertentangan dan berlanggar dengan kereta dipandu Allahyarhamha Iklil Nuraudah dan Allahyarham Nasaarudin yang sedang dalam perjalanan menghala ke Johor Bahru.
Katanya pertembungan itu juga menyebabkan kereta Allahyarham Nasaarudin terbakar sepenuhnya, tetapi penumpang dan pemandu sempat dikeluarkan daripada kenderaan sebelum api merebak.
“Dalam kejadian itu, tiga lagi anak Nasaarudin yang berusia masing-masing empat, tujuh dan sembilan tahun mengalami cedera parah serta dihantar ke Hospital Enche’ Besar Hajah Khalsom untuk rawatan lanjut.
“Selain Encik Abdul Rahman dan Encik Ow, tiga lagi mangsa yang cedera dan dirawat di hospital sama ialah penumpang kereta Toyota Camry, Encik Ow Yang Jun, 37 tahun; Encik Soon Kim Ti, 25 taun, dan Ow Yu Cheng, 2 tahun,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg